suria

‘Punten’ Jadi Sebutan Di Sungai Besar

SUNGAI BESAR: 'Punten’ mula menjadi sebutan ramai terutama di kalangan orang luar yang datang ke Sungai Besar sama ada untuk berkempen atau bertugas sepanjang berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) di sini.

Masing-masing tertanya-tanya apakah itu punten yang bunyinya agak pelik bagi yang pertama kali mendengarnya, dan mengapa ia begitu popular di kalangan masyarakat keturunan Jawa terutama di daerah Sabak Bernam.

Punten adalah sejenis makanan tradisi Jawa seakan-akan nasi himpit yang popular di kalangan masyarakat Melayu.

Bezanya, ia lebih berlemak kerana dicampur dengan santan dan garam. Punten biasanya dimakan bersama sambal cili padi dan bawang, pada waktu pagi dan petang.

Difahamkan, punten juga menjadi makanan kegemaran calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.


Siti Nurbaizura, 33, yang menjual punten di bazar Ramadan di sini berkata, tidak semua orang Jawa pada masa sekarang tahu memasak punten, termasuk dirinya sendiri.

“Ini makanan orang Jawa dulu-dulu di sini. Jarang-jarang kita dapat lihat generasi muda pandai memasaknya. Ada tu memang ada, cuma kurang.

“Tetapi punten tidaklah terus hilang dalam masyarakat Jawa di sini. Masih ada yang mahir menyediakannya, dan masih ada yang menjualnya, cuma tidak ramai. Ada juga yang hanya ambil tempahan untuk majlis kenduri-kendara,” katanya yang menjadi satu-satunya peniaga yang menjual punten di bazar Ramadan di sini. 

Siti Nurbaizura berkata, setiap tahun pada bulan Ramadan, dia akan menjual punten yang ditempah daripada seseorang yang mahir memasak punten.

“Boleh dikatakan setiap tahun saya jual punten sebab punten ni ada peminatnya tersendiri.

“Kalau letak dalam peti sejuk, boleh tahan dua hingga tiga hari,” katanya yang menjual satu pek punten dan kuah dengan harga RM6.00.

Bercerita tentang penyediaannya, Siti Nurbaizura berkata, nasi yang telah dimasak akan ditumbuk dan dikepal sehingga .....pada sebelum dibentuk.

Selepas sejuk, ia boleh dihidangkan bersama sambal ikan bilis, sambal udang atau ikan masin.

Punten, Sungai Besar, Jawa

Artikel Berikut

Artikel Lain