suria

Rekaan Menawan Di Pagi Syawal

Koleksi Innai Red yang menampilkan baju kurung moden yang dihasilkan Alia Bastamam.

SEMPENA Syawal nan mulia kali ini, pelbagai koleksi menarik dengan gaya baharu dipersembahkan bagi menyerikan sambutan perayaan yang penuh bermakna selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

Berikut adalah antara gaya lebaran yang diilhamkan beberapa pereka yang dikenali ramai dengan sentuhan ajaib mereka.

Emel yang dihasilkan Melinda Looi bekerjasama dengan beberapa selebriti tempatan dalam menampilkan koleksi baju kurung khas buat lebaran tahun ini.

Menampilkan nama-nama seperti Aishah Sinclair, Atilia Haron , Daphne Iking , Dynas Mokhtar, Serena C dan Sazzy Falak, peragaan baju kurung yang bermotifkancetakan air itu dengan pelbagai warna tambah menawan.

Hasil jualan kemudiannya akan didermakan kepada Reef Check Malaysia bagi membantu organisasi ini dalam usaha memulihara hidupan laut, selain dana untuk mendidik pelajar mengenai kepentingan pemuliharaan marin.

Emel hasil Melinda Looi

KOLEKSI lebaran Innai Red 2016 yang diilhamkan oleh Nouveau Art and Design Movement menerusi idea dari sejarah eklektik lama yang popular di masa lalu, dengan menampilkan struktur yang memberi impak feminin, sofistikated dengan manik 3D serta sulaman bunga dan kain halus yang direka khas buat mereka yang ingin tampil cantik dan kelihatan berbeza di Aidilfitri.

Selain fabrik, penggunaan rona lembut juga dipilih agar si pemakai kelihatan manis dan ayu di pagi lebaran.

Koleksi Raya Alia Bastamam tahun ini pula diilhamkan daripada musim panas 2016 khas buat mereka yang ingin tampil dengan gaya yang lebih tenang dan sejuk, sekali gus menambahkan gaya yang moden dan eksklusif.

Kain satin dan sutera juga dipilih kerana sifat kain yang sesuai dengan tema musim panas yang begitu sinonim dengan cahaya dan angin. 

Rekaan baju yang kasual sesuai digayakan semasa lebaran, memberi kesan berbeza dalam koleksi Hari Raya anda.

"Kami inginkan sesuatu yang sangat moden untuk rekaan musim ini kerana ia mendapat permintaan yang begitu tinggi dalam industri fesyen sekarang, selain menampilkan rekaan berunsur kontemporari dalam budaya tradisional," jelas Alia.


Rekaan menarik ala kimono Jepun daripada Rico Rinaldi.

REKAAN Summeraya daripada Rico Rinaldi pula membawa konsep perkahwinan hasil gabungan budaya antara Melayu dan Jepun. Masih mengekalkan asas-asas baju kurung dan kebaya, ia turut mempunyai unsur-unsur reka bentuk siluet daripada kimono Jepun. 

Dengan gabungan rekaan yang begitu menarik dengan Tomita Senkogei, seorang pakar kraftangan yang begitu arif dalam fabrik kimono tradisional, merupakan seorang yang dihormati di Jepun.


PENGGUNAAN fabrik seperti linen, kapas dan sifon yang dicetak dengan pelbagai motif yang direka khas buat koleksi 'ready-to-wear' lebaran ini. Mengangkat tema Balik Kampung, Jovian Mandagie kali ini tampil dengan rekaan sedia untuk dipakai dengan menawarkan pelbagai corak batik dan pua kumbu.

Menggunakan fabrik kontemporari seperti sutera, sifon, satin, krep dan renda, Jovian membawa 32 rekaan untuk wanita dan 20 rekaan untuk lelaki
yang terdiri daripada pelbagai stail baju kurung dan kebaya,jubah, kurta dan juga baju melayu yang menggabungkan penggunaan bunga,
mutiara Swarovski, manik kaca serta sulaman.


"Koleksi ini menggambarkan warisan tradisional yang masih relevan untuk dipakai walaupun pada zaman yang moden," kata Jovian.


Artikel Lain