Kenali Tamar Sebelum Membeli

Diterbitkan: Khamis, 25 Mei 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Sabtu ini, insyaAllah, umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan Ramadan. Bulan penuh kemuliaan dan keberkatan yang menjanjikan pahala berlipat ganda serta ganjaran lumayan.

Bagi mereka yang berpeluang menunaikan ibadat umrah ketika Ramadan, anda sungguh bertuah dan perbanyakkan syukur kepada-Nya kerana memilih anda sebagai tetamu bersempena Ramadan al-mubarak.

Setiap kali Ramadan, tamar atau kurma yang paling jadi perhatian. Buah yang kaya serat itu dimakan terlebih dahulu selepas azan berkumandang. Di Tanah Suci, tamar paling sering dijadikan sumbangan atau sedekah. Lazimnya, di Tanah Suci, pelbagai jenis kurma boleh didapati dan diberi kepada tetamu Allah menjelang buka puasa.

Makan kurma sewaktu berbuka puasa pada Ramadan adalah sunnah. Setelah sehari kita berpuasa, perut tidak menerima sebarang makanan, dengan makan kurma terlebih dahulu, perut tidak terasa terkejut menerima makanan secara mendadak, apatah lagi jika ia berempah dan pedas.

Kurma dapat memberi tenaga kepada tubuh. Kandungan zat besi yang tinggi di dalam buah kurma mampu membantu mereka yang mengalami masalah kekurangan sel darah merah di dalam badan atau anemia. Justeru, sebaik-baiknya, ia diambil bukan sekadar pada Ramadan.

Ramai jemaah yang kali pertama berpeluang menunaikan ibadat umrah suka bertanya mengenai tamar. Antara soalan itu ialah di mana paling elok dibeli, adakah di Madinah atau Makkah, kenapa ia terlalu mahal di sesetengah tempat dan kurma yang paling enak.

Apa pula perbezaan tamar yang dijual di pasar dan di ladang? Soalan ini paling sering diajukan kepada saya. Malah, ada jemaah yang seolah-olah kesal setelah membeli tamar dengan harga tinggi apabila mengetahui rakan jemaah lain membeli jenis yang sama pada harga lebih rendah.

Paling elok membeli tamar ialah di Madinah kerana lebih murah, segar dan berkeadaan baik. Boleh saja membeli tamar di Makkah jika anda tertarik dengan cara pembungkusannya yang menarik dan sesuai dijadikan cenderahati.

Hendak beli di ladang atau di pasar? Jika mahu tamar yang lebih baik, jemaah boleh beli di ladang kerana tempoh diletakkan di situ kurang dari enam bulan. Lazimnya, tamar kelihatan lebih segar dan tidak terlalu kering. Faktor ini menyebabkan tamar di ladang dijual dengan harga lebih tinggi.

Berbeza pula harga di pasar tamar atau bazar di sekitar Tanah Suci yang lebih murah tetapi masalahnya kadangkala tamar tidak begitu cantik dan kering. Jika hendak berjimat, boleh saja membeli sedikit di ladang dan beli sebahagian lagi di pasar atau bazar.

Ajwa, ambar, sukhari, safawi dan rotab, tamar susu antara yang sering dibawa pulang oleh jemaah umrah dan haji. Ajwa paling mahal diikuti ambar. Harga tamar yang lain berpatutan dan berbaloi untuk dibeli sebagai ole-ole dari Tanah Suci.

Tanpa tamar umpama tidak ke Tanah Suci. Ia hidangan dan sumbangan paling lazim dibeli oleh jemaah haji dan umrah walaupun semua maklum di tanah air juga kian banyak tamar dijual di kedai-kedai Arab.

Jika jemaah tidak begitu menitikberatkan kualiti tetapi masih mahu membeli ajwa dan ambar, beli saja tamar jenis itu di bazar sekitar Masjid Nabawi kerana harga ditawarkan begitu berpatutan.

Pernah saya membeli sekilogram ajwa dengan harga SR40 di sebuah bazar di paras Mezanine di Hotel Millenium Aqeeq, Madinah sedangkan di ladang berharga SR100 sekilogram.

AJWA:

Paling popular. Ia juga dikenali sebagai kurma Nabi dan menyimpan khasiat tersendiri. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barang siapa makan tamar Ajwa setiap pagi tujuh biji, ia dapat mengelakkan dirinya daripada terkena racun dan sihir.”

Harganya memang mahal dan ajwa ada beberapa gred. Kadangkala boleh mencecah sehingga beratus-ratus riyal untuk satu kilogram. Namun, yang sering ditemui di ladang tamar ialah ajwa berharga di antara SR80 dan SR120 sekilogram. Tentu sekali ajwa yang berharga mahal enak rasanya, lembap dan kelihatan cantik.

AMBAR:

Bentuknya besar dan panjang. Kurma ini juga semakin menjadi perhatian jemaah kerana rasanya yang lemak manis. Ia adalah kurma kedua termahal selepas Ajwa. Makan satu biji sudah kenang. Namun, awas pastikan anda mengopek tamar itu terlebih dahulu sebelum makan untuk memastikan tiada ulat di dalam dalamnya. Harganya di antara SR60 hingga SR80 sekilogram.

SUKHARI:

Bentuknya yang comel dan turut digemari ramai warga Malaysia. Ia murah dan begitu manis. Sangat sesuai untuk membekalkan tenaga setelah berpuasa berjam-jam. Harganya sangat berpatutan, kira-kira SR30 sekilogram.

SAFAWI:

Berwarna hitam atau coklat gelap. Ia agak kering tetapi lembut. Banyak didapati di Madinah dan harganya begitu berpatutan.


ROTAB:

Kurma ini sering dibeli pada saat-saat akhir sebelum berangkat pulang. Ia sering ditempatkan di dalam peti sejuk untuk menjamin kesegarannya. Harga bergantung kepada kandungan dan saiz bekas plastik tamar itu. Boleh dibeli serendah SR10. Bersaiz kecil dan berwarna kuning muda. Rasanya seperti ciku dan tidak jemu menikmatinya.

KURMA SUSU:

Bersaiz kecil dan berwarna coklat muda. Ia antara kurma bersaiz kecil. Agak kering dan rasanya lemak manis. Ramai yang menggemarinya. Harganya SR20 sekilogram. Selain itu, usah lepaskan peluang untuk menikmati tamar muda yang berwarna merah kekuningan.

Ia dibekukan dan boleh didapati di dalam peti sejuk. Lazimnya, anda boleh membelinya di sekitar masjid Quba’ di Madinah. Rasanya kelat manis. Semakin dikunyah semakin sedap rasanya. Jika berada di Tanah Suci ketika awal Ramadan, saya ingin berpesan agar tidak membeli terlalu banyak tamar untuk dibawa pulang kerana setiap hari jemaah memperolehi tamar setiap kali ulang alik ke masjid.

Pernah saya diserahkan kurma separuh beg plastik yang bersaiz plastik sampah. Saya sungguh terkejut apabila digamit dari jauh orang seorang pemuda lantar menghampirinya.

Dia tidak berkata apa-apa tetapi sekadar menghulurkan tamar separuh plastik beg besar kepada saya. Melihatkan kuantitinya yang begitu banyak dan tidak mampu untuk saya membawa pulang ke hotel, saya agihkan tamar itu kepada setiap jemaah dengan meletakkannya ke dalam gelas plastik air zamzam.

Biarpun sudah memberinya kepada jemaah lain, kurma yang disedekahkan sepanjang berada di Tanah Suci Madinah dan Makkah masih banyak berbaki sehingga menyebabkan saya tidak membeli tamar untuk dibawa pulang ke tanah air.

InsyaAllah bersambung minggu depan.
Tags / Kata Kunci: Rotab , Ajwa

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan