suria

Ultraman Mebius Muncul Sempena Hari Bapa

Ultraman Mebius ketika mengadakan lawatan ke Menara Star, Petaling Jaya, Selasa.
DIANGGAP sebagai 'superhero' yang mempunyai kuasa dan kekuatan luar biasa, pasti setiap kanak-kanak mempunyai imaginasi untuk melihat adiwira sanjungan mereka berada di depan mata.

Imaginasi kanak-kanak itu kini dapat direalisasikan oleh ibu bapa dengan membawa anak mereka bertemu dengan Ultraman Mebius di pusat beli-belah KL Festival City yang ditampilkan khas sempena musim cuti sekolah dan sambutan Hari Bapa.

"Adiwira atau 'superhero' sering dikaitkan sebagai pelindung dan penyelamat dunia, justeru kita bawakan Ultraman Mebius untuk menyampaikan mesej sebenar tentang superhero kepada kanak-kanak.

"Pengalaman bertemu Ultraman Mebius secara tidak langsung akan menimbulkan kesedaran kepada kanak-kanak bahawa bapa mereka adalah 'superhero' dan pelindung sebenar dalam kehidupan mereka," kata Pengurus Pemasaran Festival City Sdn Bhd, Too Yee Ping yang mengadakan lawatan ke Menara The Star sempena kempen 'My Super Hero Dad'.

Menurut Yee Ping, kebanyakan ibu bapa sering terfikir-fikir di manakah lokasi dan apakah aktiviti yang sesuai untuk anak-anak mereka pada cuti sekolah.

Jelasnya, tidak semua ibu bapa berpeluang membawa anak-anak mereka pergi melancong di luar Kuala Lumpur.

"Menyedari perkara itu, kami berasa bertanggungjawab untuk menawarkan pengalaman baharu dan kegembiraan bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi untuk seisi keluarga pada cuti hujung minggu.

"Menerusi kempen ini, mereka berpeluang mengambil gambar dengan Ultraman Mebius dan menyertai aktiviti-aktiviti menarik yang telah disusun seperti pertandingan mewarna dan sebagainya," jelasnya.



Menyedari adiwira itu menjadi tarikan utama untuk kempen itu, Yee Ping berkata Ultraman Mebius akan muncul pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad selama tiga minggu berturut-turut sepanjang kempen berlangsung iaitu bermula 28 Mei hingga 15 Jun ini.

"Kami juga tidak melupakan ibu bapa dalam kempen ini kerana bagi mereka yang membuat pembelian dengan kad kredit OCBC sebanyak RM150 ke atas, mereka akan menerima bekas air edisi terhad Ultraman Mebius," katanya.

Katanya, bukan pemegang kad kredit OCBC juga berpeluang mendapatkan hadiah istimewa tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

Ultraman Mebius, hari bapa

Artikel Berikut

Artikel Lain