Kepelbagaian Pencuci Mulut Pikat Pelanggan

Diterbitkan: Rabu, 23 Julai 2014 12:30 AM

(Ubah saiz teks)

KERANA begitu menggemari coklat, adik-beradik Mohd Asyraf Marzuki dan Mohd Ezriel Marzuki berkongsi kek coklat kegemaran mereka dengan pengunjung di bazar Ramadan, Stadium Shah Alam.

Kedua-duanya yang mengakui tiada kemahiran dalam bidang bakeri, memperoleh resipi kek tersebut semasa di zaman persekolahan.

"Kami tidak tahu apa-apa dalam bidang bakeri tetapi amat menggemari coklat dan kek ini berjaya menyatukan keluarga kami," kata Ezriel.

Setiap tahun, Ezriel akan mengambil cuti selama sebulan untuk menghasilkan kek coklat dan menjual sajian pencuci mulut itu di bazar Ramadan.

"Kami tiada kedai dan hanya berniaga untuk suka-suka sahaja," kata pensyarah bidang automotif itu.

Mohd Ezriel menuang topping di atas kek coklat. - foto SAMUEL ONG/THE STAR

Walaupun kek yang mereka sediakan tiada banyak pilihan, gerai adik-beradik itu sering dikunjungi pembeli yang ingin menikmati kek coklat mereka.

Asyraf menyimpan setiap potong kek yang berharga RM5 di dalam kotak dan mencurah dua senduk topping (coklat yang dicairkan) diatas kek tersebut.

Menurut Ezriel, mereka tidak sengaja membuat keputusan untuk memberikan topping kek (coklat) secara percuma.

"Kebiasaannya, kami menyediakan semua kek di rumah siap dengan topping tetapi pada suatu hari saya terlewat dan tiada masa untuk melakukannya di rumah," katanya.

Namun itu pengalaman 12 tahun lalu dan sejak dari itu, mereka menjual kek coklat tersebut mengikut cara yang dikehendaki pembeli.

Selain kek coklat, penduduk di Shah Alam boleh menikmati puding karamel yang disediakan oleh Fatin Fadila Azhar di gerai pencuci mulut, 'Bella Caramel'.

Dari kiri: Fatin bersama bapanya, Azhar Zainal Abidin dan datuknya, Ismail Harun menguruskan gerai Bella Caramel. - foto SAMUEL ONG/THE STAR.

"Kami tiada apa-apa selain puding karamel kerana sesiapa saja pasti menggemarinya," kata pelajar berusia 22 tahun itu.

Fatin berkata ibunya akan menyediakan puding karamel itu dirumah pada waktu pagi sebelum dijual oleh bapa dan datuknya.

"Sementara kami menjual di bazar Ramadan, ibu akan berehat di rumah dan menyediakan bahan-bahan untuk dijual esok hari," kata Fatin.

Menurutnya, dua potong puding karamel itu berharga RM5.

Puding jeli yang diusahakan di gerai Jahariah Mamang juga antara tarikan ramai di bazar Ramadan Shah Alam.

Puding trifle.

Terdapat pelbagai pilihan puding buah-buahan seperti mangga, kiwi, strawberi, buah naga, laici dan belimbing yang dijual pada harga RM5 untuk tiga potong.

Puding trifle lima lapis yang terdiri daripada lapisan kastard, emping jagung, puri strawberi dan beri biru dan krim antara yang digemari kanak-kanak.

Dua sahabat baik, Muhamad Zakuan Md Isa dan Syed Abdul Rahman Agel,  yang baharu pertama kali berniaga di bazar Ramadan menjual 15 jenis kek setiap hari.

"Kami akan membuat kek tersebut bersama dengan rakan-rakan. Ia pengalaman terindah buat kami untuk mengetahui sama ada rasa kek itu bagus atau sebaliknya," kata Syed.


Tags / Kata Kunci: bazar Ramadan , Shah Alam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan