Nasi Beriani Gam, Murtabak Curi Tumpuan Di USJ4

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 12:30 AM

'Bariani Power House' menjual sajian nasi beriani gam dengan harga yang berbaloi.

(Ubah saiz teks)

ANTARA puluhan bazar Ramadan yang terdapat di Subang Jaya, salah satu daripadanya yang terletak di USJ4 menyediakan kira-kira 160 gerai dengan pelbagai sajian makanan.

Gerai yang mencuri tumpuan di bazar ini adalah Bariani Power House yang menjual nasi beriani gam kambing, lembu dan ayam berharga dari RM10 hingga RM10.50.

Istimewanya, hidangan itu dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun keluarga sejak lebih 20 tahun.

Pemilik gerai itu, Zulfakar Sidek berkata, mereka merupakan peniaga tetap di bazar tersebut sejak lebih 10 tahun.

Namun, katanya, pada hari biasa, mereka menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan atau sebarang majlis keramaian.

Nasi beriani ini dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun.

"Ia adalah resipi dari nenek saya... asli dari Batu Pahat," katanya.

Zulfakar berkata, beriani gam dimasak dengan nasinya menimbus lauk dan penutupnya 'digam' rapat menggunakan doh tepung gandum supaya wap yang terhasil dalam periuk tempayan tidak keluar.

Selain itu, hidangan murtabak Langkawi juga antara menu yang menjadi pilihan pelanggan kerana ada yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkannya.

Pemilik gerai murtabak ini, Mohd Zamani Ahmad Daud belajar membuat juadah itu ketika mengikuti pengajian di Langkawi.

Gerainya sentiasa dipenuhi pelanggan sebaik saja ia mula dibuka pada pukul 3 petang hingga ditutup pukul 6.30 petang.

"Kami berniaga di sini selama 14 tahun tetapi kami memiliki gerai di SS19, Subang Jaya dan di Taman Len Sen dan pasar malam Bandar Tun Razak.

"Saya percaya apa yang membuatkan murtabak ini istimewa adalah kuah karinya yang dihasilkan menggunakan resipi asli dari Kulim, Kedah, tempat kelahiran saya," katanya.

Murtabak ini amat popular di bazar Ramadan USJ4.

Gerai Rieyna Qaseh/Ashley Skewer antara yang baharu mencuba nasib di bazar Ramadan ini.

Pemiliknya, Noor Sabrina berkata, ia merupakan tahun kedua mereka berniaga di sini.

"Pada tahun lalu, kami hanya menjual pelbagai jenis ikan bakar. Tapi kali ini, kami turut menjual daging cucuk yang diperap dengan sos cili istimewa dari Johor, kombinasi belacan dan asam jawa," katanya.

Sementara itu, Gerai No.42 yang dimiliki anak-beranak, Azizah Che Man dan Puteri Nordiyana Mohd Nasir menyediakan pelbagai kuih-muih tradisional dan nasi campur.

Azizah berniaga di bazar ini sejak 10 tahun lalu.

Dengan bantuan anak perempuannya, Azizah menjual pelbagai jenis hidangan istimewa dari pelbagai negeri.

Gerai-gerai ini antara yang sedia untuk diterokai pelanggan tatkala bulan Ramadan semakin menghampiri penghujungnya.
Tags / Kata Kunci: bazar ramadan USJ4 , Subang Jaya

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan