suria

CINTA SEBENAR...

ASSALAMUALAIKUM, salam suria cinta buat anda. Kali ini Lin akan berkongsi bicara tentang apa yang sering dikata sebagai cinta sebenar.

Hakikatnya, apabila kita ditakdirkan jatuh cinta, pasti akan berlaku banyak perubahan dalam kehidupan kita apatah lagi jika cinta kita itu berbalas sama ada dari sudut perasaan, corak pemikiran jua cara penampilan.

Apabila terbitnya getar cinta maka akan bermulalah detik-detik indah dalam pentas kehidupan kerana kita tahu ada insan yang sudi mengisi kekosongan hati yang akan sentiasa berada di sisi hati dan diri kita dalam apa jua situasi.

Tak dapat dinafikan hadirnya si dia pasti turut memberikan inspirasi dan semangat dalam kita melaksanakan apa saja tugas yang ingin dilakukan. Namun, janganlah kita terlalu mengimpikan hanya cerita-cerita indah sahaja yang bakal mewarnai pentas cinta kita kerana dalam realiti tak semua daripada kita bernasib baik dalam mendapat pasangan.

Kerana ada juga di antara kita yang bertemu dengan insan yang bijak melakonkan watak dalam mengaburi pandangan juga demi merajai hati dan perasaan kita agar terkunci hanya buatnya. Ia sering berpunca daripada tiadanya ketulusan hati dalam menjalinkan ikatan cinta dan si dia hanya ingin bersama kita demi memenuhi tuntutan serta tujuan tertentu atas tiket kepentingan peribadi.

Namun bagi yang memiliki cinta sejati, dari si dia yang benar ikhlas, sekalung tahniah Lin ucapkan kerana anda cukup bertuah dan pesan Lin hargailah anugerah terindah itu sebaik mungkin dan perlu sentiasa bersyukur kehadrat yang Esa di atas kurniaanNya dan sebagai tanda menghargainya, kita perlu sentiasa berusaha untuk memupuk dan memperdalamkan perasaan cinta dari semasa ke semasa.

Lin turut mendoakan agar bahagia terus menjadi milik kalian berdua hingga ke akhirnya. Namun bagi yang kurang bernasib baik, kerana ditakdirkan bercinta dengan insan yang hanya ingin memainkan perasaan kita semata-mata, harapan Lin, banyakkanlah bersabar serta tabah dalam mengharungi apa jua cabaran yang melanda dan percayalah setiap apa yang dilakukan dengan diiringi niat yang negatif takkan mampu bertahan lama.

Masa pasti akan menjadi saksi dan segalanya akan terlerai jua kerana insan yang baik itu adalah untuk pasangan yang terbaik saja.

Ok, jangan lupa bersama Lin untuk kita bersama mendekati dunia cinta.

Terus jadi pasangan terbaik di kalangan yang baik dan jangan sekali kali kita lupa dari mana asal usul kita…Jumpa Lagi.

Dengarkan Rancangan SURIA CINTA, yang ke udara di Suria Fm (105.3 di Lembah Kelang), (105.9 di Sabah) (96.0 di Ipoh) dan (96.1 di Kuantan), (88.5 di Melaka dan Utara Johor), (101.4 di Johor Bahru), (91.7 di Taiping), (106.9 di Perlis, Kedah & Penang) (107.0 di Seremban), (106.1 di Kota Bharu) dan (102.4 di Kuala Terengganu) . Keudara setiap Ahad mulai jam 8.00 malam hingga 12.00 malam.

Kirimkan penyertaan seperti puisi, warkah, madah cinta anda kepada Lin ke alamat; Penerbit Suria Cinta, SuriaFM, Tingkat 15, Bangunan Am Assurance, No. 1 Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur. Anda juga boleh fakskan ke 03-40439125.

Sebarang penyertaan dan komen, emailkan ke [email protected] atau klik Facebook “Lin Suria Cinta” di www.suriafm.com.my. Wassalam..

Artikel Berikut

Artikel Lain