suria

KL Fashion Week Tampil Koleksi Istimewa Siap Dipakai

KL FASHION Week (KLFW) 2015 yang berlangsung di Pavillion baru-baru ini nyata menjadi medan peminat fesyen tempatan mendapatkan koleksi busana siap dipakai terbaharu daripada pereka kegemaran mereka.

Nama seperti Syaiful Baharim dan Hatta Dolmat memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, masing-masing tampil dengan koleksi busana siap dipakai terbaharu yang bukan sahaja elegan malah mengikut perkembangan fesyen masa kini.

Kali ini, Syaiful tampil dengan pelbagai koleksi busana yang sesuai untuk pelbagai majlis dan situasi seperti kasual, majlis makan malam, pakaian pejabat seperti skirt, blouse labuh.

Sepanjang acara berprestij yang berlangsung antara 12 hingga 16 Ogos lalu itu, terdapat pelbagai pilihan warna yang ditampilkan seperti rona terang mahupun lembut.

Bagi mereka yang gemar pergi bercuti, usah risau kerana kali ini Syaiful tampil dengan koleksi busana ala 'resort' yang boleh digayakan ketika menikmati percutian anda.

Selain itu, Hatta turut tampil dengan koleksi busana yang unik dan menarik perhatian ramai pada KLFW 2015.

Biarpun sudah 10 tahun berada dalam industri fesyen tanah air, Hatta Dolmat mengakui ini kali pertama menyertai KLFW.

Hatta tampil dengan rekaan terbaharu yang lebih santai dengan konsep monotone atau minimal.

Penyertaan sulung pereka kelahiran Melaka ini tambah istimewa apabila cuba mengetengahkan kelainan dengan menerapkan elemen serangga pada busana berkenaan.

Lebih istimewa, rekaan Hatta kali ini bukan sekadar suka-suka sebaliknya busana rekaannya yang dipamerkan pada KLFW 2015 untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit kanser.

"Hatta sudah 10 tahun dalam industri, saya fikir sudah tiba masanya memberi balik kepada masyarakat.

"Kanser adalah satu penyakit yang sangat berbahaya dan ia boleh menyerang siapa sahaja.

"Jadi apa yang boleh Hatta sumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor adalah kesedaran mengenai pentingnya penyakit ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui  di lokasi KLFW.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan apa sahaja  yang dimakan, barangan harian yang digunakan serta persekitaran mereka.

Malahan beliau menyifatkan kerjasama dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, dinaungi oleh Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang disahkan menghidap penyakit sama sebagai kolaborasi yang unik dan bermanfaat.

"Hatta menggunakan warna seperti 'lavender'atau ungu cair dalam rekaan kali ini.

"Ia merupakan warna rasmi logo yayasan jadi Hatta gunakan ia dalam rekaan pada KLFW. Hatta berharap ia sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran tentang penyakit ini," katanya.

Bukan itu sahaja menurut Hatta, sebahagian daripada jualan beberapa rekaannya di KLFW akan disumbangkan kepada yayasan bagi meringankan golongan yang memerlukan.

Mengenai kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai penaja utama pada KLFW 2015 Hatta berkata, ia  petanda baik kepada industri tempatan.

"Apabila BSN menyokong 100 peratus industri dan pereka fesyen tanah air, ia adalah projek usaha sama yang sangat baik.

"Kita harap ia dapat diteruskan supaya  dapat melahirkan lebih ramai pelapis muda dalam industri fesyen tempatan," katanya.

Jelasnya, KLFW juga dilihat sebagai platform terbaik untuk pereka fesyen tempatan menghasilkan koleksi busana berkualiti tinggi serta menarik agar produk mereka setanding dengan produk antarabangsa.

Selain pereka fesyen tempatan,  KLFW 2015 turut menarik penyertaan daripada 'Royal Songket Terengganu, Yayasan Tuanku Nur Zahirah. 

Jika sebelum ini kita melihat songket lebih banyak digayakan dalam majlis perkahwinan, kini tidak lagi kerana songket tersebut diolah dengan gaya sentuhan urban dan kasual yang sesuai digayakan ke majlis rasmi mahupun tidak rasmi.

Pastinya anda terpesona dengan pilihan rona lembut seperti putih gading, biru firus dan hitam yang sesuai digayakan dengan seluar, gaun labuh mahupun skirt. 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan koleksi busana siap dipakai ini boleh melayari laman web www.klfashionweek.com. 

KLFW, Hatta Dolmat, BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain