Telusuri 44 Kelok Ke Rumah Hamka

Diterbitkan: Khamis, 22 Jun 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADANG dan Bukit Tinggi di Sumatera Barat; Indonesia adalah antara destinasi pelancongan yang kerap menjadi perhatian rakyat Malaysia untuk bercuti dan membeli-belah, terutama penggemar telekung dan tekstil bersulam.

Sudah sekian lama saya mengimpikan mahu berkunjung ke Padang dan Bukit Tinggi tetapi tiada rezeki. Namun, pada 11 Januari lalu saya sekeluarga berpeluang bercuti empat hari tiga malam di sana.

Perjalanan bermula pada awal pagi. Justeru, perlu keluar rumah sebelum waktu Subuh. Tidak sempat bersarapan bukan masalah besar kerana KLIA2 menjanjikan kepelbagaian restoran, sekali gus menjadikan setiap pengunjung berasa selesa sebelum memulakan destinasi.

Kami tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau selepas satu jam di udara. Tentu sekali sudah banyak dibaca dan diketahui mengenai Padang dan Bukit Tinggi. Jika saya hendak katakan mengenai beli belah, sudah tentu ramai yang lebih arif mengenainya dan sedia maklum tetapi hati saya lebih teruja untuk menuju ke rumah Allahyarham Prof Dr Haji Abdul Malik Dr Abdul Karim Amrullah.

Siapakah empunya nama itu? Pemilik nama itu adalah tokoh ulama nusantara terkemuka suatu ketika dahulu dan berasal dari Indonesia iaitu Hamka. Beliau dilahirkan di Tanah Sirah Nagari Sungai Batang Maninjau pada 17 Februari 1908.

Sepanjang hayat, Allahyarham Hamka tidak berhenti berkarya sehingga menghasilkan lebih beratus-ratus buku, makalah, esei dan artikel. Allahyarham bukan saja seorang penulis dan novelis, malah disifatkan sebagai sasterawan, negarawan, pujangga, sejarahwan, ahli politik serta ulama.

Perjalanan kami ke rumah Hamka atau lebih dikenali sebagai Muzium Kelahiran Buya Hamka bermula selepas bersarapan di hotel penginapan Grand Malindo dengan menaiki dua bas persiaran bersaiz sederhana yang boleh memuatkan 20 penumpang.

Kami dibahagikan kepada dua kumpulan pada pagi itu kerana bas persiaan yang memuatkan 40 penumpang yang dinaiki sejak tiba di Padang dan Bukit Tinggi tidak sesuai digunakan dalam perjalanan ke Muzium Kelahiran Buya Hamka.

Rumah ulama tersohor itu terletak di Sungai Batang Danau Maninjau dan untuk ke sana pengunjung perlu melalui 44 kelok atau lorong berliku. Jika anda mudah alah dengan keadaan seumpama itu, sediakan beg plastik sebagai persediaan kerana dikhuatiri anda boleh termuntah dalam perjalanan berkenaan.

Pemandangan indah di kiri dan kanan sungguh mengasyikkan dapat dinikmati sepanjang perjalanan itu. Selain bersaksikan Danau Maninjau, anda pasti terpesona dengan barisan sawah padi yang bertingkat.

Di setiap kelok, ada papan tanda kecil tertulis asma ul husna atau 99 nama Allah SWT di kiri dan kanan lorong berliku, sekali gus mengingatkan dan mengajak kita berzikir dengan nama Allah sepanjang perjalanan menuju ke rumah Hamka.

Ada pengunjung yang memejamkan mata setiap kali pemandu bas memutar stering bagi mengelakkan perasaan gayat dan pening. Ada juga yang tidur-tidur ayam untuk mengelakkan pening atau pitam sebelum tiba di destinasi.

Saya hanya memandang kehijauan pepohon di kiri kanan sambil membaca setiap nama Allah yang tertera di papan tanda. Alhamdulillah, tiada yang termuntah dalam perjalanan kira-kira satu jam itu tetapi sebagai persediaan saya meletakkan minyak aromaterapi ke dahi anak sulung untuk memastikan ia tidak pening atau termuntah.

Jika anda alah dengan keadaan jalan sempit dan berliku, jauhi minuman bersusu sebelum berangkat dan pastikan perut tidak terlalu kenyang ketika bersarapan.

Ketika tiba di rumah Hamka, kami disambut oleh anak saudara Allahyarham Hamka yang dikenali sebagai Hanif Rasyid. Beliau mempersilakan kami duduk di rumah berkenaan untuk memulakan sesi bercerita pada pagi yang redup itu.

Hampir satu jam, beliau bercerita mengenai perjalanan hidup bapa saudaranya yang begitu dikagumi dan menjadi kebangaan rakyat Indonesia. Perjalanan hidup yang mencabar kerana merantau ke Tanah Jawa ketika berusia 16 tahun dan menunaikan ibadat haji sewaktu berumur 19 tahun menjadikan Hamka seorang anak muda yang sentiasa bersemangat cekal, tabah, berani dan patriotik.

Tokoh ulama berdarah Minangkabau itu pernah mendalami agama di Makkah memulakan pendidikan awal di sekolah desa Padang Panjang pada sebelah pagi manakala pada waktu petang belajar mengaji dan ilmu agama di madrasah Thawalib.

Menurut Hanif, hobi Abdul Malik adalah menonton televisyen ketika kecil dan menyedari keadaan itu, bapanya menghantarnya mengikuti kelas bahasa Inggeris pada sebelah malam tetapi tidak berterusan kerana guru berkenaan berpindah ke Padang.

Justeru, ayahnya bimbang kerana mengharapkan Abdul Malik mewarisi dan menggantikannya sebagai ulama apabila dewasa kelak. Pergolakan dan perceraian rumah tangga ayah ibunya menyebabkan Abdul Malik dilanda kekecewaan.

Dia tidak mahu tinggal dengan ayah ibunya. Ayahnya sering berulang ke Padang Panjang dan Jembatan Besi manakala ibu kandungnya pula di Deli setelah berkahwin lain. Justeru, dia membawa diri ke Padang Panjang dan sesekali bertemu neneknya.

Di kampung, dia belajar bersilat, berpencak dan menari piring dan ke tempat pacuan kuda di Padang Panjang, Bukit Tinggi dan Paya Kumbuh. Ibu ayahnya mulai risau dengan perkembangan Abdul Malik dan hasil pujukan seorang ibu, dia dimasukkan semula ke sekolah dan di situ dia belajar berpidato. Pada usia remaja, dia merantau ke Pekalongan dan Jogjakarta untuk menuntut ilmu agama.

Abdul Malik semakin matang dan dikenali ramai setelah berceramah dari masjid ke masjid namun hasratanya untuk menjadi guru terbantut kerana tidak memiliki kelulusan. Akhirnya, dia memutuskan untuk merantau ke Permatang Siantar dan bertemu sahabatnya yang sudah lama berniaga di situ.

Dia menyimpan cita-cita ke Makkah untuk mendalami ilmu agama. Dia mahu membuktikan kepada masyarakat kampungnya bahawa dia yang pernah dikenali sebagai budak nakal kerana mencuri jambu bakal menjadi insan berguna untuk masyarakat.

Justeru, pada awal Februari 1927, Abdul Malik berangkat ke Makkah menaiki kapal Karimata ketika berusia 17 tahun. Sekembali dari Makkah dengan gelaran haji, Abdul Malik mula mengarang dan tulisannya diterbitkan di harian Pelita Andalas dan Seruan Islam. Ketika itu dia di Medan.

Mulanya dia enggan pulang menemui keluarga kerana terasa belum cukup ilmu agama tetapi setelah dipujuk abang iparnya, Abdul Malik akhirnya pulang ke pangkuan keluarga. Kepulangannya ke kampung halaman di Sungai Batang Maninjau disambut meriah. Tiada lagi kenakalan Abdul Malik yang menimbulkan kemarahan orang kampung.

Ilmu yang diperoleh di Tanah Suci dan pengalaman yang dilalui menjadikan Abdul Malik begitu dihormati serta disegani. Allahyarham bukan saja seorang penulis dan novelis, malah disifatkan sebagai sasterawan, negarawan, pujangga, sejarahwan, ahli politik dan cendekiawan agama.

Karya terkenal Allahyarham Hamka antara lain adalah Di Bawah Lindungan Kaabah, Laila Majnun, Tuan Direktor, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Merantau ke Deli, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Mengembara di Lembah Nil dan Di Tepi Sungai Dajlah.

Sebagai seorang sejarahwan, beliau juga menulis beberapa buku sejarah terutama mengenai sejarah umat Islam dan tulisan berbentuk biografi tokoh Islam seperti Sejarah Umat Islam, Ayahku Biografi, Sayid Jamaludin Al-Afghani, Kenang-Kenangan di Malaysia 1957 dan Muhammadiah Melalui Tiga Zaman.

Karya Hamka yang berkaitan agama dan begitu popular ialah Tafsir Al-Azhar 30 juzuk, Akhlaqul Karimah, Revolusi Islam, Mutiara Tarawih dan Aidilfitri, Kedudukan Perempuan Dalam Islam, Islam dan Kebatinan, Pandangan Hidup Muslim, Tasawuf Moden dan Falsafah Hidup.

Tags / Kata Kunci: Hamka , Bukit Tinggi

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan