Rasa Utara Di Ancasa

Diterbitkan: Sabtu, 12 Julai 2014 12:30 AM

Sambal sotong kering.

(Ubah saiz teks)

BUKAN setiap hari seorang chef menjelajah ke negeri yang berbeza semata-mata untuk mencari resipi makanan ala kampung terbaik untuk disajikan kepada pelanggan sempena Ramadan ini.

Namun, ia bukan sesuatu yang mustahil bagi barisan chef di Hotel Ancasa & Spa Kuala Lumpur.

Barisan chef itu yang diketuai oleh Eksekutif Sous Chef, Ricky Narayanan percaya makanan yang enak tidak boleh dihasilkan tanpa melakukan sesuatu penyelidikan.

Mereka mula menjelajah ke utara untuk merasai masakan kampung terbaik sebagai persiapan menyediakan bufet Ramadan bertemakan Rasa Utara.

"Kami mengambil masa selama lima hari menjelajah dari Taiping kemudian ke Kedah dan Perlis, menikmati beberapa hidangan yang terkenal di negeri tersebut," kata Ricky.

Hasil jelajah itu, mereka menyediakan lebih 700 sajian dalam menu yang digilirkan setiap minggu.

Bagi yang ingin berbuka puasa di sini, anda boleh mulakan dengan hidangan sup yang digilirkan setiap hari seperti sup kambing berempah, sup soto ayam dara, sup ayam berempah dan sup tulang rawan.

Di sudut salad, terdapat ulam-ulaman termasuk pulut yang enak dimakan bersama serunding dan kelapa parut.

Pelbagai pilihan hidangan mi dan laksa.


Bagi penggemar mi dan laksa dari utara, anda boleh dinikmati hidangan seperti laksa belut dan laksa Teluk Kuchai, asam laksa Penang, mi sup, mi rebus mamak dan mi sup utara.

Selain itu, hidangan gulai nenas ikan sepat masin dan sambal sotong kering antara yang mampu membangkitkan selera anda.

"Sambal (sotong kering) sedap dimakan bersama nasi lemuni berwarna ungu yang dihasilkan dari pokok lemuni. Cara membuatnya hampir sama dengan penyediaan nasi lemak," katanya.

Nasi lemuni.

Terdapat juga nasi kandar untuk penggemar makanan Pulau Pinang selain ikan bakar.

Tujuh gerai disediakan bagi membolehkan pengunjung menikmati hidangan char kuey teow, popiah, pisang goreng dan cucur udang dari Kuala Sepetang dan kambing panggang.

Promosi bufet itu berharga RM75 untuk dewasa dan RM50 bagi kanak-kanak yang boleh dinikmati sehingga 25 Julai ini.
Tags / Kata Kunci: Hotel Ancasa , rasa utara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan