Sajian Legasi Warisan Dapur Riverstone Eco Resort

Diterbitkan: Isnin, 7 Julai 2014 12:01 AM

(Ubah saiz teks)

SEKIRANYA teringatkan nasi ambeng yang lazat sebagai hidangan berbuka puasa, datanglah ke Riverstone Eco Resort yang terletak di Hutan Lipur Sungai Tua, Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Riverstone Eco Resort memang terkenal dengan keenakan nasi ambengnya yang mengandungi nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding kelapa, sayur kacang panjang dan ikan masin.

Nasi ambeng Riverstone.

Menurut Pengurus Besarnya, Hamidah Asararuddin, nasi ambeng atau hidangan tradisional masyarakat Jawa itu merupakan sajian signature di restoran ini.

"Bagi penggemar makanan ini, restoran kami pasti tidak akan menghampakan pelanggan kerana setiap masakan disediakan sendiri oleh saya," katanya.

Hamidah berkata, hidangan tersebut dikekalkan buat tahun ketiga kerana permintaan yang menggalakkan sepanjang bulan Ramadan.

"Kita amat mementingkan penggunaan ramuan dan rempah-ratus yang terbaik bagi menjadi mutu masakan," katanya.

Selain nasi ambeng, Hamidah berkata, bufet Ramadan ini menyajikan kira-kira 45 hidangan untuk dinikmati sambil menghayati keindahan malam dalam suasana hutan yang mendamaikan.

Patin tempoyak.


Katanya, hampir kesemua hidangan tersebut diilhamkan sendiri oleh dirinya yang turut dibukukan dalam buku Legasi Warisan.

"Kebanyakan hidangan pada bufet kali ini diambil menerusi buku resepi saya (Legasi Warisan) yang telah berada di pasaran," katanya.

Antara hidangan tersebut adalah ikan patin masak tempoyak, ayam masak merah, ayam panggang Riverstone, kerabu kacang botor dan sagu gula Melaka.

Beliau berkata, sajian tersebut merupakan menu wajib apabila tiba bulan Ramadan, malah ia merupakan makanan yang akan menjadi pilihan pelanggan yang datang ke sini.

"Setiap pelanggan yang datang ke sini akan mencari hidangan ini. Jadi kita kekalkan menu yang disediakan pada hari biasa dalam bufet Ramadan tahun ini," katanya.

Pecel Mbah Wedok. - foto Facebook Riverstone Eco Resort


Masih mengekalkan konsep masakan jawa, bufet itu juga menghidangkan pecel Mbah Wedok.

Pecel Mbah Wedok itu terdiri daripada kuah kacang, timun, sengkuang, tauhu goreng, taugeh, kacang panjang dan bayam.

Bagi yang ingin terus menikmati keindahan malam di persekitaran resort yang tenang, hidangan ringan seperti bubur kacang hijau, pengat ubi kayu, lopis ubi kayu dan teh tarik serta kuih-muih akan menemani anda.

Selain itu, Hamidah berkata, minuman Wedeng Serey atau lebih dikenali sebagai air serai antara hidangan yang wajib dicuba sebelum mengakhiri bufet ini.

"Minuman ini amat baik untuk kesihatan kerana ia dapat membantu membuang angin dan mengurangkan kolestrol selepas menikmati juadah berbuka puasa. Ia mengandungi campuran serai, halia, kayu manis, limau dan gula melaka," katanya.


Wedeng Serey.

Kemudahan surau turut disediakan untuk memudahkan pelanggan menunaikan solat Maghrib ataupun tarawih.


Bufet Ramadan Riverstone Eco Resort bermula pada 3 Julai sehingga 26 Julai ini dan dibuka dari pukul 6.30 petang hingga 9 malam.

Promosi ini masih mengekalkan harga lama iaitu RM40 untuk dewasa dan RM22 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan sila hubungi 013-2080833 atau 012-2295222.


Tags / Kata Kunci: Riverstone Eco Resort , nasi ambeng

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan