suria

Ibu 5 Anak Tidak Patah Semangat Hadapi Kanser

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Norsabrina Mohd Noor (kiri) menyampaikan Anugerah Hari Ibu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah kepada Hafizoh Hussain (kanan) pada majlis Sambutan Hari Ibu 2014 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR: Mengidap kanser ovari sejak empat tahun lepas tidak mematahkan semangat seorang ibu kepada lima anak untuk meneruskan kehidupannya termasuk bekerja dan menguruskan keluarga.

Hafizhoh Hussain, 53, pembantu tadbir di Bahagian Kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah berkata sebaliknya beliau tidak pernah berputus asa untuk melawan barah yang dihidapinya sejak 2010 itu yang kini berada di tahap empat.

Beliau yang menetap di Taman Utama di sini berkata beliau mengetahui dirinya mengidap kanser tahap tiga pada 2010 dan sejak itu telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 43 kali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya suami Abd Aziz Othaman, 50, dan lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 12 hingga 30 tahun sentiasa memberi sokongan agar beliau melawan penyakit itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya tak boleh layan penyakit saya ini nanti akan jadi sakit. Saya lawan penyakit saya dengan bekerja seperti biasa dan menguruskan keluarga. Kalau saya duduk saja saya akan jadi murung," katanya kepada pemberita ketika hadir pada sambutan Hari Ibu peringkat pejabat SUK negeri di sini, Ahad.

Hafizhoh berkata seseorang itu perlu mempunyai kekuatan untuk melawan penyakit seperti barah dan sokongan moral daripada jiran-tetangga dan rakan-rakan.

Terdahulu, beliau dipilih oleh pejabat SUK negeri untuk menerima Anugerah Tokoh Ibu sempena Hari Ibu yang disambut oleh warga kerja kerajaan negeri. 

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang beri anugerah ini kepada saya dan anugerah itu sebagai suntikan semangat untuk melawan penyakit dan penghargaan kepada saya sebagai seorang ibu," katanya.

Hafizhoh memulakan kerjayanya di Jabatan Veterinar Kedah pada 1982 sebelum ditukarkan ke Bahagian Kewangan Pejabat SUK negeri pada 2007. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi, Norsabrina Mohd Noor berkata semangat yang ditunjukkan Hafizhoh untuk melawan penyakitnya boleh dijadikan contoh.

Katanya Hafizhoh dipilih sebagai tokoh ibu kerana kesungguhannya dalam melawan penyakit dihadapinya dan komitmen dalam melakukan kerjanya walaupun berhadapan dengan penyakit serius.

"Kami warga kerajaan negeri berharap dan berdoa agar Hafizhoh akan sembuh dari penyakit serta dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain," katanya yang merasmikan sambutan Hari Ibu peringkat SUK negeri.

Pada majlis tersebut seramai 117 ibu diraikan sebagai tanda penghargaan dan komitmen sebagai seorang ibu berkerjaya.

SUK, Kedah

Artikel Lain