suria

Citarasa Aromatik, Eksotik Timur Tengah Di Grand Lexis PD

Chef Aidil'l Muhader (tengah) bersama Rosam Zakaria (kiri) dan Amirul Abdul Aziz mempersembahkan resipi nasi mandy ayam dan kambing yang dihasilkan khusus untuk Ramadan kali ini.

CITARASA aromatik dan eksotik Timur Tengah bakal dihidangkan khas sepanjang Ramadan ini di Grand Lexis, Port Dickson.

Menu bufet kali ini tambah istimewa apabila Eksekutif Chef, Aidil'l Muhader serta pasukannya begitu komited mencari resepi di Internet, selain meneliti buku masakan untuk menampilkan kelainan kepada pengunjung hotel itu.

Bagi mewujudkan keseimbangan antara rasa dan hidangan aromatik, kumpulan pakar masakan Grand Lexis mengambil masa beberapa bulan dengan melakukan eksperimen menggabungkan rempah berbeza sebelum menetapkan pilihan yang sesuai.

"Kebanyakkan rakyat Malaysia sudah biasa dengan makanan pedas, manakala hidangan Timur Tengah mengandungi perisa rempah aromatik seperti buah pelaga, jintan putih, ketumbar dan kunyit.

"Untuk mendapat keseimbangan rasa yang sempurna adalah penting dan ia terhasil selepas beberapa percubaan," katanya.

Misalnya, hidangan Kambing Mandy yang disediakan menggunakan pelbagai herba dan rempah ratus sebagai bahan untuk diperap pada kambing sebelum dipanggang perlahan bagi memastikan kelembutan daging yang enak, dijamah bersama nasi menggunakan beras gandum panjang antara tarikan masakan ala Arab ini.

Selain itu, turut disediakan Hummus (masakan kacang kuda), Baba Ganoush (masakan terung), serta Shish Kebab (daging panggang) serta hidangan lazat lain seperti Makdous (terung sumbat), Kabsa (makanan laut yang dipanggang) dan juga Fattoush (roti pita salad).

Untuk memastikan keasliannya, Aidil'l dan pasukannya menggunakan beberapa bahan seperti tambahan minyak zaitun asli yang diimport, rempah serta beras gandum panjang premium.

"Kualiti minyak zaitun yang digunakan penting kerana ia digunakan secara bebas dalam banyak hidangan dan membantu menambah kelazatan makanan.

"Bahan berkualiti dan segar yang digunakan dalam sesuatu hidangan penting untuk mengekalkan keaslian rasanya," katanya sambil menambah, elemen penting masakan Timur Tengah adalah penggunaan produk segar, kaedah dipanggang dan menggunakan rempah aromatik.

Aidil'l juga berkata, masakan Timur Tengah menjadi pilihan bagi Ramadan tahun ini kerana ia merupakan menu popular di kalangan pengunjung sejak beberapa tahun ini.

"Masakan Timur Tengah semakin mendapat perhatian ramai kerana ia menggunakan bahan-bahan segar dan sihat serta rasanya juga enak.

"Kami merasakan ia suatu perkara yang bagus untuk membuat perubahan daripada hidangan ala kampung yang sudah menjadi kebiasaan kepada orang ramai.

Walaupun mengetengahkan masakan Timur Tengah, Grand Lexis tidak pernah mengabaikan masakan tradisional bagi memenuhi citarasa masyarakat tempatan.

Juadah seperti nasi, kari, mee dan kuih-kuih tradisional turut disajikan sebagai menu bufet Ramadan.

Tidak lengkap bufet tanpa pencuci mulut dan kali ini pengunjung disajikan dengan menu Timur Tengah seperti Mahalabiya (puding susu), kastard yang diperbuat daripada susu dan gula, Basbousa (kek semolina) dan Gul Tatlisi Tarifi.

Pencuci mulut ini akan menjadi tambahan menarik kepada kek dan pastri yang disediakan.

Dengan lebih 100 hidangan terpilih, termasuk masakan Timur Tengah, tempatan dan juga barat, menu di Grand Lexis pasti memenuhi selera pengunjung pelbagai latar belakang.

Buffet Ramadan di Grand Lexis akan bermula 20 Jun hingga 12 Julai dan ia ditawarkan pada harga RM80 bagi dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

Pelanggan yang membuat tempahan lebih awal akan menerima diskaun sehingga 25 peratus (untuk kumpulan yang lebih daripada 20 orang).

Tetamu juga boleh mengambil kesempatan untuk membuat tempahan bilik yang menyediakan pilihan bufet berbuka puasa atau sahur untuk dua orang.

  

Artikel Sebelum

Sup Ayam Suhun

Artikel Berikut

Nasi Penanggah

Artikel Lain