suria

Jus Durian Tarikan Bazar Ramadan Chow Kit

Jus Durian dijual di bazar Ramadan Jalan Chow Kit.
MUSIM raja buah kembali lagi dan di merata tempat pasti kelihatan longgokan durian dari beberapa negeri di Semenanjung.


Alasan cuaca panas dan berpuasa, menyebabkan ada yang menganggap tidak sesuai menjamah buah kebanggaan negara itu. Tetapi bagi penggemar durian, apa juga alasan yang diberi, ia tidak menghalang mereka untuk terus menikmatinya.

Bagaimanapun, sesuai dengan situasi yang diperkatakan tadi, ada peniaga yang kreatif apabila memproses durian bukan untuk digoreng, sebaliknya menjadikan ia jus.

Jus durian ini boleh didapati di bazar Ramadan Jalan Chow Kit yang sememangnya dipenuhi warga Kuala Lumpur setiap kali menjelang Ramadan.

Sesiapa yang mencubanya pasti tidak akan melupakannya kerana ia dihasilkan daripada pati durian segar.

Apa kata, cuba kunjungi bazar ini untuk mendapatkan pengalaman meminum jus durian nanti.




Bagi yang ingin membeli durian, di situ juga lokasi yang tepat untuk mendapatkannya. Malah ada gerai yang menyediakan pakej dengan pulut durian sekali.

Selain itu, bazar Jalan Chow Kit juga menawarkan pelbagai juadah lain seperti cempedak goreng cili padi, itik panggang, kepak ayam panggang dan ikan bakar Abang Misai yang juga peniaga tetap di bazar ini.


Bagi penggemar putu bambu, gerai menjualnya terletak selepas pasar sayur dan buah-buahan. Ia dijual pada harga 50 sen setiap satu atau 11 untuk RM5.

Berhampiran gerai putu bambu itu ada gerai lemang yang mula dijual kira-kira pukul 6 petang dan jangan terkejut, walaupun 1 Syawal akan hanya tiba dua minggu lagi, gerai ini tetap mendapat sambutan.



jus durian, Jalan Chow Kit

Artikel Sebelum

Puding Jagung

Artikel Berikut

Nasi Sayur

Artikel Lain