Kreatif Ketika Bersedekah Di Tanah Suci

Diterbitkan: Khamis, 1 Jun 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Hampir satu minggu kita berpuasa. Semoga setiap amal ibadat kita diterima oleh Allah. Ketika menunaikan umrah, terutama Ramadan, ramai jemaah yang berusaha untuk melipatgandakan amal ibadat di Tanah Suci.

Bukan sekadar bersolat jemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tetapi ramai yang merebut peluang untuk bersedekah. Pelbagai bentuk sedekah boleh dilaksanakan tetapi sebahagian besar lebih cenderung memberi makanan dan minuman kepada jemaah.

Tidak keterlaluan dikatakan, jika terlalu banyak makanan dan minuman yang diberi, ia boleh mengundang pembaziran. Justeru, kadangkala kita ternampak makanan yang terbuang dan tersisa bertimbun di sekitar perkarangan masjid atau di dalam hotel penginapan.

Ketika menunaikan umrah pada akhir Ramadan tahun lalu, saudara-mara menghulurkan wang dan berpesan agar bersedekah makanan dan minuman untuk berbuka kepada jemaah umrah. Amanah yang dipikul tidak boleh dipandang ringan.

Tambahan pula, tahun lalu adalah kali pertama saya berpeluang ke Makkah pada akhir Ramadan. Namun, Alhamdulillah, pandangan dan bantuan daripada ketua saya memudahkan lagi urusan saya untuk memenuhi amanah yang diserahkan itu.

“Ada orang bagi wang dan minta saya sedekah makanan kepada jemaah. Macam mana ya Haji?” tanya saya pada Haji Ridzwan Abdullah.

“Elok bersedekah pada malam 27 Ramadan,” ujar Haji Ridzwan ringkas.

“Dia nak beli barang makanan tu haji? Banyak wang yang diberikan kepada saya ini,” tanya saya ingin tahu.

“Di kedai-kedai sekitar ni,” balas Haji Ridzwan sambil menunjukkan beberapa kedai runcit yang terletak berhampiran hotel penginapan kami di Retaj Safwah 1 di kawasan Ajyad.

“Masa bila paling sesuai hendak beri sedekah itu?” tanya saya lagi.

“Kita serahkan selepas solat Asar. Masa tu ramai orang balik dari masjid,” ujar beliau ringkas.

Saya sekadar mengangguk tanda bersetuju. Tiba hari dinanti, pergilah saya dan Haji Ridzwan ke sebuah kedai runcit berhampiran hotel penginapan untuk membeli pek makanan.

Terkejut juga saya sebab sejurus tiba di depan kedai, saya dapati berguni pek makanan dijual dengan harga SR5. Di dalamnya ada sebuku roti panjang, sekotak jus, beberapa ketul kurma dan sebotol air mineral.

Haji Ridzwan berbahasa Urdu dengan peniaga kedai runcit berkenaan. Sejurus itu juga, beliau mengatakan kepada saya, semua pek makanan itu tiada sesiapa yang punya dan boleh dibeli semuanya.

Saya lantas mengeluarkan wang dan bertanya adakah lagi makanan siap dipek jika saya mahukan tambahan kerana bimbang kekurangan. Peniaga itu mengatakan makanan itu boleh dipek lagi dan dihantar ke hotel penginapan. Saya membeli lebih 20 guni dan peniaga menghantarnya di depan hotel penginapan.

Melihat peniaga memikul pek makanan, jemaah yang pulang dari masjid mula mengerumuni ruang depan hotel. Mereka tidak sabar menunggu agihan makanan sehingga saya terkejut dan agak ketakutan melihatkan keghairahan mereka menunggu pek makanan yang diserahkan.

Turut membantu saya ketika memberi sumbangan itu ialah Haji Ridzwan, Hajah Naaimah, Hajah Kamariah dan seorang pekerja hotel. Jemaah yang berebut mengambil makanan itu sebahagian besar adalah lelaki dan ada yang sanggup bergaduh dengan jemaah lain kerana inginkan lebih daripada satu pek.

Dalam hal ini, Haji Ridzwan bertegas dan mengatakan seorang jemaah hanya mendapat satu pek makanan sahaja manakala saya pula menunjukkan isyarat jari telunjuk menandakan seorang satu pek.

Paling saya terkejut apabila jubah saya turut ditarik oleh jemaah lelaki yang mahukan perhatian saya untuk memberi pek makanan. Ada juga yang sanggup mengoyakkan plastik berisi pek makanan kerana tidak sabar menunggu saya mengagihkan pek makanan itu.

Berdasarkan pengalaman itu juga, ketika menunaikan ibadat haji pada tahun lalu, saya berpesan kepada sekumpulan jemaah haji muda yang mahu bersedekah makanan agar bersiap sedia dengan tindakan dan rebutan jemaah yang kadangkala kita tidak sangka-sangka. 

Berhati-hatilah ketika menghulurkan sumbangan itu kerana ada segelintir jemaah yang sanggup bergaduh dan memarahi apabila tidak memperoleh pek makanan. Saya juga mengingatkan mereka agar jemaah lelaki lebih sesuai untuk menyampaikan pek makanan berkenaan.

Sebenarnya selain makanan yang mudah basi dan tidak sesuai untuk disimpan keesokan hari terutama nasi dan makaroni untuk berbuka, jemaah boleh merebut pahala sedekah dengan memberi pelbagai bentuk bahan sedekah.

Jika ada sahabat handai atau saudara-mara yang memberi wang dan meminta anda bersedekah, sebaik-baiknya berbincang dulu dan beri idea kepadanya mengenai bentuk sumbangan yang mahu disalurkan.

Contoh sedekah yang boleh dihulurkan ialah tasbih tawaf dan saie yang boleh dibeli di kedai cenderahati serta mudah ditemui di sekitar luar masjid. Harga hanya SR3 atau SR5. Banyak yang cantik dan berkualiti. 

Saya memperoleh tasbih tawaf dan saie di Bukit Marwah ketika sedang menyempurnakan saie. Kualitinya baik dan tahan sehingga sekarang.

Jemaah juga boleh membeli tisu dan sedekahkannya menjelang waktu berbuka puasa di dalam masjid kerana ia sangat diperlukan selepas iftar. Jika jemaah bukan dalam ihram, tisu basah juga banyak membantu selepas iftar dan ketika hendak bersahur di dalam masjid.

Kita nampak sedekah itu kecil, hanya sehelai tisu untuk setiap jemaah tetapi ganjarannya besar, inshyaAllah. Jangan terkejut jika di dataran Kaabah ada jemaah lain yang memegang sekotak besar tisu untuk memudahkan jemaah mengambilnya dan mengelap peluh ketika bertawaf. Tisu yang dipegang itu juga selalunya menjadi keperluan jemaah terutama dalam cuaca panas terik.

Jika masih mahu menyumbang makanan kepada jemaah, anda boleh beli manisan di dalam kotak, kismis, beberapa ketul kurma yang siap dibungkus, biskut, gula-gula dan jus. Semua bahan ini masih boleh disimpan jika tidak sempat menikmatinya malah jemaah juga boleh membawa pulang sumbangan itu.

Ada juga segelintir jemaah yang membawa bahan makanan kering untuk disedekah itu dari tanah air dan ini jauh lebih mudah dan cepat. Sebaik-baiknya, belilah makanan yang boleh tahan lama untuk mengelakkan pembaziran kerana kadangkala sangat menyedihkan apabila terlihat longgokan makanan di Tanah Suci setelah terlalu banyak sumbangan diperoleh jemaah.

InsyaAllah bersambung minggu depan.


Tags / Kata Kunci: Bukit Marwah , Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan