Usah Abai Pengenalan Diri

Diterbitkan: Khamis, 10 Ogos 2017 9:51 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Semakin ramai umat Islam membanjiri kota suci Makkah dan Madinah untuk mengerjakan ibadat haji bagi musim haji tahun ini. Jutaan manusia sudah semestinya menuntut setiap jemaah bersabar dengan pelbagai ragam dan tingkah laku.

Justeru, sebelum berangkat kita selalu diingatkan agar selalu bersabar dan mengawal amarah dalam usaha melancarkan lagi segala urusan ibadat dan amalan sepanjang lebih satu bulan di kedua-dua Tanah Suci.

Tidak dinafikan, sesat boleh berlaku di mana-mana saja. Tidak semestinya di kota suci semata-mata. Namun, dalam jutaan jemaah dan keadaan sekeliling yang kadangkala dilihat seperti sama saja, menyebabkan jemaah mudah terlupa jalan pulang ke hotel penginapan.

Paling penting, ingat pintu masuk yang dimasuki dan pastikan anda keluar semula di pintu berkenaan. Jemaah juga perlu mengenal pasti dan mengecam laluan ke hotel penginapan dengan berusaha mengingati bangunan atau sebarang penanda di sekitar laluan pergi balik ke penginapan.

Jika ragu-ragu, elok bertanya pada jemaah haji dari Malaysia yang mungkin mendiami hotel yang sama. Sebaik-baiknya pergi ke masjid secara berteman atau waris yang pergi bersama-sama.

Jika jemaah tidak bersama-sama suami, pastikan pergi ke masjid dengan rakan sebilik atau rakan jemaah lain. Elakkan sendirian terutama ke masjid dan bazar terutama wanita untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Menerusi artikel kali ini, ingin saya menyentuh mengenai pemakaian pengenalan diri oleh jemaah dalam memastikan keselamatan mereka sepanjang di Tanah Suci, terutama ketika menjelang kemuncak ibadat haji.

Ingin saya mengingatkan jemaah agar tidak memandang ringan dan remeh pemakaian pengenalan diri yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji mahupun agensi pengelola jemaah haji seperti beg galas, tag nama dan gelang tangan.

Selain pengenalan diri itu, kad nama hotel penginapan yang tertera peta lokasi hotel elok dibawa bersama-sama. Kadangkala kakitangan hotel menyerahkannya di lobi ketika jemaah baru tiba tetapi anda juga boleh mengambilnya di kaunter lobi sebelum keluar dari penginapan.

Kad nama hotel boleh diletakkan di dalam beg galas yang disangkut di bahu. Jaga rapi beg anda dan sebaik-baiknya gantung di atas bahu dan kemaskan di pinggang agar mudah untuk bergerak dan bersolat terutama di kawasan yang sesak.

Pengenalan diri dan kad nama hotel perlu dibawa ke mana-mana saja dan usah sekali-kali mengabaikannya kerana setiap daripada kita tidak tahu apa yang berlaku pada diri sendiri walaupun berpengalaman menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Jika anda tidak pasti dan bimbang tersilap hotel penginapan, tunjukkan kad nama hotel itu di hotel berhampiran, insha Allah, petugas hotel yang dimasuki menunjukkan arah laluan ke hotel penginapan anda.

Lazimnya, tag nama dipakai di leher setiap kali keluar dari hotel penginapan tetapi ada juga jemaah wanita yang meletakkannya di dalam beg galas yang dibawa ke masjid. Ada juga yang meletakkan tag nama di dalam telekung.

Apapun ikut keselesaan jemaah kerana yang penting anda mempunyai pengenalan diri dan masalah boleh diatasi dengan singkat jika tersasar ke tempat lain atau tiba-tiba mengalami masalah kesihatan.

Beg galas yang dibekalkan itu kadangkala tidak dibawa ke masjid oleh jemaah lelaki yang lebih gemar bebas tanpa sebarang beg. Hakikatnya, keadaan ini boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah jika tersesat, terjatuh atau tiba-tiba sakit dalam perjalanan ke masjid atau pulang dari masjid.

Saya pernah melihat seorang lelaki warga Indonesia rebah sejurus keluar dari pintu King Fahd ketika musim haji tahun lalu. Lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dan tanpa ditemani itu masih berihram rebah di dataran Masjidil Haram.

Saya turut menjengok kerana ingin tahu setelah melihat sekumpulan jemaah berkerumun dan mencurah air ke kepala lelaki berkenaan. Dia meracau sendirian dan tidak diketahui pula butir bicara yang keluar daripada bibirnya.

Pipinya ditepuk-tepuk dan kepalanya disiram air beberapa kali tetapi dia meracau. Jemaah itu kelihatan sungguh penat. Jemaah warga Indonesia yang membantu turut mencari pengenalan diri tetapi hampa kerana tidak satu pun ada bersamanya.

Jemaah itu ditenangkan dan beberapa soalan diajukan kepadanya. Apabila penginapannya ditanya, dia sekadar menggelengkan kepala. Dalam keadaan itu, ada jemaah lelaki yang turut sama-sama membantu mengipas jemaah yang rebah itu.

Saya tidak menunggu lama di situ dan terus berlalu. Entah apa kesudahannya, saya tidak pula mengetahui. Hakikatnya, dalam keadaan seumpama itu, sukar untuk jemaah lain menghulurkan bantuan segera dan mereka perlulah menunggu jemaah itu sedar semula.

Lazimnya, bantuan boleh diberikan kepada jemaah yang sesat atau berdepan masalah seperti pengsan dan terkeliru dengan menghubungi nombor telefon yang boleh ditemui di tag nama jemaah. Jika kad nama hotel di dalam beg galas, anda juga boleh membantu menghantarnya pulang jika arif dengan tempat berkenaan.

Selain itu, gelang berwarna putih yang diberikan sebelum berangkat ke Arafah dan Mina juga jangan diabaikan pemakaiannya dan ini sangat penting kerana ada jutaan khemah di Arafah dan Mina serta potensi untuk sesak agak tinggi apatah lagi jika jemaah merayau di kawasan khemah dan tidak jumpa laluan pulang.

Sebaik-baiknya usah merayau terlalu jauh.selain mengelakkan sesat anda juga dikhuatiri terdedah kepada strok haba atau hipertermia kerana cuaca panas lebih 45 darjah Celsius.

InsyaAllah bersambung minggu depan.


Tags / Kata Kunci: King Fahd , Tabung Haji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan