Pameran 99 Nama Allah Mengujakan

Diterbitkan: Khamis, 30 November 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Saban hari ada saja rakan dan kenalan maklumkan akan berangkat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat umrah.

Alhamdulillah. Saya tumpang gembira dan bersyukur kerana mereka bakal menjejakkan kaki ke bumi haramain.

Ada juga yang bertanya tip atau panduan terutama mereka yang kali pertama berpeluang menunaikan umrah. Biarpun teruja dan gembira, ada juga cemas dan bimbang sebelum ke Tanah Suci.

Selalunya saya berpesan agar perbanyakkan doa dan solat sunat sebelum ke Tanah Suci kerana penyucian diri perlu dilakukan sebelum bergelar tetamu Allah. Mohon ampun daripada Maha Esa dan jangan lupa memohon maaf daripada ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan sahabat handai.

Dengan teknologi serba canggih sekarang ini, memohon kemaafan menjadi lebih mudah. Ramai yang memilih untuk maklumkan pemergian mereka menerusi aplikasi whatsapp berkumpulan dan individu. Sangat jarang kita dengar kenduri kendara diadakan sebelum seseorang menunaikan umrah kecuali haji.

Pada November dan Disember, jemaah akan berdepan dengan musim dingin terutama di Madinah. Cuaca di Madinah selalunya lebih ekstrem daripada di Makkah. Dengan hujan lebat di Jeddah baru-baru ini, cuaca di Arab Saudi juga semakin menjadi tidak menentu.

Justeru, setiap jemaah diingatkan agar membawa baju tebal atau jaket selain pelembap dan salap bibir yang sangat penting kerana angin sejuk dan kering di Madinah boleh menyebabkan kulit kering serta bibir pecah-pecah.

Peluang menjadi tetamu Allah sudah tentu meninggalkan kenangan manis dalam kehidupan. Tidak kiralah sudah berapa kali ke sana, pasti tidak jemu untuk beribadat dan menziarahi. Menerusi ruangan ini, saya ingin berkongsi tempat yang boleh dikunjungi selain daripada yang akan dibawa oleh agensi pengendali umrah sepertimana tertera di dalam aturcara lawatan.

Seperti mana lazim, destinasi yang sering dikunjungi di Madinah ialah Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud serta ladang tamar untuk ziarah luar manakala ziarah dalam pula ialah Raudah dan makam Rasulullah SAW.

Bagi mereka yang sudah sering ke sana, sudah tentu mahu mencari tempat lain untuk dikunjungi. Selain pasar lambak yang pernah saya paparkan ceritanya baru-baru ini, ada satu lagi tempat yang boleh dikunjungi.

Tempat dimaksudkan ialah menyaksikan Pameran The Beautiful Names Of Allah di bangunan berwarna coklat dan terletak berhadapan dengan pagar 13 di Masjid Nabawi. Dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang dan di antara 4 petang dan 9 malam, pada setiap hari. Masuk adalah percuma.

Sejak mengetahui pameran itu pada 2015, saya tidak jemu mengunjunginya, sama ada bersama rakan jemaah ataupun bersendirian. Setiap kali berkunjung ke pameran itu, saya tidak jemu memandang setiap tulisan khat tertulis nama-nama Allah selain video serta lukisan mengenai keindahan alam ciptaan Allah.

Pada setiap tulisan khat nama-nama Allah tertera pengertian dalam bahasa Inggeris. Keindahan tulisan khat menyebabkan anda tidak jemu berkunjung ke pameran itu. gambar-gambar tragedi dan bencana alam yang pernah menimpa bumi turut dimuatkan di ruang pameran itu, sekali gus mengajak kita berfikir mengenai kekuasaan Allah.

Bagi saya, setiap jemaah tidak seharusnya melepaskan peluang untuk berkunjung ke pameran itu, yang menempatkan 99 nama Allah yang ditulis indah. Sebaik-baiknya, datanglah selepas Asar kerana ada petugas pameran yang akan memberi penerangan dalam Bahasa Melayu atau Indonesia.

Pengunjung akan kagum dengan kebesaran Allah pencipta alam semesta sejurus memasuki ruang pameran yang mengajak anda berfikir menenai penciptaan bulan, bintang, planet dan matahari.

Selain itu, anda juga boleh berkunjung ke pameran Nabi Muhammad SAW yang terletak sebaris dengan pameran 99 nama Allah. Namun, sangat ramai jemaah berbaris memasuki ruang pameran dan ini memerlukan anda mengikut giliran serta bersabar.

Saya pernah memasuki ruang pameran itu pada 2015 tetapi tidak lagi berpeluang ke situ kerana tidak sanggup beratur panjang. Namun, bagi anda yang datang sebagai jemaah dan tidak perlu menggalas tugasan, adalah lebih baik mengisi masa yang terluang di Madinah dengan berkunjung ke pameran berkenaan untuk mengetahui sejarah Rasulullah dan kedatangan baginda Rasul ke bumi Madinah.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Tags / Kata Kunci: Masjid Quba , Uhud , Qiblatain

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan