suria

Hanya 20 Minit, 1,000 Bungkus 'Kanji' Habis Disedekah Setiap Hari Ramadan

Kanji hasil resipi Che Norah terus digemari hingga hari ini.
KULIM: Selepas 52 tahun, kesungguhan yang dirintis Shuib Ibrahim memasak dan mengedarkan secara percuma kanji kepada orang ramai masih diteruskan dan ia kekal mendapat sambutan hangat setiap hari, sepanjang Ramadan.



Apa yang paling menarik, kanji atau bubur nasi ini cukup istimewa dengan penggunaan bahan utama seperti udang kering dan udang basah.

Sejak dahulu lagi, bertempat di rumah nombor 342, Kampung Masjid, di sini, program sumbangan kanji ini diperkenalkan Shuib dan kini, kesungguhannya suatu ketika dulu memberi semangat dan dorongan kepada isteri, Che Norah Abdullah, 76 dan anak Allahyarham, Zul Bakri, 48, untuk meneruskan tradisi itu.


Che Norah Abdullah.


Baru-baru ini, penulis berpeluang menyaksikan proses membungkus dan mengagihkan kanji kepada orang ramai.

Kanji ini dimasak dalam anggaran 60 kilogram beras sehari menggunakan empat kawah. Proses ini dibantu orang kampung secara sukarela yang kebanyakannya terdiri daripada wanita muda dan warga emas.

Sementara menanti proses pembungkusan selesai, penulis sempat menemubual Zul Bakri, anak bongsu Allahyarham.

“Program memberi kanji secara percuma ini adalah tradisi yang dicetuskan arwah ayah, jadi tradisi ini kami teruskan hingga hari ini dan resipi istimewa ini adalah dari ibu," katanya.

Mengenai dana bagi menjayakan program ini sepanjang Ramadan, katanya, ia dapat dijalankan setiap tahun kerana ada pihak yang menghulurkan sumbangan gas, beras dan beberapa bahan asas lain, serta sumbangan wang tunai dari Masjid Jamek Al-Jamiul Makmur, di sini.

Kanji sedia dibungkus untuk diedarkan kepada orang ramai.

Menceritakan rutin hariannya pada bulan mulia ini, Zul Bakri berkata, setiap hari selepas subuh dia akan ke pasar membeli bahan untuk menyediakan kanji termasuk udang basah, udang kering, halia, bawang, serai dan daun pandan.

Seawal 8 pagi proses memasak kanji dijalankan sehingga kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Setelah itu sukarelawan akan mula membungkus kanji ke dalam plastik sebelum diletakkan didalam bekas yang disediakan.

Sukarelawan sedang membungkus kanji tersebut.


Empat kawah yang penuh dengan kanji yang masih panas perlu cepat diisi ke dalam plastik kerana ia mula diedarkan pada pukul 3 petang.

Kira-kira 15 minit sebelum itu, penggemarnya mula beratur panjang untuk memastikan kanji istimewa itu menjadi antara hidangan berbuka puasa mereka.

Walaupun ia percuma, namun ramai juga yang menghulurkan sumbangan wang tunai ke dalam bekas yang disediakan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu penganjur.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan hidangan istimewa itu.


Paling menarik, lebih 1,000 bungkusan kanji itu habis diedarkan hanya dalam masa 20 minit sahaja.

Pengalaman bersama Zul Bakri adalah sesuatu yang menarik serta “luar biasa” kerana timbunan bungkusan kanji itu dapat diagihkan dalam masa yang singkat dan tidak dinafikan, ada juga yang pulang dalam keadaan hampa.

Zul Bakri berharap, jika ada individu atau pihak yang sudi menghulurkan sumbangan untuk kerja amal ini, termasuk pihak yang sedia menjadi sukarelawan sama ada memasak, membungkus atau mengagihkan kanji boleh menghubunginya di talian 019-4777712.
kanji, Kulim, Shuib Ibrahim

Artikel Sebelum

Tiwol Kang Abu

Artikel Berikut

Ayam Panggang

Artikel Lain