Bawa Sejadah Dalam Beg Bimbit

Diterbitkan: Khamis, 27 April 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Keperluan dan kelengkapan untuk umrah serta haji sering dibangkitkan, terutama bagi mereka yang baru kali pertama hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah dan Makkah.

Antara soalan lazim yang ditanya ialah jumlah pakaian, telekung, tudung labuh, peralatan penjagaan dan dandanan diri, kelengkapan lain seperti penyangkut dan penyepit pakaian, sandal serta makanan ringan.

Bagaimanapun, tidak semua akan bertanya keperluan membawa sejadah atau tikar sembahyang kerana jarang terfikir perkara itu, tambahan pula, sejadah banyak dijual di sebahagian besar bazar di Tanah Suci.

Namun, sejadah penting sejak dari awal lagi dan seharusnya diletakkan di dalam beg bimbit atau ‘hand carry’. Kenapa saya katakan sejadah penting dibawa di dalam beg bimbit?

Mungkin ada sesetengah individu tidak kisah untuk bersolat di mana-mana sahaja tanpa sebarang pelapik tetapi bukan semua individu begitu kerana masih ramai yang mahukan sejadah untuk dibentangkan sebelum mereka bersolat.Ketika mahu berlepas ke Tanah Suci pada Disember tahun lalu, saya melalui pengalaman itu sendiri.

Mulanya jadual penerbangan adalah pada jam 1.25 tengah hari tetapi ditunda sehingga jam 4.25 petang.

Sehubungan itu, solat jamak qasar Zuhur dan Asar perlu disempurnakan di tanah air iaitu di dalam terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah semua jemaah menikmati makan tengah hari.

Keadaan di surau KLIA sesak dengan bakal jemaah umrah yang akan berlepas ke Tanah Suci. Surau berhampiran begitu terhad di pintu berlepas C dan keadaan ini mengundang kesesakan dan jemaah perlu menunggu giliran untuk bersolat.

Sejurus menanggalkan kasut, saya terus berwuduk tetapi tidak terus bersolat kerana perlu mengikut giliran kerana ruang solat yang terbatas.

“Jika bawa sejadah sendiri boleh kita solat di luar…” ujar seorang jemaah wanita.

“Betullah. Tapi tak bawa pula. Sejadah ada dalam beg besar,” balas seorang lagi jemaah.

Saya sekadar tersenyum. Terfikir ada kebenaran kata-kata kedua-dua wanita berkenaan.

“Ramai ni. Nak tunggu seorang demi seorang selesai solat, lambat juga…”ujar seorang lagi wanita yang datang bersama-sama saudara-maranya.

“Sejadah di sini pun dah digunakan semua. Macam mana nak solat di luar,” ucap seorang lagi.


Sekali lagi saya sekadar memerhati dan mendengar.

“Tadi jemaah lelaki solat di tepi tangga. Mereka tidak guna sejadah…” kata seorang lagi wanita.

“Saya ada ‘shawl’. Awak nak ke? Boleh guna shawl saya untuk dijadikan sejadah,” ujar saya pula.

“Boleh juga guna shawl…tapi tak mengapalah, segan pula nak solat di luar. Kita tunggu saja,” balas wanita itu sambil mengucapkan terima kasih.

Saya tidak terfikir untuk menggunakan shawl kerana menunggu giliran tambahan pula saya sendirian ke surau berkenaan sedangkan mereka berkumpulan.

Lazimnya, saya membawa shawl di dalam tas tangan, terutama jika ke luar daerah. Ia bukan sekadar boleh membalut tubuh ketika kedinginan dan bersolat malah boleh dijadikan sejadah dalam keadaan terdesak.

Apabila tiba di lapangan terbang di Jeddah, jemaah juga digalakkan bersolat jamak qasar Maghrib dan Isyak kerana dikhuatiri terlepas waktu itu. Dalam hal ini, shawl dan sejadah ringan sangat penting kerana adakala tiada ruang solat khusus dan jemaah perlu bersolat di sekitar balai ketibaan lapangan terbang.

Kadangkala ada juga penerbangan yang tiba di terminal haji lewat tengah malam dan jemaah terpaksa menunggu giliran untuk melepasi urusan imigresen yang berjam-jam sehingga menyebabkan mereka perlu bersolat Subuh sementara menunggu kakitangan di kaunter menunaikan solat Subuh.

Ketika membawa jemaah pada Disember 2015, saya menasihatkan jemaah agar bergilir keluar daripada barisan di imigresen dan bersolat Subuh di belakang kaunter imigresen. Mereka menggunakan botol penyembur wuduk dan bersolat di bahagian belakang kaunter imigresen.

“Makcik dan pakcik solat di sini saja. Jika hendak tunggu urusan pasport kita selesai, mesti kita terlepas Subuh. Jadi lebih baik solat di sini saja,” pesan saya.

“Ada tandas ke di sekitar ni?” tanya seorang pakcik dari Sarawak.

“Ada di sebelah sana dan di luar. Nak pergi tandas juga ke?” tanya saya lagi.

“Hendak pergi sekejap,” balas beliau.

“Tak mengapalah, kami ada di sini, pakcik pergi ke tandas dulu,” ujar saya pula.

Jemaah lain yang tidak perlu ke tandas terus berwuduk dan menunaikan solat Subuh. Bukan jemaah saya saja yang bersolat ketika itu, sebahagian besar jemaah umrah bersolat di belakang kaunter imigresen kerana sedia maklum pasti terlepas waktu Subuh jika urusan mengecop pasport selesai.

Dalam hal ini, sekali lagi, shawl dan sejadah ringan sangat penting walaupun kadangkala ia tidak begitu diperlukan tetapi lebih selesa jika dibawa bersama-sama, tambahan pula jika anda bermasalah lelah dan alahan.

Saya mula membawa shawl di dalam tas tangan kerana pernah melalui pengalaman melihat seorang lelaki membentangkan kain umpama selimut di depan saya dan menyuruh saya bersolat bersama-sama keluarganya di jalan raya di Makkah.



Ketika itu, saya bergegas hendak ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat Subuh setelah kelewatan menunggu rakan sebilik. Namun, tiada rezeki bersolat di dalam dalam masjid mahupun perkarangan masjid sebab laluan sudah ditutup.

Sejurus iqamat dilaungkan, seorang lelaki berhampiran saya membentangkan kain umpama selimut di depan saya dan berkata:

“Solat…Solat…Solat…” ucap lelaki berketurunan Pakistan sambil memandang saya.

Turut bersama-samanya tiga wanita yang saya anggap, emak, isteri dan adik perempuannya. Saya terkedu tidak tahu apa hendak dikata. Sekadar memandang kepada semua ahli keluarganya.

Tidak pernah saya solat di atas jalan raya di Makkah. Pada masa itu adalah kunjungan saya yang pertama ke Tanah Suci, iaitu kira-kira 17 tahun lalu.

Melihatkan mereka solat dan semua yang ada di sekeliling saya bersolat, saya tidak membuang masa lagi lantas memulakan solat.

Selesai solat, saya bersalam dengan ketiga-tiga wanita ahli keluarga lelaki itu dan mengucapkan terima kasih kerana membentangkan gebar yang gebu dan cantik di depan saya untuk bersolat. Walaupun saya membawa sejadah tetapi jika dihamparkan di atas jalan raya, sudah tentu kaki terasa sakit kerana sejadah nipis dan tidak boleh berkongsi dengan jemaah lain.

Sejadah yang saya bawa lebih sesuai untuk dibentangkan di dalam masjid atau di dataran masjid saja kerana lazimnya, saya membawa sejadah kain yang nipis.

Tidak dinafikan ada jemaah yang membawa pelapik sejadah yang kecil di dalam beg galas dan tidak kurang juga yang langsung tidak membawanya.

Hakikatnya, sejadah perlu dibawa ke Tanah Suci. Tidak kiralah sama ada kecil atau besar. Jika terasa selesa menggunakan yang besar, cantik dan tebal, beli saja di bazar sekitar Madinah atau Makkah. 

Jika ada sejadah yang besar dan lebar, anda boleh berkongsi dengan jemaah lain. Sejadah bukan saja penting di luar masjid malah di perkarangan dan kawasan masjid yang tidak diletakkan permaidani sangat diperlukan.

Keadaan persekitaran dalam dan luar masjid yang berdebu dan berhabuk kerana kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram yang belum selesai sepenuhnya menjadikan sejadah wajar dibawa untuk bersolat.

Ikuti catatan saya seterusnya minggu hadapan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Makkah , KLIA , Masjidil Haram

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan