Ketahui Rawatan Kecemasan Meredakan Lelah

Diterbitkan: Khamis, 27 Julai 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Setiap jemaah umrah dan haji inginkan kesihatan yang baik sepanjang di Tanah Suci. Namun, pening, demam, selesema, sakit tekak dan batuk-batuk sukar dihindari apatah lagi dengan perubahan cuaca, kesesakan serta keadaan berhabuk.

Saya sendiri kadangkala melalui keadaan seumpama itu, seperti sakit kepala, tekak dan batuk. Namun, keadaan itu tidaklah menjejaskan ibadat kerana saya masih mampu menunaikan solat di Masjidil Haram dan melakukan pelbagai aktiviti lain.

Bagaimanapun, pada kunjungan baru-baru ini, saya mengalami serangan asma atau lelah yang agak teruk dan tidak pernah sekali-kali saya sangka akan melalui keadaan seumpama itu kerana sangat jarang saya mengalami lelah kecuali setelah batuk berpanjangan.

Ketika di Makkah, segala-galanya berjalan lancar biarpun cuaca panas kering dan saya berpuasa sunat. Namun, hari kedua di Madinah saya diserang asma yang teruk dan nafas menjadi pendek-pendek serta berbunyi selepas menunaikan solat Asar. Saya tersandar di atas katil sementara menunggu anak saya pulang dari masjid.

Melalui kolum ini, ingin saya berkongsi pengalaman merawat lelah yang mungkin boleh dihidapi anda sendiri atau rakan-rakan jemaah lain.


Terdahulu, pada pagi itu, selepas bersolat di Masjid Nabawi dan bersarapan, semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk memasuki Raudah dan menziarahi makam Rasulullah S.A.W. 

Jemaah dari Malaysia menunggu dengan penuh sabar dan tenang. Ada yang berdoa dan berzikir sementara menunggu giliran memasuki Raudah.

“Kenapa muka hajah merah?” tanya seorang jemaah.

“Ye ke? tanya saya.

“Ye. Hajah tak sihat ke?” tanya jemaah itu lagi.

“Alhamdulillah. Merah sangat ke muka saya?” tanya saya lagi agak kehairanan.

“Ye merah,” ujar jemaah itu.

Saya diam saja. Setelah menziarahi Raudah, kami berjalan pulang ke hotel Mawaddah Waha yang terletak di belakang hotel Anwar Movenpick.

Tiba di hotel penginapan, saya terasa letih dan mengatakan kepada anak, saya keletihan untuk bersolat jemaah di masjid dan menyuruhnya ke masjid bersama-sama jemaah lelaki.

Setengah jam sebelum masuk waktu Asar, saya mengatakan sekali lagi kepada anak saya bahawa saya tidak sihat untuk ke masjid kerana mula batuk dan agak sukar bernafas. Saya menyuruhnya mengikut jemaah lelaki dikenali sebagai Rafaie.

Sejurus anak saya pulang ke bilik hotel, saya mengajaknya ke lobi dan bertemu petugas agensi pengendali umrah untuk maklumkan keadaan saya.

Petugas itu membawa saya ke farmasi di dalam hotel Anwar Movenpick. Turut menemani saya ialah dua lagi sahabat iaitu Sharah dan Intan selain anak saya, Aliff.


Tiba di farmasi, saya minta diberi nebulizer kerana sukar bernafas. Bagaimanapun, tiada nebulizer di situ kecuali saya membeli peralatannya. Harganya memang mengejutkan, hampir RM600 dan paling murah, hampir RM400. Saya membatalkan hasrat membelinya kerana sangat jarang memerlukannya, tambahan pula serangan asma sekali atau dua kali setahun.

Saya meminta ubat untuk meredakan keadaan saya. Lantas beliau memberi saya Butalin 2 mg setelah Neulin yang saya minta tiada dalam stok. Mulanya saya agak bimbang untuk mengambilnya apatah lagi dimaklumkan Butalin boleh menyebabkan keadaan berdebar-debar dan jika keadaan itu berlaku, saya dinasihatkan berhenti mengambilnya dan segera berjumpa doktor.

Saya dinasihatkan ambil sebiji Butalin pada sebelah malam. Pada masa yang sama, saya turut membeli bahan penyembur iaitu Allergens Neutralising Spray jenama Allergoff seperti dinasihatkan kakitangan farmasi berkenaan. 

Semburan itu berharga SR100 berukuran 300 ml perlu disembur di dalam bilik termasuk cadar, bantal, permaidani dan langsir kerana kakitangan farmasi itu berpendapat bahawa saya alah pada sesuatu melihatkan daripada wajah saya yang kemerah-merahan terutama di bahagian dahi dan sekitar mata.

Hakikatnya, saya juga hairan kerana batuk yang tidak teruk boleh menyebabkan saya diserang lelah sehingga nafas berbunyi.

Setelah mengalas perut dengan roti, saya mengambil sebiji Butalin pada jam 6.30 petang. Tidak sanggup saya menunggu malam seperti disarankan. Saya mohon Aliff mendoakan kesihatan saya. Hati terasa begitu sayu dan sedih kerana tidak dapat bersolat di Masjid Nabawi.

Selepas Isyak, saya turun ke lobi mencari mutawif untuk bertanya mengenai hospital terdekat. Mutawif bernama Imran menasihatkan agar tidak ke hospital kerana dikhuatiri mereka akan menahan saya dan melakukan pelbagai pemeriksaan. 

Hospital Ansar adalah paling dekat. Ia sebuah hospital kerajaan dan untuk ke hospital berkenaan, anda boleh menaiki teksi dengan tambang sekitar SR10. Bagaimanapun, setelah mendengar nasihat Imran, saya batalkan hasrat ke hospital.

Imran mengajak saya ke pusat perubatan di dalam bangunan hotel Anwar Movenpick. Dengan ditemani Aliff dan Imran, saya berjalan ke pusat perubatan itu tetapi setiba di situ pada jam 9.45 malam, ia sudahpun ditutup walaupun tertera di situ waktu operasi sehingga jam 10 malam.


Saya semakin risau kerana ubat belum menunjukkan sebarang kesan dan saya tidak selesa kerana nafas terus berbunyi. Saya menggosok minyak panas yang dibawa dan tidak dapat tidur lena sepanjang malam itu.

Sesudah Subuh, Sharah dan Intan sekali lagi datang menziarahi bertanya khabar serta membawa makanan di dalam bilik. Keadaan saya agak reda setelah dapat tidur seketika selepas solat Subuh. Namun lelah masih menyesakkan dada.

Sharah meminta mangkuk dan menyuruh Aliff mengambil air panas di dewan makan. Sharah masukkan Vicks di dalam mangkuk berisi air panas dan menyuruh saya menyedut campuran air panas dan Vicks setelah mengambil tuala dan menutup kepala serta muka saya (umpama wajah diwapkan).

Selepas 10 minit menyedut campuran air panas dan Vicks, saya terasa lega. Sharah dan Intan turut mengurut bahagian belakang badan saya. Setelah mereka pulang, saya terasa semakin lega. Tidak lama selepas itu, saya dapat melelapkan mata. Bunyi nafas akibat lelah juga kian perlahan. Alhamdulillah.

Usai Zuhur, sekali lagi Sharah dan Intan datang ke bilik saya untuk melihat keadaan saya. Sekali lagi saya menyedut campuran air panas dan Vicks. Selepas itu, mereka sekali lagi mengurut saya. Setelah kali kedua menyedut hawa campuran air panas dan Vicks, bunyi nafas akibat lelah hilang sepenuhnya dan dada terasa begitu lega. 

Namun, Sharah dan Intan menasihatkan saya agar berehat terus pada hari berkenaan.

Alhamdulillah, esoknya, iaitu Rabu, saya berpeluang ke Masjid Nabawi lagi dan menziarahi makam Rasulullah dan Raudah. Syukur kerana Sharah berkongsi ilmu dengan saya untuk merawat lelah tanpa penggunaan nebulizer.

Sharah memperoleh pengalaman itu setelah melihat rakannya yang bermasalah lelah kronik memintanya mencampurkan air panas dan Vicks lalu menyedutnya ketika lelah di luar negara. Justeru, jika anda bermasalah lelah dan memerlukan nebulizer tetapi sukar menemukannya, campuran air panas dan Vicks boleh membantu.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Tags / Kata Kunci: Masjidil Haram , Sharah

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan