Bufet Pullman Bangsar Gamit Memori Desa

Diterbitkan: Rabu, 1 Jun 2016 7:30 AM

Hidangan mesti ada di bufet Hotel Pullman Bangsar ialah kambing panggang dengan ramuan rempah Arab beraroma

(Ubah saiz teks)

BAGI menggamit memori desa sempena Ramadan, Hotel Pullman Bangsar Kuala Lumpur menawarkan sajian bufet bertemakan 'Selera Kampung'.

Bufet istimewa ini menghimpunkan lebih 300 sajian dengan 95 peratus merupakan makanan tempatan terutama hidangan tradisional Melayu.

Sebanyak 18 gerai menyediakan sajian dari pembuka selera, hidangan utama sehingga ke pencuci mulut sebagai pilihan buat pengunjung hotel bertaraf lima bintang ini.

Kenikmatannya seolah-olah anda merasai hidangan sambil bersila atau bersimpuh di beranda luar rumah kampung dengan tiupan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Ikan patin masak tempoyak.

Antara masakan ala kampung yang menjadi tarikan adalah ikan patin masak tempoyak, ikan masak asam pedas dan siput sedut masak lemak.

Sebagai pembuka selera, kurma yang dibawa khas dari Timur Tengah, kerabu jantung pisang, kerabu mangga dan pelbagai jenis ulam menjadi pilihan.

Hidangan mesti ada di bufet ini ialah kambing panggang dengan ramuan rempah Arab beraroma yang pastinya membangkitkan rasa dari Timur Tengah. 

Seorang pengunjung mendapatkan air jus kurma.

Bagi yang tidak menggemari daging kambing, usah bimbang kerana pelanggan masih boleh memilih hidangan bakar lain iaitu patti daging lembu dan ayam serta sayur campuran. Sate ayam dan daging juga boleh didapati di bufet ini sepanjang Ramadan.

Ketupat palas dan ketupat nasi masih menjadi kesukaan pengunjung sepanjang Ramadan, yang secara tidak langsung menaiki suasana menjelang Aidilfitri. 

Pencuci mulut atau manisan juga terdiri daripada kuih tradisional seperti kuih talam, koci, seri muka dan goreng pisang. Menariknya, keropok lekor turut disajikan. 

Kuih tradisional sebagai pencuci mulut.

Dalam pada itu, Hotel Pullman Bangsar tampil memberi kelainan dengan menyediakan ais krim Turki sebagai salah satu pilihan pencuci mulut.

Merasai pengalaman seperti berada di Turki, pengunjung akan terpaku atau tercuit hati dengan gelagat pembuat ais krim semasa menyediakan pencuci mulut berkenaan.

Aksi pembuat ais krim Turki.

Bufet di di restoran Link di aras lobi ini turut menyajikan pelbagai jenis hidangan lain dari masakan Barat, Cina, India sehingga ke sushi, buah-buahan dan manisan.

Tawaran bufet adalah dari 13 Jun sehingga 2 Julai, dengan harga RM140 nett seorang.

Antara masakan ala kampung.

Lebih ramai maka lebih meriah, jadi setiap tempahan seramai 10 orang akan diberikan satu tempahan secara percuma. Warga emas berusia 60 ke atas pula ditawarkan harga istimewa dengan diskaun sebanyak 40 peratus.

Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 03-22981888 atau emel ke H7962-FB@accor.com.

Tags / Kata Kunci: Pullman Bangsar , Selera Kampung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan