Antara Lapar Dan Khidmat Penghantaran Yang Menduga Kesabaran

Diterbitkan: Rabu, 19 April 2017 11:03 AM

Pemandangan bandar Doha. Foto timeoutdoha

(Ubah saiz teks)

ANTARA perkara awal yang aku ketahui ada di Doha selepas bekerja di bandar raya itu ialah, kebanyakan kedai menyediakan khidmat penghantaran ke rumah.

Ini tidak tertakluk kepada restoran saja, tetapi kedai runcit juga. Tidak kira apa yang kau ingin beli, sekiranya malas, penat atau tidak mahu bersesak, angkat telefon dan dail saja nombor kedai yang engkau mahu.

Namun, bagi kami, restoranlah yang paling banyak kami hubungi bagi khidmat penghantaran itu. Ada antara restoran itu mengenakan caj tambahan dan ada yang tidak.

Kau perlu tahu, di sini 80 peratus adalah warga India. Oleh itu restoran India lebih mendominasi Doha, diikuti restoran barat dan kemudian yang lain-lain.

Terdapat beberapa restoran yang aku ketahui pemiliknya adalah warga Malaysia. Tapi itu aku akan cerita lain kali.

Macam yang aku katakan tadi, 80 peratus penduduk Doha adalah warga India. Kau mahu tak mahu, kebanyakan santapan harian kami juga datangnya dari restoran-restoran ini. Terutama untuk sarapan.

Disebabkan faktor ini, bahasa menjadi sedikit tembok penghalang apabila mahu memesan makanan. Ada yang tidak tahu berbahasa Inggeris, malah ada juga yang enggan berbahasa Inggeris walaupun engkau menegaskan engkau tidak tahu Hindi.

“Aku tidak tahu Hindilah!” jerit Norman di tepi jalan.

“Hoi! Kau dah kenapa?” tanya aku.

“Mamat ni, 10 kali aku cakap aku tak tahu Hindi, dia nak lagi cakap Hindi!”

Dan ya, kadang-kadang memang boleh menjadikan kau penghidap hypertension. Kau boleh rasa denyut-denyut nadi di tengah kepala tanda darah menderas masuk ke situ.

Kadang-kadang terasa juga ingin mempelajari bahasa Hindi supaya memudahkan urusan memesan makanan. Tapi itulah, masa agak terhad.

Oh, aku juga baru tahu, Urdu, Bengali dan Hindi adalah dalam satu rumpun bahasa. Dan ya, Bengali bukan bangsa. Tetapi bahasa negara Bangladesh. Dan Urdu adalah bahasa Pakistani.

Berbalik kepada cerita khidmat penghantaraan tadi, bagi sebuah negara seperti Doha, melihatkan adanya khidmat begitu membuatkan aku rasa kagum.

Negara kita pun ada, tapi sayang tidak meluas. Alangkah bagusnya jika sistem ini diperluaskan. Banyak membantu dan menjimatkan masa ramai orang terutama yang bekerja.

Aku percaya, bagi kedai-kedai runcit khidmat ini telah lama disediakan. Dan jika ia diperluaskan untuk restoran-restoran, ia sungguh akan memudahkan orang ramai.

Mungkin kita rasa perkara ini tidak praktikal, atau belum sampai masanya lagi. Tetapi kalau mahu menunggu masa, rasanya sampai bila-bila pun tidak akan selesai.

Isu praktikal bukan satu masalah, tetapi ianya isu berani mencuba atau bak kata Datuk Dr Fadilah Kamsah, anjakan paradigma.

Di satu-satu restoran, tidak semua mahu makan di situ. Ada yang mahu membungkusnya untuk dimakan di tempat lain. Mungkin disebabkan faktor kerja, kesesuaian masa atau masalah kesihatan.

Dan sekiranya, pelanggan yang mahu membungkus makanan di rumah mereka tidak perlu ke restoran, sebaliknya hanya perlu menelefon restoran tertentu, membuat pesanan dan 30 minit kemudian makanan pun sampai.

Bukankah ia sungguh memudahkan? Malah di restoran pun tidak perlu ramai orang menunggu dan bersesak-sesak dengan pelanggan yang mahu membungkus makanan.

Seperti di sini, yang ada di dalam restoran kebanyakannya yang benar-benar mahu makan di situ. Tidak ada pelanggan yang menunggu untuk membungkus makanan. Kecuali seorang dua, yang mungkin baru pulang dari kerja atau kebetulan berada di situ.

Tidak perlu bersesak. Itu matlamat utama. Caj penghantaran boleh dikenakan dan aku rasa ramai orang tidak kisah mahu membayarnya. Janji perkhidmatan itu cepat dan betul.

Tetapi, perkhidmatan ini tetap ada kelemahannya. Dan kelemahannya selalu datang daripada tuan kedai. Sama ada barang lambat sampai, bukan seperti yang dipesan atau tidak sampai sama sekali. Tapi itu pun, berlaku bukan selalu.

“Kau tahu, kalau kau mahu sekotak rokok pun kau boleh pesan telefon sahaja,” kata salah seorang sahabat.

“Oh?? Tak kan dia nak hantar hanya sekadar sekotak rokok?” tanya aku. Musykil.

“Betul,” tegas dia.

Susah nak percaya, kan? Aku pun mula-mula susak nak percaya juga.

“Oi air dah habis!” jerit Anifi.

“Ok. Kejap, aku telefon kedai,” kata aku sambil mengangkat telefon bimbit yang berbaring di atas meja.

“Hello,” ucap aku.

“Ya. Hello.”

“Boleh tolong hantar air mineral 20 liter satu botol?” pesan aku.

“Ok boleh. Berapa botol mahu?” tanya orang kedai.

“Satu botol.”

“Satu botol? Apa, tak boleh datang kedai belikah?” marah orang kedai.

“Aaa…bagi dua botollah!” kata aku. Segan.

Cis. Air mineral satu botol 20 liter pun tak boleh hantar lagi mahu cakap boleh hantar sekotak rokok. Menipu betul kawan aku itu.

Apa yang kau mahu katakan. Aku suka khidmat ini. Sangat menyenangkan keadaan. Lagi-lagi kalau cuaca di luar itu mencecah 54 darjah Celsius. Siapa nak pergi kedai, bhai?

Tetapi macam aku cakap tadi, ada sedikit masalah dalam bahagian bahasa. Walaupun kau dan dia berbahasa Inggeris ada masa-masa tertentu kau kena banyak bersabar.

Aku ingat lagi Ramadan 2 tahun lepas, dalam kepenatan dan lemas tubuh badan dibadai terik mentari, aku sampai juga di rumah seawal pukul 4 petang.

Berbincang sebentar dengan rakan serumah tentang menu berbuka, sepakat mahu memesan nasi goreng dari Restoran Hameel.

Aku capai telefon bimbit, dail nombor dan bercakap kemudiannya dengan pekerja restoran tersebut.

"Hello, assalammualaikum," aku.

"Waalaikummussalam. Ya?" Dia.

"Ada penghantaran?"

"Ada. Nak apa?"

"Ok. Dua nasi goreng kambing, satu nasi goreng ayam dan satu beriani ayam," pesan aku.

"Ok. Lokasi?" Dia.

"Old Salata. Bangunan nombor 25, flat nombor 2."

"Ok. Empat parata?"

"Apa? Bukanlah, lokasi Old Salata."

"Ya ya. Empat parata. Lokasi mana?”

"Bukanlah! Aku cakap lokasi aku OLD SALATA bukan EMPAT PARATA!!"

“Yelah yelah. Tambah empat parata. Lokasi mana?”

Tags / Kata Kunci: Doha , parata

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan