suria

Mi Roda Tiga, Sedapnya Hingga Bermimpi

MULA menjual mi rebus dan mi goreng menggunakan roda tiga pada sekitar tahun 70-an, kini kelazatan hasil resipi turun temurun Mi Roda Tiga dikatakan igauan pelanggan sehingga ada yang mendakwa terbawa ke dalam mimpi.

Betul ke ni?

Abang Fen ingin mengesahkan bahawa inilah yang diceritakan pelanggan warung di Kampung Alma, Bukit Merjatam. Kerana itu juga Abang Fen tidak senang duduk dan mahu ke warung berkenaan secepat mungkin

Warung yang dikendalikan oleh Norshidah Ismail, 51, itu bermula dengan usaha gigih bapanya Ismail Ibrahim, 79, mengayuh roda tiga mencari pelanggan yang ingin merasai mee rebus dan goreng di sekitar Bukit Mertajam.

Kerana itu juga ia dikenali sebagai Mi Roda Tiga oleh penduduk dan penggemarnya.

Perniagaan yang bermula awal tahun 70-an itu kini mendapat sambutan ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tidak terkecuali, Abang Fen yang terpikat dengan kelazatan kuah mi dan perencah mi goreng.

Uniknya, you all akan dapat merasai kelazatan secukupnya ketika menguyah mi goreng yang dibalut sebati oleh perencah asli selain kenikmatan menyedut kuah mi rebus.

Makan...makan juga, cungkil rahsia kelazatan pun perlu, untuk you all tahu.

Ketika Abang Fen bersembang dengan pengasasnya iaitu Ismail yang membahasakan diri sebagai Tok Wan, raut wajah warga emas itu seakan rindu saat dia mengayuh basikal bermula 10 pagi hingga senja demi membesarkan anak-anak.

Berbekalkan resipi asli dan lazat, setiap bungkus atau pinggan mi rebus dan goreng dijual pada harga 40 sen pada awal tahun 70-an.

"Tok Wan kayuh roda tiga pusing kampung di seluruh Bukit Mertajam untuk juai (jual) mi, pasai nak sara anak dan isteri. Kadang-kadang basah longkoeh (basah) kena hujan," ceritanya dalam loghat utara.

Usaha Abang Fen untuk mencungkil rahsia disebalik resepi itu bagaimanapun terbatas kerana Tok Wan agak uzur dan tidak mempunyai pendegaran yang baik.

Tetapi Abang Fen tidak berputus asa kerana anaknya yang mewarisi resepi kuah mi dan perencah goreng masih boleh ditanya.

Norshidah (gambar) pada usia remaja telah mula membantu ayahnya memasak kuah mi dan Ismail telah menurunkan resepi itu 100 peratus kepadanya.

Menurutnya, Tok Wan berhenti mengayuh roda tiga pada tahun 1985 dan membina sebuah warung di kampung itu.

"Sejak itu dia mengendali sendiri warung ini sehingga tahun 1995, masa berhenti berniaga Tok Wan berusia 60-an. Pada tahun sama juga saya mula mengambil alih warung ini.

"Daripada jualan sebanyak lima kilogram mi sehari, kini permintaan mencecah sehingga 20 kilogram," ceritanya.

Walaupun agak mengejutkan kerana ia hanya jualan di sebuah warung, namun Abang Fen akui terhadap sambutannya kerana ia turut dikerumuni oleh penduduk dari luar Bukit Mertajam.

Antara pelanggan di warung Kampung Alma yang ingin menikmati kelazatan mi rebus dan goreng.

Norshidah kini dibantu oleh suami dan anak bongsunya Nur Fashihah Romlee, 19, (gambar bawah) dan dia turut mewarisi resipi berkenaan kepada remaja itu.

"Saya akan menurunkan resepi ini kepada anak-anak yang berminat kerana tak mau resepi turun temurun ini berakhir kepada saya saja tetapi biarlah hingga cucu dan cicit nanti," luahnya.

Untuk pengetahuan pembaca, Abang Fen sempat menghabiskan sepinggan mi rebus dan mi goreng.

Sebelum pulang, Abang Fen pesan lagi tiga bungkus untuk dimakan bersama keluarga.

Warung tersebut ditutup pada setiap Sabtu dan Ahad dan bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Nur Fashihah ditalian 011-24106260 atau terus kepada Norshidah 012-4778027.

Bukit Mertajam, Mi Goreng

Artikel Lain