Jerkahan 'Hantu Raya' Dalam Pesawat

Diterbitkan: Rabu, 17 Mei 2017 9:17 AM

(Ubah saiz teks)

Dari Diari Kembara

HIA atau Hamad International Airport (Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad) adalah lapangan terbang di Doha, Qatar.

HIA siap dibina pada 30 April 2014. Awalnya, lapangan terbang itu dijangka sedia untuk beroperasi pada 2009, tetapi disebabkan beberapa masalah, ia ditunda sehingga lima tahun.

HIA menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha (DIA) yang terletak di Jalan Old Airport berhadapan dengan Jalan Matar Qadeem. Dan HIA secara rasminya beroperasi penuh pada 27 Mei 2014, iaitu dua hari selepas kedatangan aku ke Doha.

Pembinaan HIA secara besar-besaran ini tidak sahaja merangkumi lapangan terbang, tetapi serentak dengan pembinaan hangar bagi tujuan penyelenggaraan kapal terbang milik Qatar Airways.

Apa yang menarik tentang HIA, pembinaannya dirancang sekitar 2003 dan mula dibina pada 2005. Terminal dan landasannya memanjang sehingga lima kilometer dan keluasan keseluruh lapangan terbang adalah seluas 2,200 hektar, atau kira-kira dua pertiga saiz Doha.

Pembinaan ini bagi menampung jumlah trafik yang meningkat. Qatar dijangka mampu menampung antara 50 juta hingga 90 juta kedatangan setahun dengan kehadiran HIA.

Pembinaan HIA juga dibuat di atas lautan yang ditambak. Dan bangunannya menggunakan tema oasis. Pada 5 Januari 2017, HIA menerima anugerah Lapangan Terbang 5 Bintang oleh Skytrax.

Terdapat pelbagai pilihan kedai dan restoran di dalam HIA. Setiap pengunjung boleh membeli belah sambil menikmati pelbagai hiasan yang terdapat di dalamnya.

Kedai pengurup wang juga disediakan bagi mereka yang mahu menukar matawang. Tetapi awas, cajnya sedikit mahal berbanding pengurup wang di luar.

Disebabkan Doha merupakan tempat persinggahan (transit) antara destinasi di Eropah dan Asia HIA sentiasa sibuk dengan mereka yang menunggu penerbangan seterusnya.

Dan setiap kedai atau restoran sentiasa penuh dengan pengunjung dan uniknya, ia beroperasi 24 jam bagi menampung pengunjung yang ramai.

Terdapat ruang rehat bagi pengunjung yang mahu melelapkan mata ementara menunggu penerbangan seterusnya tiba.

HIA memang luas, walau tidak seluas KLIA 2, tetapi jika pengunjung mempunyai masa luang tambahan, berjalan di dalamnya memang memenatkan.

Disebabkan itu, perkhidmatan komuter disediakan di tingkat dua bagi membawa pengunjung ke terminal yang dihajati.

Terminal di dalam HIA bermula dari A sehingga E. Dan terminal E terletak paling jauh. Aku pernah terkena - pintu 24 di Terminal E sewaktu hendak pulang ke Malaysia.

Masya-Allah, jauhnya! Sampai berpeluh aku berjalan walaupun HIA sejuk dengan pendingin hawa.

Bagi pekerja seperti aku, pulang ke tanah air adalah satu perkara wajib. Ada yang pulang sebulan sekali, ada juga yang pulang setiap dua minggu sekali, dan paling ajaib, ada pekerja sanggup pulang setiap empat hari.

Sewaktu kau membaca cerita ini, aku sudah pun sampai ke Malaysia. Penerbangan pada pukul 7:45 malam di Doha dan tiba di KLIA pada pukul 8:10 pagi.

Seusai kerja pada pukul 6 petang, aku bergegas ke HIA. Perjalanan dari hangar ke HIA mengambil masa lebih kurang setengah jam. Agak terkejar-kejar jugalah kerana aku hanya punya masa sejam 15 minit untuk beratur melepasi imigresen dan makan malam.

Mengunjungi setiap kedai di dalam HIA adalah menjadi perkara rutin aku setiap kali pulang ke Malaysia. Aku mulakan dengan singgah di restoran terbuka untuk makan malam.

Kemudian singgah di kedai gajet bagi melihat gajet-gajet yang terbaru, kemudian ke kedai emas, minyak wangi dan terakhir kedai coklat.

Terdapat pelbagai warganegara di dalam HIA. Dari Eropah, Arab sehinggalah ke Asia. Dan jika kau mahu melihat pelbagai ragam manusia yang aneh, lapangan terbang tempat paling sesuai.

Dan, yang paling lucu sekali adalah karenah warganegara Arab. Aku tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya tetapi fiil mereka memang pelik. Terutama sekali apabila kapal terbang mendarat di destinasi. Dan ya, merekalah yang paling ramai ke Malaysia.

Pernah sekali, aku mendapat tempat duduk di zon 4, iaitu di bahagian hadapan selepas kelas bisnes. Di depan aku ada beberapa barisan yang diduduki oleh warga Arab.

Sebelum mendarat - biasalah - kapten akan membuat pengumuman. Dan diikuti dengan pramugari memberi arahan kepada penumpang untuk mengenakan tali pinggang dan duduk.

Tetapi mereka yang dihadapan aku ini, masih lagi mundar-mandir dan ada yang sudah mahu mengambil bagasi dari tempat simpanan di bahagian atas kepala penumpang.

Dan ini menyebabkan pramugari terpaksa meninggikan suara memberi arahan untuk mereka duduk.

Kemudian, kapal terbang pun mendarat. Sebaik sahaja tayar utama di belakang mencecah landasan, tanpa sempat tayar hadapan mencecah aspal, dalam keadaan kapal terbang yang mendongak itu, seorang warga Arab bangkit dan cuba keluar dari tenpat duduk mahu mengambil bagasinya.

Aku melihat perkara itu dengan sangat takjub dan tidak semena-mena satu suara garau yang amat bagai hantu raya memekik dengan kuat: “DUDUK!”

Dan serentak itu, tayar hadapan kapal pun mencecah landasan dan memberi sedikit hentakan sebagaimana biasa sifat kapal terbang waktu mendarat dan menyebabkan warga Arab tadi hampir terpelanting ke hadapan.

Aku dan beberapa lagi penumpang hanya mampu ketawa dan menggelengkan kepala melihat telatah mereka. Tidak tahu hendak cepat mahu ke mana dia agaknya. Mungkin dia menahan cirit-birit.

Sewaktu mahu keluar dari kapal terbang, di pintu keluar aku bertembung dengan seorang pramugari yang tinggi dan manis, memberikan senyuman dan mengucapkan terima kasih. Aku harap bukan dia yang tadi menjerit bagai hantu raya.

Tags / Kata Kunci: HIA , hantu raya

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan