Rahmat Menang-Menang Sempena Ramadan

Diterbitkan: Selasa, 6 Jun 2017 11:53 AM

Iqbal dan rakan serumahnya hanya masak ketika cuti dan ketika bekerja akan memesan juadah berbuka dari restoran yang menepati citarasa mereka sepanjang Ramadan.

(Ubah saiz teks)

SEINGAT aku, sebulan lalu tular satu berita berkenaan Brunei. Tularannya berkisar tentang perniagaan restoran yang terjejas ekoran undang-undang baru yang dilaksanakan kerajaan Brunei, bahawa semua restoran perlu ditutup di siang hari ketika di Ramadan.

Berita itu memuatkan keluh-kesah pemilik restoran yang mengatakan ia sedikit sebanyak merugikan perniagaan mereka.

Situasi ini berlaku sama di sini, di Doha. Dan walaupun aku tidak pernah menjejaki negara lain di Timur Tengah ini, aku percaya situasi yang sama juga berlaku.

Bezaznya cuma, tidak kedengaran keluh-kesah perihal kerugian perniagaan pemilik restoran itu. Mungkin juga sebab aku tidak tahu, atau juga kerana ia tidak pernah diberitakan.

Tapi bukan itu yang aku ingin ceritakan. Aku bukanlah wartawan yang mahu menyelidik secara terperinci keadaan itu. Tetapi yang mahu aku ceritakan ialah suasana Ramadan yang menyelubungi restoran-restoran, dan bagaimana orang bukan Islam melalui Ramadan.

Undang-undang Qatar menetapkan, semua restoran - tidak kira yang menyajikan makanan segera atau makanan panas - dilarang beroperasi pada siang hari.

Namun, arahan itu hanya berkuat kuasa sehingga pukul tiga petang, atau empat petang bergantung kepada restoran itu sendiri.

Ini bagi memudahkan mereka yang berpuasa membuat pesanan penghantaran atau untuk pelanggan yang mahu datang ke restoran dan membungkus makanan.

Walaupun dibuka hanya selepas pukul tiga petang, kemeriahannya tetap terpapar. Dan semua restoran akan beroperasi sehingga waktu sahur. Oleh itu, kerugian mereka menutup perniagaan antara waktu pagi hingga awal petang, digantikan pada sebelah malam.

Selain itu, bagi orang bukan Islam, mereka dilarang sama sekali untuk makan di khayalak ramai. Larangan sama turut dikenakan untuk minum atau menghisap rokok.

Di tempat kerja, undang-undang ini juga berkuat kuasa lebih-lebih lagi bagi tujuan menghisap rokok. Oleh itu pada Ramadan tidak ada pekerja yang keluar untuk menghisap rokok. Tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya mereka tertangkap.

Akan tetapi, atas ihsan syarikat kantin dibuka untuk mereka yang bukan Islam. Malah tidak ada larangan untuk pekerja bukan Islam membawa makanan masuk ke tempat kerja.

Waktu kerja juga disingkatkan kepada enam jam sahaja sehari. Buat kami yang bekerja shif selama 12 jam, kedatangan Ramadan memberi sedikit kelegaan apabila waktu bekerja kami hanya beranjutan sehingga sembilan jam sehari.

Ia tertakluk di dalam undang-undang Qatar dan bertujuan untuk mengelak sebarang risiko penyahhidratan yang mampu menyumbang strok panas, seperti yang aku ceritakan minggu lepas.

Keistimewaan ini juga disambut baik oleh mereka yang bukan Islam. Mereka boleh saja bekerja macam biasa iaitu 12 jam. Maknanya, daripada jumlah waktu bertugas itu, tiga jam adalah waktu kerja lebih masa. Ia dibayar dengan kiraan lain.

Oleh itu situasi ini adalah situasi menang-menang oleh semua pihak. Tetapi ada juga mereka yang bukan Islam memilih untuk pulang awal seperti kami kerana keadaan cuaca yang tidak begitu mesra buat tubuh Asia kami.

Keringanan waktu kerja yang telah diberikan memberi ruang buat kami yang Muslim mempunyai masa tambahan untuk menyiapkan juadah berbuka dan sahur sekaligus. Disebab waktu sahur yang awal, selalunya persiapan dilakukan serentak sekali dengan juadah berbuka.

Selalunya aku, Daen dan Harith jarang memasak pada hari bekerja. Kami hanya memesan makanan. Dan makanan selalunya dibeli bersekali untuk juadah sahur.

Pada waktu cuti bekerja selama empat hari, barulah ada keinginan untuk memasak. Kalau hari-hari berbuka dengan nasi goreng, beriyani dan mi goreng, mana boleh tahan.

Restoran yang kerap menerima pesanan ialah Oriental Kitchen, (sebuah restoran Cina warga Malaysia), restoran gurkha (Nepal) dan sebuah restoran Bangladesh. Jadi pada waktu cuti bekerja barulah meriah juadah berbuka kami. Kurma Ajwa selalu menjadi pilihan sebagai pengganti kuih-muih yang tidak terdapat di Doha.

Paling tidak pun, Daen akan memasak cekodok pisang, keropok atau cucur bawang. Jadilah daripada tidak ada apa-apa langsung. Buat warga Malaysia di Doha ini, yang paling dirindui - selain masakan kampung - ialah bazar Ramadan. Selalunya kedutaan Malaysia akan melaksanakannya, tapi tidaklah hari-hari.

Ada juga hotel-hotel tertentu yang menganjurkan bazar Ramadan dan ia diadakan setiap Jumaat. Tetapi harga makanannya berkali ganda mahalnya berbanding di Malaysia.

Tetapi jikalau sudah rindu serindu rindunya, 'pejam mata' dan bayar sajalah. Ini semua cabaran. Cabaran yang perlu dilalui walau sepayah mana, sinonim dengan konsep Ramadan itu sendiri iaitu untuk memperolehi takwa.

Bukankah kehidupan kita ini tidak lari dengan pautan ketuhanan? Dan cabaran yang paling besar ialah penghujung Ramadan nanti, ketika mahu pulang beraya. Boleh menitis airmata dibuatnya.

Kenapa? Nantilah aku ceritakan. Sementara itu, selamat berpuasa dan ingat-ingatlah kami yang diperantauan sewaktu kalian menjamah murtabak.


Tags / Kata Kunci: Doha , Ramadan

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan