Berjalan Yang Sia-Sia

Diterbitkan: Rabu, 26 Julai 2017 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

SEBAGAI  peminat gajet, tidak sah rasanya kalau pergi ke sesuatu negara atau tempat itu, aku tidak mencari dan singgah mana-mana kedai menjual gajet atau aksesorinya.

Tak beli pun tak mengapa, kerana melihat gajet-gajet baru kadang-kadang sudah cukup membahagiakan.

Di Doha, itu antara perkara awal yang aku lakukan. Tetapi malangnya, di sini tidak semeriah Malaysia. Di Doha, hanya ada pasar raya Lulu, Carefour dan Jarir Bookstore. Ini antara tiga yang terbesar. Walaupun begitu barangan yang ditawarkan agak terhad.

Selain itu, ada juga 51 East yang menjual produk Apple, dan satu lagi Ansar Gallery yang tidak setanding Jarir Bookstore. Jarir Bookstore ada di dua tempat, iaitu di Salwa Road dan berdekatan dengan rumah sewa aku, di Old Airport Road. Sebelum menuju ke Bank Street.

Jarir Bookstore menjadi kedai rutin yang akan aku singgah setiap bulan bagi menjamu mata terhadap gajet-gajet baru seperti komputer riba, telefon pintar, aksesori komputer dan sebagainya.

Namun, Jarir agak unik. Bangunan tiga tingkat tersebut bukan saja menjual gajet tetapi juga buku-buku, alat tulis, beg dan peralatan pejabat.

Ada satu kejadian yang berkait rapat dengan Jarir Bookstore yang tidak akan aku lupakan. Setiap kali aku bercerita hal itu, ia mengundang gelak ketawa rakan-rakan.

Kejadian itu berlaku waktu tahun pertama aku di Doha - 2014. Tidak silap aku pada Ogos atau September.

Aku keseorangan di rumah ketika itu. Selesai mengemas rumah aku sekadar melepak di ruang tamu sambil mendengar lagu. Aku berfikir-fikir apa lagi aktiviti yang perlu aku buat. Hati aku waktu itu meronta-ronta untuk menulis.

Oleh itu aku mengambil keputusan pergi ke Jarir Bookstore dan membeli laptop. Aku boleh sahaja menelefon Imran - pemandu teksi sapu yang pernah aku ceritakan dulu - untuk membawa aku ke sana.

Tetapi entah kenapa, hati gatal benar hendak berjalan. Aku berkira-kira, tidaklah jauh mana jarak dari rumah aku di Old Salata ke Jarir Bookstore.

Jam 9.30 pagi, aku keluar rumah dan berjalan menuju ke Jarir. Aku berjalan sambil mendengar lagu. Belum pun seminit, peluh sudah membasahi dahi dan belakang badan.

Lima belas minit berlalu dengan penuh seksa. Aku rasa menyesal pula mengambil keputusan untuk berjalan kaki. Hendak dipanggil teksi, memang tak ada satu teksi pun kelihatan.

Aku nekad meneruskan berjalan. Seketika kemudian, aku mula nampak bangunan yang dipenuhi dengan cermin berwarna hitam. Tidak salah lagi, itulah Jarir Bookstore. Aku mempercepatkan langkah kerana tidak tahan panas.

Aku mendambakan hawa dingin di dalam Jarir. Alangkah bahagianya rasa jika dapat merasa angin sejuk yang mematikan cerucuk terik mentari yang menghukum badan aku.

Aku melihat jam, hampir 30 minit juga aku telah berjalan hendak ke sini. Aku menuju ke depan pintu dan, astaga!

Kedai tutup pula! Hari Jumaat rupanya! Aku baca penanda yang terpampang di depan pintu, kedai akan di buka pada pukul 3.30 petang jika Jumaat.

Menyumpah aku sampai tidak ingat dunia. Mahu sahaja aku pecahkan pintu kaca itu. 

Ketika itu, aku tidak tahu hendak buat apa. Memikirkan aku terpaksa berjalan semula balik ke rumah umpama mimpi ngeri yang tidak ingin aku ulang.

Dalam aku termangu itu, sebuah kereta berwarna biru cair lalu di depan aku. Pantas sahaja aku mengangkat tangan.

“Teksi!”

Sampai di rumah aku membuka penghawa dingin sekuat-kuatnya meredakan hati yang membara. Pukul 4 petang aku ke sana semula. Kali ini aku lebih bijak, aku pergi dengan Imran.

Itulah, rupa-rupanya susah juga nak beli gajet kalau terlalu mengikutkan perasaan!


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan