Debaran Menanti Giliran Di Lapangan Terbang

Diterbitkan: Rabu, 2 Ogos 2017 9:51 AM

(Ubah saiz teks)

DI SEBALIK sesak terik mentari, air mandian yang bersuhu 100 darjah Celsius, selera makan yang sering terpancung, gigil di musim sejuk, ditambah air dingin macam air batu di kala musim sejuk dan krisis di Qatar, ada satu lagi keperitan buat kami di Doha ini.

Peritnya mahu pulang ke tanah air. Ia bukan saja dialami pada waktu hari raya sebaliknya boleh berlaku pada bila-bila masa. Ianya tidak berpola dan sangat sukar dijangka.

Disebabkan kami pekerja Qatar Airways, tiket kami berstatus keutamaan terakhir. Kami diberi tiga jenis tiket yang berlainan status.

Tiket pertama adalah tiket tahunan, berstatus pertama. Tiket kedua ID50 berstatus kedua terakhir dan ketiga, ID90 berstatus paling akhir.

Untuk penjimatan, kami selalunya membeli tiket ID90. Dan pada waktu-waktu tertentu seperti minggu penerbangan penuh, kami mencuba nasib dengan tiket ID50.

Jadi mana-mana pekerja yang membeli tiket ID50 mempunyai peluang yang agak cerah berbanding dengan yang membeli tiket ID90.

Minggu ini, 21 pekerja Qatar Airways membuat tempahan tiket untuk ke Kuala Lumpur. Semua data itu dapat kami lihat di dalam sistem.

Selain itu, kami juga dapat melihat jumlah tempat duduk yang telah dibeli dan yang masih ada. Malangnya, kali ini, tempat duduk ekonomi hanya tinggal 16, dan tempat duduk di bahagian bisnes masih berbaki 18.

Peluang kami adalah, Qatar Airways menaik taraf mana-mana penumpang di bahagian ekonomi ke bahagian bisnes. Dengan itu, kami yang berkedudukan dari 1 hingga 18 berpeluang untuk pulang. Dan yang selebihnya teramat pasti akan terkandas.

Pada 26 Jun jam 6 petang aku sudah berada di luar di tempat parkir kereta menunggu Norman. Sambil menunggu aku memeriksa status di dalam sistem melalui aplikasi yang telah ada di dalam telefon aku.

Sistem menunjukkan aku berkedudukan nombor lima, tempat duduk di ekonomi menunjukkan angka kosong dan tempat duduk di bahagian bisnes berbaki enam.

Sedang memeriksa itu, Liayana menegur aku.

“Balik juga ke bang?”

“Aah, kau pun?” tanya aku.

“Iya,” jawab Liayana sambil membuat muka sedih. Ini kerana jika mengikut nombor pekerja, Liayana masih junior daripada aku dan itu satu faktor yang tidak enak kerana kedudukan tiket juga mengikut senioriti nombor pekerja.

Dan aku tidak bertanya pun dia berada di kedudukan ke berapa.

“Kalau terkandas nanti kita transit ke Singapuralah,” kata aku cuba menenangkan keadaan.

Norman tiba pada pukul 6.05 minit, dan dia menghantar aku ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad kemudiannya.

Di sana aku berjumpa dengan Wak German dan dua orang lagi pekerja. Masing-masing panik tidak tahu untuk membatalkan tiket ke Kuala Lumpur atau tidak.

“Nombor berapa Wak?” tegur aku.

“Nombor 6.” balas Wak German.

“Boleh lagi tu, aku nombor 5,” kata aku.

Di dalam lapangan terbang, ada satu tempat disediakan untuk pekerja menunggu pesanan sama ada diterima naik dan boleh berlapang dada kerana bakal kembali ke tanah air, atau terkandas.

Sampai di situ, aku lihat Zul Pacak sudah ada, dan sedang makan malam. Dalam keadaan fikiran berkecamuk itu, perut sememangnya lapar.

Tidak tunggu lama kami turut serta bersama Zul, makan sambil menunggu maklumat mengenai status tiket.

Perbincangan pun menular bagaimana mahu menghadapi situasi ini. Bukannya tidak pernah menghadapinya, tetapi paniknya tetap sama.

Ini disebabkan masing-masing enggan transit di mana-mana negara kerana ia hanya membuang masa dan memenatkan.

Dalam sistem masih menunjukkan angka yang sama, 21 staf, tempat duduk ekonomi berangka kosong dan tempat duduk bisnes berbaki enam.

“Pukul 7 dia tak bagi apa-apa mesej aku pergi Singapuralah,” kataku.

“Jangan. Tunggu sampai dapat mesej dulu,” cadang Zul.

Tidak sampai beberapa saat kemudian, telefon masing-masing berbunyi tanda ada mesej masuk. Masing-masing kelam kabut memeriksa dan alhamdulillah, aku lepas masuk.

Begitu juga Zul dan Wak German dan tiga orang lagi. Yang lain, 15 orang semua terkandas termasuk Liayana.

Zul dan Wak German mencadangkan kepada Liayana untuk terus ke kaunter kerana mengikut perkiraan, Liayana masih boleh balik dalam penerbangan yang sama dengan duduk di tempat duduk pramugari.

Allahmdulillah, Liayana lepas. Walaupun hanya duduk di tempat duduk pramugari yang tidak seselesa tempat duduk penumpang, senyumannya tetap terukir dengan wajahnya yang gembira kerana tetap dapat pulang ke tanah air.


Tags / Kata Kunci: Qatar Airways , Wak German

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan