TTI Tawar Pakej Iftar Di Atas Bot Susuri Sungai Terengganu

Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2015 9:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kini mempunyai satu lagi tarikan terbaharu iaitu berbuka puasa di atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu.

Pengarah Urusan TTI, Wan Adnan Wan Derahman berkata pakej yang diperkenalkan sejak awal Ramadan itu juga merupakan produk terbaharu dalam industri pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong bertandang ke negeri ini.

Katanya orang ramai berpeluang berbuka puasa secara bufet di dalam bot yang diubah suai dengan kapasiti 60 orang penumpang pada satu-satu masa di ruang berpendingin hawa, sementara di ruangan bahagian atas tidak berbumbung mampu memuatkan 40 orang.

"Sebenarnya pakej berbuka puasa di atas bot ini baru diperkenalkan dan masih dalam tempoh percubaan. Sempena bulan puasa tahun ini, kita cuba membawa kelainan kepada pengunjung TTI berbuka puasa sambil menyusuri sungai.

"Sejak diperkenalkan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kita yakin lebih ramai akan memanfaatkan pakej yang diperkenalkan ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, pakej berbuka puasa yang dikenakan pula adalah RM75 bagi dewasa dan RM55 bagi kanak-kanak, manakala tiada bayaran dikenakan untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Jelasnya pelbagai menu istimewa disediakan sepanjang perjalanan selama 45 minit dan pengunjung akan dibawa menyusuri tempat-tempat menarik seperti Muzium Terengganu, Pulau Duyong, Pasar Payang, Pulau Warisan dan Masjid Kristal.

Beliau berkata idea untuk menyediakan perkhidmatan ini timbul selepas melihat beberapa lokasi di dalam dan luar negara yang turut menyediakan perkhidmatan seperti ini.

"Banyak tempat seperti Putrajaya, Kuala Lumpur dan juga negara luar seperti Bangkok dan China telah menyediakan perkhidmatan ini... Terengganu juga perlu mengambil peluang ini kerana mempunyai muara sungai yang cantik dan membolehkan kita melaksanakan konsep ini," katanya.

Katanya pengubahsuaian bot Katamaran yang memuatkan seramai 100 penumpang untuk dijadikan ruang berbuka puasa itu menelan belanja sekitar RM15,000 hingga RM20,000 bagi peringkat pertama.

Sementara itu Wan Adnan berkata sepanjang minggu pertama berpuasa, pihaknya telah menerima hampir 1,000 tempahan pakej untuk berbuka puasa di laman Selera B'beteng.

"Laman selera mampu memuatkan seramai 450 tetamu bagi ruang terbuka serta dewan dan kita jangka permintaan ini makin meningkat sehingga penghujung Ramadan," katanya.

Wan Adnan menyasarkan kira-kira 4,000 pengunjung bakal bertandang ke medan selera itu sepanjang Ramadan ini.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan