'Pendekar' Roti Canai

Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 9:43 AM

(Ubah saiz teks)

BAYANGKAN betapa menariknya jika anda bersarapan sambil sesekali berada di tengah-tengah suasana unik, yang nyata berbeza daripada apa yang sudah biasa dilalui ketika menikmati hidangan di kedai makan.

Bagi yang mencari-cari kelainan ketika makan pagi, lokasi yang boleh dikunjungi tidak lain dan tidak bukan adalah gerai Qawwam di Felda Bukit Cerakah arah Meru dan berhampiran Puncak Alam, Selangor yang berpegang teguh kepada konsep ‘Melayu Bertakhta, Berdaulat dan Beraja’.

'Pendekar' dan' 'hulubalang' Melayu sibuk melakukan tugas masing-masing.

Memang menu utama sarapan paginya terlalu sinonim dengan masyarakat di Malaysia iaitu roti canai dan nasi lemak.

Namun, yang menjadikan gerai ini menarik dan pagi setiap pelanggannya lebih ceria apabila mereka  turut ‘dihidangkan’ dengan si penebar roti canai dan pelayan yang semuanya segak berbusana Melayu asli.

Roti canai sedia untuk dihidangkan 'pendekar'  kepada pelanggan.

Pendek kata, di gerai yang dibuka sejak 1996 ini, lupakan sahaja akan penebar roti canai, pelayan, tukang bancuh air dan penjaga kaunter yang biasanya hanya berbaju-T, atau berbaju Pagoda lusuh kerana di sini imej mereka tak ubah seperti pendekar atau hulu balang Melayu.

Suasana sarapan pagi di Qawwam.

Penyelia gerai, Mior Yazid Abdul Manaf, 46, berkata menjadikan busana Melayu asli sebagai ‘uniform’ pekerja gerai pada dilakukan sebagai salah usaha untuk memperjuangkan adat dan budaya Melayu asli.

Katanya, operasi gerai ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan yang digerakkan oleh ahli ‘keluarga besar’ Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia yang terkenal dengan kumpulan muzik dan kebudayaan Dendang Anak.

“Pada peringkat awal ia tidak mendapat pandangan yang baik daripada masyarakat.

“Nak kembali semula kepada adat dan budaya Melayu yang telah lama ditinggalkan adalah satu proses yang lama. Ia mengambil masa untuk diterima, tapi kita pun tak sangka lama-kelamaan idea dan konsep ini diterima juga seperti yang dapat dilihat pada hari ini,” katanya kepada mStar Online.

Mior Yazid

Beliau berkata, gerai Qawwam, yang bermaksud kekuatan atau kekuasaan ini dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi dan setiap pekerja diwajibkan memakai pakaian Melayu asli sepanjang waktu bekerja.

Mengenakan busana lengkap sambil tanjak di kepala tidak dilupakan, mereka bagaimanapun melakukan tugas-tugas biasa seperti membuat roti canai, membancuh air, melayan pelanggan dan membuat pengiraan di kaunter. Sekali pandang, tidak keterlaluan dikatakan suasana sarapan pagi di sini ibarat drama atau filem Melayu lama yang pernah ditonton di kaca televisyen.

“Ramai yang tanya sama ada kami panas atau tak berpakaian macam ni.

“Saya jawab ‘tidak’ sebab kami sudah terbiasa dengan pakaian macam ini, bukan setakat di gerai ini saja, kadang-kadang ke pasar malam pun kami pakai pakaian Melayu asli ini,” katanya.

Unik dan menarik apabila seorang tukang bancuh air berpakaian begini.

Mengenai busana yang dipakai, beliau berkata hampir kesemua yang dipakai pekerja di sini dijahit oleh isterinya, Nur ‘Azura Mohamad Nor, 46.

Katanya, beliau juga terkejut apabila ramai pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk bersarapan di sini semata-mata untuk melihat suasana pagi yang unik di gerai ini.

Segak!

Selain roti canai dan aneka roti lain, pelanggan juga boleh mencuba makanan lain seperti laksa dan char kuey teow.

Roti canai Qawwam menjadi pilihan ramai pelanggan.

Char kuey teow, salah satu hidangan sarapan pagi yang mendapat perhatian pelanggan.


Laksa pembuka selera.

“Mereka sukakan pakaian dan makanan yang dijual. Tapi dalam masa yang sama kita harap mereka tidak sekadar datang makan tetapi cara ini secara tak langsung dapat menyuburkan kembali peradaban dan kebudayaan Melayu pada masa kini,” katanya.

Seperkara lagi yang menjadikan gerai ini mempunyai keunikan dan nilai sentimentalnya sendiri apabila para pekerjanya terdiri daripada mereka yang bermasalah, termasuk yang pernah terjebak dengan dadah tetapi telah berjaya dipulihkan dengan bantuan persatuan.

Sebahagian daripada keluarga besar di gerai Qawwam.

“Gerai ini adalah aktiviti lanjutan untuk mereka yang telah pulih daripada masalah seperti dadah.

“Kita jadikan gerai ini sebagai satu institusi membentuk sifat-sifat baik dan membiasakan diri mereka dengan budaya taat, jujur, syukur dan sabar. Dalam masa yang sama ia dapat membina semula institusi masyarakat Melayu,” katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan