Tip Mudah, Selesa Ke Hijir Ismail

Diterbitkan: Khamis, 8 Jun 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Hampir dua minggu kita berpuasa, sekali gus menandakan kita sudahpun memasuki fasa kedua di dalam Ramadan, bulan penuh keberkatan dan membuka ruang yang terbentang untuk memohon keampunan daripada Allah SWT.

Teringat saya ketika mengerjakan ibadat umrah menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah bersama-sama keluarga pada 2015. Meriah dan kemanisan beribadat masih kekal di ingatan. Semoga diundang lagi untuk bersahur, berbuka puasa dan beribadat di Tanah Suci.

Sebelum pulang ke tanah air, saya dan jemaah umrah yang lain mendapat khabar bahawa pelakon tanah air, Ismail Din, menghembuskan nafas terakhir di di Makkah. Petugas agensi pengendali umrah memaklumkan berita itu kepada jemaah umrah dari Malaysia di hotel penginapan kami.

Lebih syahdu, apabila dimaklumkan pelakon itu meninggal dunia ketika sedang berdoa di dalam Hijir Ismail sehingga menyebabkan semua yang mendengar terkedu seketika dan mengatakan pelakon itu sungguh bertuah kerana dipilih untuk meninggal dunia di Makkah pada awal Ramadan dan ketika sedang beribadat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Setiap kali menunaikan umrah, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersolat di dalam Hijir Ismail. Tidak kiralah sama ada ketika Ramadan mahupun musim haji. Terasa tidak lengkap kunjungan saya ke Makkah jika tidak berkunjung ke ruang dalam Hijir Ismail.

Kali pertama memasuki ruang yang terbatas dan berbentuk separa bulatan itu saya nikmati ketika mengerjakan ibaat haji tujuh belas tahun lalu. Bermula detik itu, saya berazam untuk berusaha memasuki ke dalam Hijir Ismail jika diundang sebagai tetamu Allah.

Oleh sebab peluang mengucup Hajar Aswad terlalu tipis kerana lambakan jemaah tertumpu di situ, sama ada lelaki mahupun wanita saya lebih cenderung untuk masuk ke dalam Hijir Ismail. Tambahan pula, Hijir Ismail disebut sebahagian daripada Kaabah. 

Dari Aisyah r.a. berkata: “Saya ingin memasuki Baitullah untuk mendirikan solat di dalamnya, maka Rasulullah S.A.W pun memegang tangan saya dan membawa saya masuk ke dalam Hijir serta bersabda: “Solatlah di dalam Hijir ini jika engkau ingin masuk ke dalam Baitullah kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada Baitullah.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud).

Bagaimanapun, bukan mudah untuk memasuki ruang berkenaan, yang di dalamnya membolehkan jemaah berdoa di bawah pancuran emas, apatah lagi tempat itu adalah antara tempat mustajab doa. Di tempat itu juga ramai jemaah yang melekapkan dada dan wajah mereka serta berdoa disertai tangisan.

Lazimnya, saya berusaha untuk memasuki Hijr Ismail sama ada bersendirian, berdua atau secara berkumpulan dengan jemaah wanita lain pada waktu dhuha.

Pengalaman memasukinya setiap kali mengerjakan ibadat umrah dan haji menyebabkan saya mempunyai tip tersendiri yang mungkin boleh dijadikan panduan oleh pembaca, khususnya mereka yang baru kali pertama hendak ke Tanah Suci agar mudah dan selesa jika hendak bersolat dan berdoa di dalam Hijir Ismail.

Suatu ketika dahulu, laluan memasuki Hijir Ismail ada dua, iaitu jemaah akan melalui sudut atau disebut rukun Iraqi dan keluar dari sudut/rukun Syami. Kaabah mempunyai empat sudut iaitu bermula dari Hajar Aswad, Iraqi, Syami dan Yamani.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hanya satu laluan digunakan untuk keluar masuk ke dalam Hijir Ismail iaitu di sudut Syami. Keadaan ini hakikatnya sangat menyulitkan jemaah dan menuntut kesabaran kerana terpaksa berpusu-pusu dan berebut untuk keluar masuk di situ.

Malah, kadangkala ada yang bertengkar dan meninggikan suara kerana terlalu ghairah mahu bersolat dan berdoa di dalamnya. Elakkan sikap seumpama itu. Sebaik-baiknya berzikir di dalam hati, insha Allah, peluang menyebelahi anda.

Untuk memasuki Hijir Ismail, saya memilih waktu dhuha kerana pada masa itu agak kurang jemaah. Setelah bersolat Subuh, usah terus pulang ke hotel tetapi tunggulah seketika. Tunaikan tawaf sunat yang mungkin mengambil masa hampir satu jam.

Lazimnya, saya menunaikan tawaf sunat terlebih dahulu. Selesai bertawaf, saya bergerak mengikut arus tawaf dan menuju ke bahagian separa bulatan. Apabila tiba di laluan masuk dan keluar ke dalam Hijir Ismail, saya tidak terus masuk ke dalamnya jika terlalu sesak dan menunggu seketika di bahagian luar.

Jika pengawal di ruang itu memberi isyarat untuk masuk ke dalam Hijir Ismail, baru saya memasukinya dan terus menyusup masuk di bahagian tepi sebelah kiri dan berjalan sehingga ke penghujung atau berhampiran sudut Iraqi.

Tempat yang sering menjadi tumpuan saya ialah berhampiran sebuah tong zamzam yang diletakkan di dalam ruang separa bulatan itu. Di situ lebih selesa dan tenang untuk bersolat sunat berbanding jika anda memilih ruang tengah yang sering sesak dan dikhuatiri boleh terhimpit di situ.

Setelah bersolat sunat, bolehlah bergerak ke sebelah kanan dan menuju ke hadapan iaitu di pancuran emas. Berdoalah di situ. Ada juga jemaah yang bersolat di barisan pertama di sekitar bawah pancuran emas tetapi keadaan di situ terlalu sesak dan selalunya tidak sesuai untuk bersolat kecuali berdoa.

Setelah berdoa di bawah pancuran emas, berganjak keluar secara perlahan-lahan. Pernah saya lalui pengalaman keadaan yang sangat menyesakkan untuk keluar dari Hijir Ismail sehingga menyebabkan saya melaungkan Allahu Akbar dan Alhamdulillah, ada ruang untuk saya keluar bersama-sama jemaah lain.

Sentiasa ingat, apabila berpeluang untuk memasuki tempat mustajab doa, anda perlu turut beri peluang kepada jemaah lain untuk beribadat di ruang berkenaan. Paling penting, jemaah perlu bersabar dan bertoleransi.

InsyaAllah bersambung minggu depan.



Tags / Kata Kunci: Hijir Ismail

iklan

Video

Khamis, 29 Jun 2017 9:00 AM

Redza Rosli Penuhi Undangan Rumah Terbuka

Rabu, 28 Jun 2017 3:30 PM

Kenapa Amyra Rosli Geram?

Rabu, 28 Jun 2017 12:00 PM

Amboi... Nabil Tak Puas Hati Dengan Skrip?

Rabu, 28 Jun 2017 9:00 AM

Lucu... Kisah Raya Floor88

Selasa, 27 Jun 2017 3:00 PM

Ardell Dah Jemu Berlakon?

Selasa, 27 Jun 2017 2:25 PM

Siti Nurhaliza Pun Naik ETS Tau!

Selasa, 27 Jun 2017 9:33 AM

Hazman dan Eryn Raya Bersama?

Isnin, 26 Jun 2017 3:00 PM

Dapat Impak Ramai Penyanyi Bernama 'Wani'

Isnin, 26 Jun 2017 9:30 AM

Selongkar Raya Zara Zya

Kolumnis

iklan

Iklan