suria

Benua Clothing Tampil Rekaan Eksklusif Busana Lelaki Muslim, Kanak-Kanak

PILIHAN pakaian lelaki muslim yang terhad di Malaysia mendorong penyanyi rap terkemuka negara, Atlimet dan rakan karibnya, Mohd Nizar Manaf untuk tampil dengan jenama pakaian sendiri iaitu 'Benua Clothing'.

Benua Clothing yang beroperasi pada awal Mei lalu menawarkan pakaian praktikal (P-Shirt) dengan rekaan moden dan unik khususnya kepada golongan lelaki pelbagai usia.

Menurut Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, idea untuk memperkenalkan pakaian jenama sendiri dirancang sejak setahun yang lalu.

Antara koleksi busana Muslim Benua Clothing. - foto Facebook Benua Clothing. 

"Perancangan kami bermula tahun lalu selepas membuat kajian mengenai pasaran terhadap pakaian untuk lelaki dan kanak-kanak Muslim.

"Kita lihat trend sekarang, pasaran banyak tertumpu kepada golongan Muslimah sahaja. Jadi pilihan untuk lelaki dan kanak-kanak amat terhad," katanya kepada mStar Online. 

Justeru, Altimet berkata, mereka membuat keputusan untuk mencuba dengan mengetengahkan beberapa rekaan yang dilakar pada tahun lalu.

Jelasnya, kebanyakan corak pakaian yang dihasilkan adalah ilham dari koleksi barangan Nabi Muhammad SAW.

"Kita ingin mengeluarkan corak yang unik, sesuatu yang baharu dan dapat mendekatkan diri kita dengan Rasulullah," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau, kebanyakan penggunaan warna pada pakaian juga terdiri daripada warna kegemaran Nabi Muhammad SAW.

Warna kegemaran Nabi Muhammad SAW digunakan pada koleksi pakaian yang ditawarkan.


"Jadi warna hijau, putih, hitam dan merah kami gunakan pada kebanyakan pakaian selain pengguna warna pastel dan bumi," katanya.

Malah, beliau berkata, pakaian tersebut direka khas sesuai digunakan dalam apa jua majlis atau aktiviti.

"Pakaian ini serba guna... boleh digunakan untuk berhari raya,  ke masjid, pejabat atau ke mana sahaja. Ia juga diperbuat daripada kain kapas, sesuai dengan keadaan cuaca di sini," katanya.

Corak kameo antara yang menjadi pilihan ramai.

Altimet berkata, kira-kira 20 koleksi pakaian sudah dipasarkan sejak pembukaan butik pertama yang terletak di tingkat 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

"Buat masa ini, kita keluarkan kira-kira 20 koleksi rekaan dahulu. Insya-Allah kita akan lancarkan koleksi baharu selepas Adilfitri nanti," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Benua Clothing turut menawarkan pakaian kanak-kanak dengan rekaan yang eksklusif dan segar.

Koleksi pakaian kanak-kanak yang unik.


"Bagi ibu bapa yang inginkan anak mereka tampil bergaya dengan rekaan unik, kami menyediakan kira-kira lima corak untuk dipilih. Anda anda pasti mencuri tumpuan di Hari Raya nanti," katanya.

Koleksi pakaian kanak-kanak dengan kombinasi hijau putih sesuai digayakan pada bila-bila masa.

Mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap rekaan pakaian tersebut, beliau berkata, sambutan begitu menggalakkan dan diluar dugaan.

"Kita tidak sangka respons yang diterima begitu baik walaupun kita masih baharu dalam bidang ini. Kita harap sambutan ini akan berterusan dan jenama pakaian ini dapat diperluaskan ke luar negara," katanya.

Pakaian yang ditawarkan bermula pada harga RM50 hingga RM200.

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke butik, boleh layari Facebook Benua Clothing untuk melihat sendiri koleksi pakaian eksklusif ini.

Benua Clothing, Altimet

Artikel Sebelum

Artikel Lain