Kenangan Mengusik Jiwa, Mencucuk Hidung - Kolumnis | mStar

Kenangan Mengusik Jiwa, Mencucuk Hidung

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 9:30 AM

(Ubah saiz teks)

WOW! Sewaktu kalian membaca coretan kali ini, sedar tak sedar ini adalah catatan aku yang ke-50?

Terima kasih aku ucapkan buat kalian yang terus mengikuti siri ini harap boleh mencecah sehingga catatan yang ke-100 insya-Allah.

Maka, bekerjalah aku hari itu dengan Rohaizad. Kerja yang mudah dan selalu ditunggu-tunggu, kerja pembersihan wayar di bahagian kargo depan dan belakang.

Bertambah enak, kami bekerja di pesawat A320, jadinya bahagian kargo tidaklah sebesar mana. Aku dan Rohaizad menyambut kad tugasan dengan senyuman melebar sehingga belakang kepala.

Geng-geng India hanya menjeling kami. Cemburulah tu, tak dapat kerja pembersihan.

Tapi perlu diingat, walau kerja ini nampak mudah tapi ia memerlukan ketelitian yang tinggi dan kekuatan pinggang yang utuh.

Nama sahaja pembersihan, tetapi ia melibat tugasan lain iaitu pemeriksaan wayar untuk memastikan tiada sebarang kerosakan fizikal berlaku.

Jika ada, wayar-wayar tersebut perlu dibaiki untuk mengelak dari sebarang kecelakaan.

Ada enam kad tugasan keseluruhannya, dan jika aku dan Rohaizad melakukannya dengan cermat kami boleh layan kerja-kerja tersebut sehingga pukul 6 petang. Setidak-tidaknya itulah matlamat kami.

Tiga kad tugasan telah kami selesaikan dalam tempoh enam jam. Ada baki lagi tiga. Dari kargo hadapan kami berpindah kebahagian kargo belakang. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Sudah masuk waktu rehat.

Pukul 1 petang aku dan Rohaizad bertemu di bahagian kargo belakang dan bersedia memulakan tugas. Sedang kami ralit mencuci itu, tiba-tiba ada bau yang tidak enak.

“Oi! Kau kentut ya?” sergah aku.

“Mana ada!” jerit Rohaizad.

Bau itu terus-menerus mencucuk hidung kami. Segera kepala kami berpusing mencari punca bau dan....

“Tu hah! Tong taik!” jerit Rohaizad.

“Ughhh! Semua taraf antarabangsa dalam tu,” kata aku yang disambut gelak oleh Rohaizad.

Kami memerhati seketika mereka yang sedang bersusah payah mengusung tong najis keluar dari bahagian belakang pesawat.

Tiba-tiba teringat aku suatu waktu dahulu, ada satu insiden yang berlaku melibatkan tong najis. Insiden yang sangat memualkan tekak.

Mangsa yang terkena itu dua minggu tidak menjamah sebarang makanan berwarna coklat.

Waktu itu syif pagi. Aku mendapat berita syif malam telah melaksanakan penyedutan najis keluar dari tong berkenaan.

Oleh itu nampaknya kumpulan kami terpaksa melakukan penggantian sensor (pengesan) pada tong najis berikutan terdapat masalah di situ.

Sensor itu tugasnya mengesan tahap isian tong berkenaan.

Aku kemudian memilih dua mekanik untuk melaksanakan tugas tersebut. Dengan berat hati mereka melangkah ke kargo belakang dan bersedia melaksanakan tugas.

Aku juga berpesan bawa beg plastik sampah hitam. Manalah tahu saki-baki bahan buangan itu masih ada, jadi tidaklah ia melimpah keluar ke bahagian kapal.

Aku memerhati mereka melakukan tugas. Seorang menyarung plastik sampah tadi menutup bahagian bawah tong najis. Seorang lagi membuka sensor tadi dengan cermat.

Perasaan berdebar-debar memenuhi ruang dada masing-masing. Dengan tidak semena-mena... 

BURRRR!!!


“Oi! Apa ni?” jerit mekanik yang memegang plastik tersebut.

Najis melimpah keluar saat sensor berkenaan ditanggalkan. Berjujuran najis memenuhi plastik hitam tadi tanpa menujukkan ada tanda-tanda akan berhenti.

“Apa ni bang? Tadi kata dah sedut semua keluar?”

“Mana aku tahu, budak malam kata dah selesai. Bertahan bertahan!” jerit aku.

Saat kami memikirkan perkara ini tiada kesudahannya, aliran najis mula berhenti keluar dari tong. Baunya, masya-Allah, busuk ya amat! 

Mekanik yang membuka sensor tadi menjenguk-jenguk kedalam beg plastik tadi.

“Kau tengok apa?” tanya aku yang menekup hidung.

“Spanar saya bang, dalam tu. Sensor pun jatuh dalam tu,” kata dia dengan nada yang bergetar.

Ah sudah. Apa nak buat ni? Aku tiada idea. Kami berpandangan sesama sendiri. Dan kemudian mekanik tadi memejamkan mata dan mencelupkan tangannya ke dalam beg plastik yang dipenuhi dengan taik dari pelbagai negara.

Aku hampir sahaja termuntah dengan perlakuan tadi. Agak lama juga tangan dia di dalam plastik itu sebelum berjaya mendapatkan semula spanar dan sensor yang terjatuh.

“Oi orang tua! Buat la kerja! Apa yang kau termenung?” sergah Rohaizad sekaligus mematikan kenangan lima tahun dahulu.

Tak guna betul. Terkejut aku!


Tags / Kata Kunci: Rohaizad , sensor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan