suria

Kisah Penangan Mi Pak Sarif

KALAU belum masuk dalam mulut, memang Abang Fen takkan cakap mi rebus dan mi goreng Pak Sarif sedap.

Tetapi apabila sebatian perencah yang membalut mi itu terkena lidah...penanganya memang hebat, rasa macam hendak mintak lagi sepinggan.

Tetapi nafsu makan juga perlu dikawal bagi menjaga kesihatan.

Begitulah penangan mi rebus dan mi goreng Pak Sarif yang terletak di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketika berada di gerai mi Pak Sarif baru-baru ini, Abang Fen sempat bersembang sendiri dengan tuan empunya badan untuk mengetahui rahsia disebalik keenakkan mi tersebut.

Kisahnya bermula begini, Pak Sarif atau Mohd Sharif Hamid, 61, merupakan anak kelahiran di Kuala Kurau, Perak yang berhijrah ke Pulau Pinang untuk berkerja di sebuah kilang.

Pak Sarif


Di situ, Pak Sarif bertemu pula dengan Habibah Awang dan mengakhiri zaman bujangnya pada 25 Mei 1980. Pasangan bahagia itu kemudian dikurniakan enam cahaya mata.

Secara kebetulan, Habibah merupakan anak kepada Che Pah Lazim seorang penjual mi rebus terkenal di Kampung Bukit Kechil sekitar tahun 80-an.

Terpikat dengan keenakkan mi rebus dan mi goreng Che Pah, Pak Sarif akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sama dengan menjelajah ke pasar malam di negeri itu sebelum mendirikan sebuah warung di  Tanah Liat.

Pak Sarif berkata, perencah mi rebus dan mi goreng yang sering memikat selera pelanggan itu adalah hasil adunan tulang lembu, udang dan ketam bagi menghasilkan rasa istimewa.

"Apa yang penting, bahan-bahan tersebut perlulah segar dan tulang lembu pula bukan daripada jenis import.

"Walaupun mahal, tetapi tak apa, asalkan pelanggan dapat merasai bertapa sedapnya resipi tradisional ini," katanya.

Kuah atau perencah bagi mi goreng yang menjadi kegilaan pelanggan mi Pak Sarif selama ini.


Mi Pak Sarif pada awalnya dijual pada harga RM1.20 sepinggan tetapi harganya terpaksa dinaikkan mengikut peredaran zaman dan peningkatan kos bahan mentah.

Kini Mi Pak Sarif sudah dikenali ramai malah ianya pernah dimuatkan dalam akhbar tempatan dan Berita Wilayah TV1.

"Saya rasa puas bila pelanggan makan hingga habis setiap makanan yang dipesan” tambahnya.

Selain menjaga mutu makanannya Pak Sarif juga mengutamakan kebersihan bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan dan dirinya sendiri.

Mi goreng Pak Sarif kebiasaannya habis dijual pada jam 6 petang kerana pelanggan bukan sekadar menjamu selera disitu tetapi ramai juga yang membungkus.

Atas rasa tanggung jawab dalam mengekalkan mutu makanannya  Pak Sarif hanya dapat menjual sehingga 30 kilo mi sehari dengan waktu operasi bermula selepas solat Zohor dan ditutup ketika senja.

Untuk tempahan atau sebarang pertanyaan pembaca boleh menghubungi terus kepada Pak Sarif ditalian 017-4895611.

pesanan - Lepas ni Abang Fen ada lagi kedai nak kongsi...

Artikel Lain