suria

Sedapnya Sate Purnama Sungai Dua...

Hidangan sate Purnama yang menyelerakan sentiasa digemari ramai.

SALAM semua...apa khabar dan selamat bertemu kembali. Nampaknya agak lama juga Abang Fen menghilangkan diri dan tidak bertemu dengan para pembaca setia mStar semua.

Sebelum Abang Fen merapu yang bukan-bukan, Abang Fen ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada para peminat kolum Jamu Selera dan juga kepada para pembaca.

Abang Fen hilang bukan pergi buat 'facial' di Korea atau melancong ke luar negara tetapi kerana berehat panjang untuk menghabiskan masa bersama anak-anak sepanjang cuti sekolah yang lalu kerana Abang Fen tahu lepas ni, jenuh nak kena mencari bahan dan mengadap komputer semula.

Ni, sewaktu berehat panjang baru-baru ni, Abang Fen sempat bertandang bersama anak-anak dan isteri ke satu tempat istimewa untuk menjamu sate.

Abang Fen dengar daripada beberapa teman yang tempat ini menghidangkan sate yang sangat istimewa. Dan apabila sebut sahaja tentang sate, pastinya you all teringatkan sate Kajang kerana nama itu cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

Tapi kali ni Abang Fen nak berkongsi dengan you all kisah tentang Sate Purnama serta keenakannya selain harganya yang berpatutan serta saiz satenya yang menurut orang ramai tak sepadan dengan harga, you all.

Abang Fen sebenarnya adalah antara penggemar sate daging dan ayam apatah lagi jika sate yang menggunakan daging tempatan serta ayam segar.

Selain rasanya yang sedap, manis serta lazat, kuahnya juga haruslah pekat dan sedap agar keserasian antara sate dan kuah itu terserlah barulah kita dapat merasai kepuasan menjamah sate, ingat tu you all semua.

Sate Purnama ini diusahakan oleh Jazlan Puteh yang berusia 40 tahun dan isterinya Norizan Hamdani, 39, dengan menyewa tapak di Restoran Pak Ngah Mee Udang Jalan Sungai Dua, Butterworth, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Mereka sudah berniaga di situ hampir sepuluh tahun dah.

Apabila mendengar gerai sate ini hanya sekadar menyewa tapak sahaja dan apakah berbaloi mencuba dan betul ke rasanya benar-benar lazat atau cuma sekadar gimik?

Ni yang Abang Fen nak pergi rasa ni...dan sebenarnya setelah menikmatinya memang tak mengecewakan you all.

Dan kalau dah sedap dan memukaukan, dah memang jadi adatlah untuk Abang Fen berkongsi dengan you all semua, tak gitu...Muah!

Jazlan dan isterinya mempunyai lapan orang pekerja yang melakukan proses-proses penyediaan sate sahaja.

Apabila Abang Fen mula mengajukan soalan kepada Jazlan bagaimana dia mula menceburi bidang perniagaan sate ini dan berapa ribu batang sate yang dihasilkannya sehari, Jazlan menceritakan yang dia terlibat dalam perniagaan ini daripada bapa mertuanya.

“Sebenarnya isteri saya adalah orang yang bertanggungjawab dalam menyediakan sate dari perapan ayam dan daging serta penyediaan kuah kerana bapa mertua saya sendiri adalah pengusaha sate,” cerita Jazlan memulakan perbualan dengan jujur.

Setiap hari, kata Jazlan, dia dan isterinya menyediakan lebih lapan ribu batang sate ayam dan daging kerana selain mereka menjualnya sendiri di gerai Restoran Mee Udang Pak Ngah, mereka juga menerima tempahan daripada penjual-penjual sate yang lain.

Jazlan dan isteri yang akan mula membuka gerai sate mereka seawal jam 5.30 petang biasanya berniaga sehingga jam 10.30 malam setiap hari kecuali hari Isnin kerana Restoran Mee Udang Pak Ngah tidak beroperasi pada setiap hari Isnin.

“Alhamdulillah, setiap hari saya sendiri mampu menjual sehingga 4,000 batang sate di sini dan seawal jam 6 petang sudah ada pelanggan yang datang memesan sate,” ujar Jazlan lagi.

Tidak hairanlah kadang-kadang jam baru menunjukkan jam 8 malam tetapi sate Jazlan dah hendak habis dijual kesemuanya.

Waktu Abang Fen sampai, sate mentah yang belum lagi dibakar sudah tinggal sedikit, nasib baik belum habis dipesan pelanggan, jika tidak kempunanlah Abang Fen.

Abang Fen memang boleh bagi markah penuh kepada sate yang diusahakan oleh Jazlan dan isterinya ini kerana rasanya memang sedap serta kombinasi antara sate serta kuah dan sesuatu yang istimewa juga ialah sate yang dibakar tidak melekat arang.

Abang Fen sendiri begitu asyik dengan keenakan sate Purnama hinggakan tidak sedar yang Abang Fen sudah pun membalun 30 cucuk.

Aromanya ketika dibakar sudah cukup untuk menaikkan selera you all, itu belum lagi you all menjamahnya.

Tidak hairanlah jika sate mereka sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan dan majlis rasmi yang lain.

Bukan mudah untuk kita mencari pengusaha sate yang mampu menghidangkan sate yang sedap, penuh dengan isi serta tidak mahal.

Itulah kelebihan Sate Purnama yang dihasilkan oleh Jazlan dan isterinya.

Harga bagi sebatang atau secucuk sate ini ialah 60 sen termasuk kuah serta rampainya iaitu hirisan timun dan bawang.

Saiz sate yang dihidangkan cukup berbaloi kerana selain bersaiz besar, daging yang digunakan adalah daging tempatan segar dan ayam segar.

Bagi you all yang hendak mencuba atau hendak tahu lebih lanjut bolehlah menghubungi Jazlan atau isterinya di talian 0195472820.

Selamat mencuba...



Afandy Yusof, Abang Fen, Jamu Selera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain