suria

Itik Salai Istimewa Pembuka Selera

Itik salai dijual pada harga RM28 seekor.
ITIK salai yang diusahakan Bumiputera jarang ditemui di utara tanah air, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.


Selama ini, itik salai digemari masyarakat Cina dan pelbagai masakan berasaskan itik sering disediakan di restoran milik peniaga kaum itu.

Namun Abang Fen bertuah kerana berkesempatan bertemu peniaga melayu yang menjual hidangan menyelerakan itu.

Aroma baunya apabila dipanggang cukup memikat, malah penulis seakan dapat merasai keenakan rasanya ketika menghidu asap semasa proses ia disalai.

Sepanjang Ramadan, perniagaan itik salai yang diusahakan lebih enam tahun oleh Mohd Fazail Abu Bakar ini beroperasi dengan menumpang di tepi sebuah kedai makanan di Kampung Bukit Minyak, Bukit Mertajam.

Menceritakan rahsia disebalik hidangan yang sentiasa laris dan mempunyai pelanggan tetap itu, lelaki berusia 55 tahun itu berkata, itik perlu diperap selama 2 jam.

"Bahan asasnya yang dikisar seperti bawang, cili, halia, lengkuas, serai dan lain lain sebelum dipanggang hingga masak dan akhirnya disalai”, kata Mohd Fazail tanpa berselindung.


Abang Fen semakin tertarik untuk mencungkil lebih banyak rahsia lagi bagi dikongsi dengan pembaca, mungkin ada yang berminat untuk cuba menyediakan hidangan ini nanti.

“Sebelum itu, itik perlu direbus separuh masak supaya isi didalamnya masak dan lembut kemudian daun kunyit dipotong kecil untuk diperap bersama bahan salai supaya tidak hanyir," katanya.

Mendengar penerangan Mohd Fazail, Abang Fen kagum dengannya kerana langsung tidak kedekut ilmu untuk dikongsi sedangkan itik salai ini adalah sumber pendapatannya.

Setelah menikmati sendiri keenakan itik salai selepas berbuka puasa dan merasai kelembutan daging serta haruman bahan asasnya, baharulah Abang Fen boleh kongsi dengan pembaca.

Itik salai ini adalah dari jenis itik air yang dibekalkan kepada Mohd Fazail oleh penternak Melayu di Sungai Bakap, Seberang Prai Selatan.

Ia dijual pada harga RM28 seekor, malahan pembeli juga boleh memilih itik salai yang mereka mahu dan harganya tetap sama.


Pada Ramadan ini, kebiasaannya sebanyak 12 ke 15 ekor dijual dalam sehari sehari, bermula pukul 4 petang dan habis dijual antara sejam hingga tiga jam.

Mohd Fazail juga memberitahu bahawa beliau sering mendapat tempahan bagi menyediakan itik salai dan gulai itik daripada orang kenamaan.

Tetapi adakalanya beliau terpaksa menolak kerana beliau sendiri kurang sihat kerana mengalami sakit sendi dan kaki.

“Tak semua tempahan saya penuhi kerana saya sendiri kurang sihat tetapi jika yang menempah itu bagi majlis yang penting, saya usaha untuk tunaikan," kata beliau mengakhiri perbualan.

Itik salai, Bukit Minyak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kailan Ikan Masin

Artikel Lain