Untung Malaysia Timbul, Untung 'Kasta' Rendah Tenggelam

Diterbitkan: Rabu, 10 Mei 2017 9:23 AM

(Ubah saiz teks)

ADA ramai juga yang bertanya, malahan kerap pula: bagaimana boleh dapat kerja di Doha?

Kadang-kadang susah juga hendak diterangkan. Tapi, ianya tidaklah terlalu susah sebab biasanya kau akan mendapatnya asalkan kerja diminta itu berpadanan dengan pengalaman.

Dan, peluang bekerja di Doha ini sebenarnya luas. Tidak tertakluk hanya pada bahagian penerbangan sahaja. Bidang teknologi maklumat (IT), pengurusan, sistem komunikasi dan lain-lain boleh saja diceburi.

Tambahan pula sekarang ini pembinaan monorel sedang giat dijalankan dan dijangka siap sebelum 2022. Sebelum Piala Dunia berlangsung.

Tetapi sayangnya, kebanyakan kerja dimonopoli oleh warganegara India, terutama di bahagian pengurusan dan IT. Di bahagian keselamatan pula, ia dimonopoli oleh warga Pakistan.

Doha sejak 2005 giat membangun. Oleh itu, peluang pekerjaan dari sekecil bidang hingga sebesar alam memang sentiasa ada. Dan lubuk emas ini malangnya, selalu dijadikan tempat untuk orang mengambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Minggu lepas telah aku ceritakan perihal kasta. Kali ini aku mahu sambung sedikit lagi mengenai perkara ini.

Seperti yang telah aku katakan, ideologi kasta ini tebal terutamanya di bahagian pengurusan.

Layanan yang diterima berbeza mengikut pangkat masing-masing. Bukan itu sahaja, jurang tangga gaji juga amat jauh dan begitu ketara antara satu gred dengan gred yang lain.

Aku masih ingat, sebelum aku ke Doha, isteri aku pernah meluahkan rasa bimbang kerana takut aku dipermainkan. Tetapi melihat kepada dokumen yang aku terima dan sementelah aku tidak berurusan dengan pihak ketiga, keyakinan aku sedikit tinggi bahawa tidak ada penipuan.

Tetapi nasib kita tidak selalu sama. Masih ramai sebenarnya mereka yang tidak bernasib baik. Di tipu ejen, gaji yang tidak seperti yang dijanjikan, dan sebagainya. Paling menyedihkan apabila petempatan mereka juga tidak disediakan. Atau ada, tetapi tidak sempurna.

Aku pernah berbual dengan beberapa pekerja pembersihan. Gaji yang mereka terima sebulan hanyalah 1,500 riyal. Dan ada juga hanya menerima 800 riyal sebulan. Apabila ditanya lagi, mereka sebenarnya terpaksa bekerja selama 12 jam sehari - seperti kami juga - namun tidak mendapat cuti bekerja seperti kami, iaitu empat hari seminggu.

Mereka terpaksa bekerja enam hari seminggu selama 12 jam sehari. Maknanya, hanya ada satu hari cuti, iaitu Jumaat. Itupun jika tidak mengambil kerja lebih masa.

Jika mengambil kerja lebih masa maka tidak bercutilah dia. Sudahlah tidak ada lagi cuti, syarikat hanya membayar upah antara 2.50 hingga 3 riyal sejam.

Dengan kos hidup yang begitu tinggi di sini, kehidupan dengan gaji sedemikian memang tidak mencukupi. Apabila ditanya kenapa tidak berhenti saja, jawapan yang diterima selalunya sama: Pasport mereka dipegang oleh pihak majikan.

Mereka ini - yang menjadi pekerja pembersihan, buruh binaan dan lain-lain perkerjaan bawahan - dianggap sebagai kelas bawahan pula. Mereka ini tidak dibenarkan untuk ke bandar yang bersifat komersil melainkan pada hari cuti mereka sahaja - Jumaat.

Sudahlah begitu, jika ke bandar, dilarang sama sekali untuk berada di sana sehingga lewat malam. Hanya boleh dalam tempoh waktu yang dibenarkan sahaja.

Aku tidak pernah tengok petempatan mereka, tetapi menurut cerita, kebanyakannya tinggal di kawasan yang disediakan di kawasan industri. Di situlah semua pekerja kelas bawahan ditempatkan.

Bangunan-bangunan yang menjadi petempatan mereka seakan gudang dan diisi seramai 25 atau 30 orang pada satu bangunan.

Ada juga pekerja yang diberikan hanya satu bilik kecil yang dikongsi seramai enam hingga lapan orang.

Hal menyedihkan ini tidak terhenti setakat isu gaji, pangkat dan petempatan sahaja. Kelebihan lain juga dinafikan seperti hak mengambil lesen memandu, perubatan, cuti tahunan dan tiket penerbangan untuk pulang ke tanah air selepas berhenti bekerja.

Bukan mereka sahaja, sedangkan aku sendiri yang berpangkat mekanik, tidak dibenarkan untuk mengambil lesen memandu. Sekiranya mahu, aku perlu menukar status perkerjaan dari mekanik kepada mekanik kapal terbang.

Ujian memandu antara yang berpangkat rendah dan tinggi juga berbeza. Aku misalnya, perlu melalui semua ujian daripada bertulis sehingga memandu.

Bagi mereka yang berpangkat lebih tinggi, kadang-kadang nasib dialami adalah lebih baik.  Ada yang hanya perlu melakukan pemeriksaan mata sahaja, walaupun ada yang perlu melakukan semua ujian.

Tetapi yang pasti, mereka yang berpangkat tinggi tidak perlu lakukan ujian memarkir.

Perkara ini aku kira tidak asing lagi bagi negara-negara timur tengah. Di Dubai juga ada ceritanya tersendiri. Kadang ada juga cerita-cerita perihal pekerja bawahan membunuh diri. Mungkin benar mungkin tidak.

Pernah sekali kami berjumpa seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang ditipu dan sekarang berada di Doha tanpa dapat pulang ke Malaysia. Nantilah, lain kali aku cerita.

Pesan aku, jika kau mendapat tawaran untuk bekerja di sini, selidik dahulu segala macam perkara. Pastikan syarikat yang membuat tawaran tersebut wujud. Elakkan dari membuat sebarang urusan dengan ejen. Bila dah terkena, susah mahu cerita bhai!


Tags / Kata Kunci: Doha , Malaysia , kasta

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan