suria

Nasi Arab Maqlooba Tarikan Bazar Ramadan Taman Wira Mergong

ALOR SETAR: Gerai yang menjual nasi basmati ala Arab-Itali dan dihidangkan bersama ayam panggang madu, daging atau kari kambing telah berjaya menarik orang ramai berkunjung ke bazar Ramadan Taman Wira Mergong, dekat sini.

Nasi Arab Maqlooba yang diusahakan Nazri Ibrahim, 33 mendapat sambutan menggalakkan sejak dibuka pada hari ketiga puasa.

Menurut Nazri, nasi bersama ayam panggang madu antara juadah yang paling laris sehingga 15 ke 20 ekor telah habis dijual dalam masa dua jam sahaja.

Nazri yang dibantu oleh isterinya yang berasal dari Indonesia, Dini Tedi Supriadi, 24 menggunakan resepi sendiri dalam menghasilkan nasi Arab dengan gabungan beberapa rempah ratus dan dimasak menerusi teknik Arab dan Itali.

“Saya menggunakan 13 jenis rempah dan bahan-bahan asas seperti daun selasih, kulit kayu manis dan juga memasukkan kismis Australia di dalam nasi,” kata anak muda kelahiran bandar ini yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang kulinari.

Sebelum ini, Nazri merupakan pengurus Restoran Itali dan pengurus bahagian makanan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Dalam menyediakan ayam panggang, rahsia yang saya gunakan ialah meletakkan madu yang dicampur dengan rempah khas seperti daun ketumbar pada lapisan luar.

“Ayam ini akan nampak kering diluar tapi lembut di dalam kerana saya menggunakan teknik stim sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar,” jelas Nazri yagn mempunyai restoran di Bandung, Indonesia berkonsepkan makanan Malaysia sejak 18 bulan lalu.

Katanya, dia telah pulang ke Malaysia pada Mei lepas untuk menjaga ibu dan adik angkatnya berusia tujuh tahun yang sakit.

“Saya terpaksa memikirkan cara untuk menjana pendapatan keluarga. 

“Jadi saya buat keputusan untuk menjual Nasi Arab dan saya percaya ia akan menjadi makanan kegemaran semasa bulan Ramadan, "katanya.

Nazri mula menjalankan perniagaan nasi di bazar Ramadan Taman Wira Mergong tahun lepas dan hidangan tersebut terbukti mendapat sambutan.

Satu set Nasi Arab bersama ayam panggang dan salad dijual pada harga RM6, manakala bagi yang memilih set daging atau kari kambing pula RM8.

Nazri kini sedang mencari lokasi yang strategik untuk membuka restoran Nasi Arab sementara menanti ibunya sembuh dari sakit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain