suria

Gamitan 300 Menu Di Paya Serai PJ Hilton

NOSTALGIK Ramadan kali ini menghimpunkan aneka hidangan terpilih dari dalam dan luar negara untuk memenuhi citarasa iftar pengunjung Paya Serai Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Selain menu popular dari beberapa negeri di Malaysia, Paya Serai  turut menghidangkan juadah dari Jepun, Itali dan makanan Timur Tengah kepada pelanggan yang berbuka puasa sepanjang Ramadan ini di hotel berkenaan.

Pihak mStar Online yang dijemput merasai juadah yang disediakan percaya pengunjung tentunya berpuas hati dengan pelbagai menu pilihan yang dihidangkan.

Antara 300 juadah yang pasti menjadi tumpuan ialah gulai kawah, rendang tok, ikan bakar Melaka serta hidangan lain seperti kambing panggang, dan pelbagai jenis lemang mengikut resipi dari Kuala Kangsar, Perak.

Chef Eksekutifnya, Ridzuan Malik berkata, pihaknya telah meningkatkan jumlah juadah berbuka puasa untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

"Oleh kerana terdapat 300 jenis hidangan di sini jadi mereka perlu meluangkan masa lebih lama untuk merasai keenakan makanan yang disediakan dan saya mengesyorkan kepada pelanggan supaya mencuba setiap hidangan, bukannya makan sejenis hidangan terlalu banyak hingga tidak berpeluang merasai menu lain kerana terlalu kenyang," katanya.

Kali ini, hidangan asam pedas yang disediakan ada keistimewaan tersendiri kerana ia dimasak mengikut selera pemilik Hilton Petaling Jaya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

"Kami juga menjemput pakar lemang dari Kuala Kangsar dan untuk memberi kepuasan kepada pelanggan ia akan dibakar secara langsung di Paya Serai," katanya lagi.

Walaupun Chef Ridzuan banyak memperkenalkan hidangan baharu, tetapi hidangan lama yang menjadi tumpuan utama pelanggan-pelanggan tetap juga disediakan.

"Kami masih lagi mengekalkan beberapa menu lama seperti sup gearbox dan nasi briyani kerana ia merupakan juadah kegemaran pelanggan tetap di sini.

Apa yang lebih istimewa di Paya Serai ialah terdapat 32 hidangan yang dimasak secara langsung mengikut selera pengunjung.

"Hidangan seperti tepayaki dan tempura akan dimasak secara langsung kerana dengan cara ini kami dapat masak juadah tersebut mengikut citarasa pelanggan," kata Chef Ridzuan.

Paya Serai juga turut menyediakan bahagian makanan sihat bagi pengunjung yang mementingkan penjagaan makanan.

Selain itu, kepelbagaian juadah pencuci mulut juga menjadi tarikan utama bagi pelanggan lebih-lebih lagi dengan hidangan raja buah - durian.

Bagi yang berminat, Paya Serai Hilton Petaling Jaya menawarkan harga RM159 bagi dewasa dan RM80 bagi kanak-kanak, termasuk 10 peratus caj perkhidmatan dan enam peratus caj GST untuk berbuka puasa di sini.

Untuk tiga hari pertama dan terakhir Ramadan tahun ini, Paya Serai Hilton Petaling Jaya akan mengadakan promosi bufet berharga RM 145 bagi orang dewasa.

Sebarang tempahan atau pertanyaan boleh menghubungi 03-79559122 untuk membuat tempahan.


Paya Serai, Hilton, Nostalgik Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain