suria

Koleksi Syawal 2015 Binqareem Memukau

JENAMA Binqareem tidak asing lagi buat pengemar fesyen muslim di Malaysia kerana setiap koleksi jubah yang dihasilkan pasti mempunyai keunikannya yang tersendiri dan mampu menarik perhatian si pemakai.

Baru-baru ini, Binqareem tampil dengan koleksi terbaharu yang segar, selain kepelbagaian corak serta warna yang memukau  menerusi pertunjukkan fesyen Syawal Collection 2015.

Binqareem menghasilkan 20 jubah untuk koleksi Syawal tahun ini dan setiap satu daripadanya mempunyai tiga warna berbeza dengan keseluruhan 60 pasang koleksi diperagakan pada majlis tersebut.

Disamping itu, koleksi Adinda buat muslimah turut dihasilkan sebanyak lapan jenis kategori iaitu Adinda Aminah, Khadijah, Zainab, Safiah, Mariyah, Aisya, Fatima dan Hawa bersama 19 peringkat warna yang berbeza.

Menurut Pengarah Urusan Binqareem, Azlan Karim, burung helang dijadikan sumber inspirasi untuk setiap rekaan yang dihasilkan pada kali ini kerana sifat yang ada pada burung tersebut mempunyai persamaan dengan visi syarikat ini.

“Pada koleksi Syawal kali ini, saya menggunakan burung helang sebagai inspirasi kerana ia mampu terbang tinggi dan secara simboliknya mencerminkan harapan kami untuk melihat Binqareem menakluki dunia.

“Bersama Syawal Collection 2015, kami akan mengembangkan sayap dan meletakkan impian untuk terus maju bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh negara suatu hari nanti,” katanya kepada mStar Online sewaktu memperkenalkan koleksi terbaharu tersebut.

Melihat pada koleksi Syawal, Binqareem masih menggunakan kain kapas, namun divariasikan dengan penggunaan Angora Cotton yang lebih lembut serta berkilat untuk keselesaan si pemakai dan memberi sinaran gemerlapan indah di Aidilfitri nanti.

Selain itu, penggunaan kain kapas tidak terhad disitu sahaja kerana sesetengah rekaan menggunakan kapas yang di import khas dari India iaitu kain kemeja yang mempunyai jalur corak petak.

“Rekaan kali ini ditampilkan dengan corak berbelang serta petak dan saya rasa mungkin ia akan menjadi satu trend seperti mana koleksi pertama Jubah Uthman Cameo (jubah tentera) yang menjadi tarikan generasi Y masa kini.

“Kami sentiasa memilih kain kapas atas faktor cuaca di Malaysia yang agak panas, malahan ia sesuai untuk lelaki kerana kain kapas tidak terlalu berkilat seperti kain lain,” katanya.

Pada pertunjukkan fesyen Syawal Collection 2015 itu juga, Binqareem turut merasmikan butik terbaharu mereka yang cukup luas dan selesa di Alam Avenue 2, Shah Alam bagi memudahkan pelanggan datang sendiri dan mencuba rekaan jubah terbaharu.

Bagi koleksi terkini, harga yang ditawarkan adalah sama seperti koleksi sebelumnya bermula serendah RM149 sehingga RM250 mengikut kualiti dan rekaan yang dipilih.

Syawal Collection 2015 yang diilhamkan oleh Binqareem boleh didapati di butik terbaharu jenama itu atau melayari Facebook serta Instagram rasmi @binqareem untuk pembelian secara dalam talian.

Binqareem, jubah, Syawal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain