suria

Menyingkap Rahsia Pak Belalang Di Simpang Tiga

JIKA disebut sahaja Pak Belalang tentu you all gambarkan filem klasik menarik ilham Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Tetapi kisah Pak Belalang yang ingin Abang Fen ceritakan adalah mengenai kelazatan dan keenakan bihun sup di satu lokasi di utara.

Bihun Sup Pak Belalang yang diusahakan oleh Mohd Rosidi Zainol, 36, terletak di simpang tiga Makloom, Jalan Pekan Darat, Butterworth.

Perniagaan itu merupakan hasil resipi warisan ayahandanya iaitu Allahyarham Zainol Ismail.

Mohd Rosidi meneruskan usaha ayahnya sejak lebih 10 tahun lalu kerana warung Bihun Sup Pak Belalang di simpang tiga Makloom ini sudah terkenal sejak dahulu lagi.

Antara yang menjadi igauan pelanggan ialah bihun sup daging istimewa yang mempunyai campuran daging, perut, limpa dan tulang.

Selain itu terdapat juga mi, koay teow serta bihun sup ayam.

Harga untuk semangkuk bihun sup daging istimewa atau ayam hanyalah RM5 sahaja, bagi Abang Fen harga itu tidak mahal kerana menggunakan daging tempatan serta ayam segar ditambah pula rasanya yang terlalu istimewa maka bebaloi untuk mencuba.

Untuk bihun sup daging biasa pula dijual pada harga semurah RM4 tetapi rasanya tetap istimewa malah ada juga pelanggan yang memesan bihun sup daging dan ayam dicampur sekali.

Untuk berkongsi dengan pembaca mStar Online, Abang Fen memilih untuk mencuba bihun sup daging istimewa.

Apabila bihun sup yang dipesan terhidang di depan mata, Abang Fen terlebih dahulu merasai kuahnya... memang sedaap. Itu belum lagi dicampurkan sambal.

Selepas dicampur sambal Abang Fen dapati rasanya memang bertaraf WOW!... ketika itu juga barulah Abang Fen sedar kenapa warung itu sering dipenuhi pelanggan.

Seperti yang you all tahu, apabila rasanya mengancam serta boleh buat Abang Fen teruja, langkah seterusnya adalah mengeluarkan pen, buku nota dan kamera untuk dikongsikan dengan pembaca.

Tanpa segan Abang Fen ajukan soalan pertama kepada lelaki yang sedang sibuk melayan pelanggan dan menyiapkan pesanan, "siapa pemilik sup Pak Belalang ini."

Sambil tersenyum dia menurunkan kepala dan menjawab dengan sopan, "Saya la, tunggu sat na” katanya dalam loghat utara yang bermaksud (Sayalah , tunggu sekejap ya).

Abang Fen kembali duduk dan sementara itu sempat juga merakam beberapa keping gambar untuk dikongsi dengan you all terutama gambar bihun sup istimewa yang Abang Fen pesan tadi.

Pemilik warung Bihun Sup Pak Belalang kemudian memanggil pembantunya untuk menggantikan tempatnya menguruskan pesanan.

Abang Fen berasa bersalah pula kerana mengganggu Mohd Rosidi melayan pelanggan yang masih ramai.

Dengan senyuman dia terus menghulurkan tangan pada Abang Fen sambil memperkenalkan nama dan dikesempatan itu Abang Fen terus ajukan soalan tentang nama Pak Belalang sambil memohon maaf seandainya mengganggu dan mencuri masanya berkerja.

"Nama Pak Belalang ini diberikan oleh Arwah bapa saya iaitu Zainol Ismail dan nama itu diambil sempena cerita Nujum Pak Belalang kerana Arwah amat meminati semua cerita  Allahyarham Tan Sri P.Ramlee", cerita Mohd Rosidi (gambar) ringkas.

Abang Fen juga mengajukan soalan tentang kain rentang dengan nama Pak Belalang yang sudah tiada  di depan gerainya dan bagaimana pelanggan dari jauh boleh tahu yang mana satu Bihun Sup Gerai pak Belalang.

"Banner Pak Belalang dah lama dan rosak, saya baru tempah yang baru dan belum lagi siap... lepas ni bila dah siap lagi senang pelanggan nak cari warung ini," jelasnya.

Perniagaan yang bermula seawal jam 11 pagi hingga jam 7.00 petang itu sentiasa dipenuhi dengan pelanggan dan tidak hairanlah pada hari-hari biasa jualan bihun sup sahaja boleh mencecah sehingga 25 kilogram bihun.

Jualan akan bertambah pada setiap hari minggu manakala pada setiap Jumaat warung tersebut ditutup.

Abang Fen juga ajukan soalan jika terdapat tempahan daripada pelanggan untuk majlis perkahwinan atau majlis lain, adakah warung itu akan ditutup dan bagaimana dengan pelanggan-pelanggan yang datang untuk menjamu selera di situ.

"Saya selalu mendapat tempahan untuk majlis perkahwinan dan majlis keraian, tetapi saya akan cuba sedaya upaya mengatur pekerja agar warung ini tetap dibuka untuk pelanggan," ujar Mohd Rosidi.

Abang Fen turut kagum dengan semangat serta tanggungjawab Mohd Rosidi yang mengutamakan pelanggan walaupun sibuk dengan tempahan bagi majlis lain.

Bagi you all yang berkesempatan ke Butterworth atau yang tinggal di utara bolehlah mencuba Bihun Sup Pak Belalang sendiri dengan terus ke warung itu atau menghubungi Mohd Rosidi ditalian 0124686247.


Bihun Sup, Pak Belalang

Artikel Berikut

Artikel Lain