KOLUMNIS - MARCAPADA

Pesanan Untuk Mahasiswa

PADA ketika artikel ini ditulis, penulis sedang sibuk melayan pelbagai pertanyaan khususnya tentang kemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi dari pelbagai pihak.

Enkuiri yang datang bukan sahaja daripada rakan-rakan, malah pihak awam dan juga saudara-mara yang turut bertanya pendapat tentang pelbagai isu pengajian tinggi, khususnya kursus apa yang baik dan mempunyai potensi pekerjaan pada masa hadapan, institusi mana yang baik untuk anak atau waris mereka melanjutkan pelajaran dan juga peluang-peluang pembiayaan yang ada bagi para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang baru sahaja selesai beberapa bulan yang lepas.

PENGALAMAN SENDIRI

Memandangkan mungkin penulis mempunyai sedikit pengalaman bertugas dalam sektor pengajian tinggi dan juga pernah mengalami sendiri proses pemilihan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ini, maka mungkin atas dasar inilah penulis sering disoal dan diminta bagi memberikan pandangan dan pendapat kepada anak-anak rakan, saudara dan teman-teman yang masih lagi tertanya – tanya tentang apakah yang mereka inginkan sebagai bidang pengkhususan dan karier mereka pada masa hadapan.

Jadi dalam artikel ini, penulis berhasrat memberikan pendapat yang sedikit berbeza tentang pemahaman dan konsep pengajian tinggi yang selalunya menjadi persepsi umum.

Pada pendapat penulis, secara umumnya anak-anak yang telah tamat SPM mahupun STPM pada ketika ini amat kurang pendedahan tentang prospek karier mahupun bidang pembelajaran yang pada ketika ini ditawarkan secara meluas di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di negara kita.

Melalui perbincangan penulis dengan ibu-bapa dan juga para pelajar pelbagai lapisan, penulis dapati kebanyakan pelajar belum pun mempunyai pilihan tetap akan bidang dan kerjaya yang mereka inginkan, malah ada di antara para pelajar yang penulis temui tidak pun tahu dan faham akan bidang yang mereka rasa mereka minati.

MEMILIH KURSUS

Ada sesetengah pelajar pula memilih kursus yang mereka rasakan sesuai dengan keputusan peperiksaan mereka. Misalnya seorang pelajar yang cemerlang dalam subjek Fizik mungkin akan memilih opsyen untuk kursus Kimia ataupun Kejuruteraan Mekanikal, kerana pada pandangannya, mempunyai kompetensi yang baik dalam bidang yang ingin diceburi itu, walaupun kadangkala bidang yang dipilih tidak semestinya bidang yang diminatinya.

Ada juga yang memilih kursus pengajian berdasarkan kepada saranan ibu-bapa dan juga pengaruh keluarga. Misalnya, terdapat ramai keluarga yang inginkan anak mereka mengikuti jurusan perubatan dan ramai di antara pelajar yang cemerlang keputusannnya memilih untuk mengikuti jurusan ini, kerana ia dianggap berprestij dan dianggap satu pekerjaan yang mulia di sisi masyarakat. Tetapi lebih dari itu ia dianggap sebagai kerjaya yang bakal memberikan pulangan yang lumayan dari segi ganjaran dan pendapatan.

HAKIKAT

Hakikatnya, pada pendapat penulis, sebagai pelajar yang masih “fresh” selepas mengikuti saluran pengajian peringkat menengah, para pelajar mempunyai kebolehan untuk mengikuti apa sahaja bidang pengajian, asalkan mempunyai kompetensi dan kelulusan yang diinginkan oleh institusi pengajian tinggi dan juga yang paling penting; mempunyai minat yang mendalam dalam bidang yang ingin mereka ceburi.

Secara dasarnya, untuk memilih kursus pengajian dan kerjaya, penulis lebih suka melihat para pelajar memilih kursus dan bidang pengajian yang mereka minati dan menggunakan kriteria ini sebagai kayu pengukur utama kearah pemilihan kursus pengajian dan juga karier mereka pada masa hadapan. Tentunya faktor lain seperti kebolehpasaran kursus dan juga pasaran kerja selepas bergraduat perlu diambil kira, namun perkara-perkara ini amatlah subjektif. Penulis menyatakan hujah ini berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian penulis sendiri.

PROSPEK KARIER

Ibu-bapa dan masyarakat secara amnya lebih memikirkan tentang prospek karier, jumlah gaji yang bakal diperolehi dan juga peluang kerjaya yang baik apabila menasihati anak-anak dalam bidang kursus dan kerjaya yang bakal mereka pilih. Dan tentang kursus pula, tentunya kerjaya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi dianggap lebih “baik” dan eksklusif dari bidang-bidang lain, kerana ia menawarkan pulangan yang lumayan dan juga peluang kerja yang baik.

Akan tetapi, pemilihan kerjaya dalam apa bidang sekalipun perlulah disertakan dengan minat dan keinginan untuk belajar bagi para pelajar yang mengikutinya. Jika mencapai keputusan yang amat baik dalam peperiksaan sekalipun, sekiranya pelajar tidak berminat akan bidang yang dipilih, maka kebarangkalian untuk pelajar itu gagal ataupun tidak mencapai keputusan yang baik adalah lebih tinggi. Dan sekiranya pada peringkat awalnya seseorang pelajar itu lebih berminat atau cenderung terhadap sesuatu bidang, maka tentu sekali dia akan lebih fokus dan akan lebih cemerlang dalam bidang yang ingin dia ikuti.

Soal kurangnya pendedahan dalam hal memilih kursus pengajian tinggi dan kerjaya pilihan bukanlah perkara yang baru. Penulis masih ingat lagi, 15 tahun yang lalu ketika penulis sendiri mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan kimia, secara jujurnya penulis menerima tawaran itu tanpa pun terlebih dahulu mengetahui skop, bidang pengajian mahupun prospek kerjaya dalam bidang tersebut.

Apa yang penulis harapkan pada ketika itu cumalah keputusan SPM penulis sendiri yang agak baik dalam subjek-subjek Sains Tulen (ketika itu), terutamanya subjek Kimia yang menjadi subjek kegemaran penulis sebagai panduan dalam memilih pengkhususan dan kerjaya.

Tidak pernah pun terlintas di dalam benak ini untuk menyoal diri sendiri tentang apa sebenarnya bidang yang diminati oleh penulis ketika itu. Penulis hanyalah mengetahui skop sebenar bidang kerjaya ini kira-kira tujuh tahun selepas itu, takkala menamatkan pengajian PhD dan mula bertugas di sebuah firma minyak dan gas antarabangsa, dan jelaslah sekali apa yang dibayangkan oleh penulis sebagai kerjaya menjadi seorang saintis pada ketika itu tidaklah sama seperti realiti yang ditempuhi, mahupun memenuhi kehendak dan minat sebenar penulis.

Walaupun pekerjaan tersebut amat baik dan menawarkan prospek yang lumayan, lama-kelamaan rutin pekerjaan ini mendatangkan kebosanan dan juga tidak mencapai tahap kepuasan kerja yang diinginkan oleh penulis.

PESANAN

Berdasarkan kepada pengalaman dan apa yang pernah penulis lalui, maka inginlah penulis berpesan serba sedikit kepada para pelajar yang baru sahaja atau bakal melangkah kaki ke alam pengajian tinggi ini. Pesanan penulis kepada semua pembaca yang bakal dan akan memilih pengkhususan pengajian tinggi dan bidang kerjaya masing-masing adalah amat mudah. Ada beberapa perkara yang perlu ditekankan di sini sebagai panduan. Pertamanya, pilihlah bidang kursus dan kerjaya yang anda minati dan usahlah terlampau risaukan sangat akan trend pekerjaan semasa, kerana percayalah bahawa sekiranya anda yang terbaik dalam bidang yang anda ceburi, maka peluang kerjaya itu akan datang dengan sendirinya.

Kedua, sekiranya para pelajar sudahpun membuat pilihan, maka berikanlah sepenuh penumpuan kepada bidang pengajian yang ingin diceburi itu dan berusahalah untuk menjadi yang terbaik dalam bidang yang kita ingin ceburi. Ingatlah bahawa pengajian di peringkat pengajian tinggi merupakan langkah pertama ke arah kerjaya yang anda ingini dan sememangnya menjadi kewajipan untuk menguasai ilmu yang baik disamping mempertingkatkan keyakinan diri, keterampilan dan juga sifat-sifat kepimpinan melalui pengalaman sebagai pelajar dan siswa di institusi pengajian tinggi.

Apapun, saya ucapkan selamat menempuh alam universiti dan pengajian tinggi kepada semua yang berjaya mendapat tempat pengajian tidak kiralah sama ada di peringkat diploma (Jun/Julai) atau ijazah (September nanti) dan berharap agar ia mendatangkan manfaat dan menjadi pengalaman yang berguna kepada anda.

  • Print this story

« Kembali
 

SEARCH ALLMALAYSIA.INFO TRAVEL PACKAGES

 to 
Ikuti Kami Di Twitter
Emel