Kepentingan Keserasian Dengan Jemaah Sebilik

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Keserasian dengan jemaah sebilik ketika menunaikan ibadat umrah dan haji sangat penting kerana dari situ lahirnya sebuah ikatan persahabatan. Jika ada keserasian dan kesepakatan sejak dari awal perkenalan, jemaah menjadi mudah untuk saling memahami, membantu dan bertimbang rasa.

Alhamdulillah, sepanjang mengerjakan ibadat haji dan umrah, saya ditemukan dengan jemaah yang memahami dan bekerjasama dalam pelbagai keadaan sekali gus menjadikan saya begitu selesa dengan mereka walaupun setelah kembali ke tanah air.

Keselesaan dan keserasian itu juga menjadikan hubungan saya dengan jemaah begitu akrab dan silaturahim kami berpanjangan sehingga sekarang.

Masih saya ingat ketika kali pertama menunaikan ibadat haji pada Februari 2000, saya berkongsi unit umpama suite dengan 12 lagi jemaah, yang sebahagian besar berusia 50 tahun ke atas. Di dalam suite yang dikenali sebagai Dar Al-Haramain di kawasan Ajyad, ada dua bilik besar dan pantri yang agak luas.

Keadaannya boleh dikatakan selesa kerana ada dapur dan sinki selain tempat menyidai pakaian. Dalam bilik A adalah saya dan lima lagi jemaah manakala bilik B ada tujuh jemaah namun bilik air hanya satu. Bayangkanlah keadaan seumpama itu terutama pada sebelah pagi untuk bersiap ke Masjidil Haram dan bersolat Subuh.

Justeru, seawal jam 2 pagi, jemaah mula bangun dan bersiap hendak ke tandas. Saya yang paling muda ketika itu sering mengalah kerana tidak sampai hati melihat jemaah lain yang saya panggil kakak, makcik dan nenek menunggu giliran ke tandas.

Justeru, untuk mengelakkan kelewatan, saya tidak mandi sebelum Subuh tetapi hanya mandi sekembali dari menunaikan solat Subuh dan bersarapan. Lazimnya, saya minta izin membuang air kecil di dalam tandas untuk beberapa minit. Selepas itu, saya mengambil wuduk di sinki pantri untuk mengelakkan kelewatan.

Masih saya ingat, sepanjang satu bulan di Makkah, semua jemaah saling memahami dan membantu terutama dalam perkara sakit pening, tambahan pula di dalam bilik saya sebahagian besar pergi sendirian tanpa ditemani waris.

Segala puji bagi Allah SWT kerana saya juga tidak berhadapan dengan situasi menyakitkan hati ekoran perlakuan jemaah yang jengkel dan boleh mencetuskan amarah. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, ada yang berpesan kepada saya agar banyak bersabar dengan perlakuan jemaah, contohnya, mereka meletakkan pakaian yang baru dicuci dan dibilas pada pakaian saya yang separa basah.

Jika keadaan ini berlaku, sudah tentu ia boleh mencetuskan perasaan tidak senang hati, sekali gus menjentik api pergaduhan tetapi tidak seorang pun jemaah berperangai seumpama itu kerana kami saling menghormati.

Namun begitu, tidak dinafikan, sebagai petugas haji dan umrah, saya pernah berhadapan dengan situasi jemaah tidak serasi dengan rakan sebilik dan mohon dipindahkan ke bilik lain untuk mengelakkan perselisihan dan pertengkaran lebih besar.

Jika ada kekosongan dan persetujuan daripada jemaah di bilik lain, sudah tentu itu tidak menjadi masalah tetapi bagaimana jika tiada lagi bilik kosong atau jemaah lain enggan berpindah. Kalau keadaan ini berlaku ketika musim umrah, masih boleh dikawal lagi tetapi bayangkanlah jika ia berlaku tatkala musim haji. Sudah tentu masalah ini menjadi rumit walaupun hakikatnya ia menuntut penyelesaian.

Pernah berlaku ketika saya menunaikan umrah pada hujung Mac 2011, seorang jemaah wanita yang dikenali sebagai Aziah tidak serasi dengan tiga rakan sebiliknya, termasuk kakaknya sendiri yang duduk sebilik. Dia sering membantah cakap kakaknya dan bermasam muka dengan dua lagi jemaah.

Dua jemaah sebilik Aziah bimbang untuk berbual dan bergurau dengan Aziah setelah melihat dia sering angkat suara dengan kakaknya. Mereka bimbang untuk menegurnya apatah lagi di Tanah Suci.

Justeru, mereka lebih gemar membuat hal masing-masing. Kakak Aziah jarang berbual dengan adiknya itu yang mudah melenting dan marah-marah jika ada yang tidak kena. Keadaan itu bermula sejak di Madinah dan menjadi lebih ketara apabila tiba di Makkah.

Namun, berkat kesabaran kakak Aziah dan dua lagi jemaah sebiliknya, Aziah, akhirnya seolah-olah menyedari kesilapan dan keegoannya, lantas memohon maaf kepada mereka beberapa hari sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Justeru, dalam keadaan dilalui Aziah, peranan jemaah sebilik amat penting iaitu mereka perlu banyak bersabar dan mengalah dengan perlakuan Aziah yang kurang menyenangkan hati.

Ketika bertindak sebagai petugas haji pada 2015, saya sebilik dengan lima lagi jemaah. Mereka saling mengerti, membantu dan memahami.

“Boleh tak matikan air cond pada malam ni, saya sejuk sangatlah,” ujar Jun.

“Boleh…,” serentak kedengaran jawapan daripada semua tanda persetujuan agar alat pendingin udara dipadamkan pada malam itu kerana Jun demam.

Kami semua bersimpati dengannya. Jun demam beberapa hari selepas selesai kerja haji. Alhamdulillah, kami tidak pula terasa panas atau tidak selesa di dalam kamar penginapan Al-Jewar di Makkah setelah alat pendingin udara dipadamkan semalaman. Kami hanya merenggangkan tingkap pada malam itu untuk pengaliran udara.

Ketika di Madinah, saya sebilik dengan tiga lagi jemaah. Dua daripadanya dari Sabah. Mereka sangat prihatin melihat keadaan saya yang tidak sihat beberapa hari sebelum pulang ke tanah air.

“Kenapa Ana naik cepat ke dalam bilik?” tanya kak Nisa ingin tahu.

“Ana rasa tak sihat kak. Masa tengah makan malam tiba-tiba macam hendak pitam,” ujar saya.

“Ana kena rehat. Tidurlah awal…” nasihat kak Nisa.

“Sebab tu Ana terus naik ke bilik. Dah terasa lain macam,” balas saya lagi.

“Ana ada ubat tak?” tanya kak Nisa.

“Ada. Tapi tak makan. Ana gosok minyak di kepala dan tarik-tarik rambut,” balas saya pula.

“Makanlah ubat dan tidur,” pesan kak Nisa.

“Ye insha Allah kak. Angin rasanya. Sebab Ana sendawa saja ni,” ujar saya sambil mengenggam rambut saya.

“Ana tidurlah. Rehat…”pesan beliau lagi.

“Baiklah kak. Terima kasih,” jawab saya.

Ketika musim haji 2016, saya terharu tatkala memandang seorang jemaah sebilik yang begitu khusyuk menadah tangan pada suatu malam lantas menegurnya.

“Kak, panjang doa…” ujar saya tersenyum.

“Sebenarnya sejak dari Kuala Lumpur lagi kakak berdoa agar ditemukan dengan jemaah sebilik yang memahami dan bersesuaian. Alhamdulillah, Allah makbulkan setelah bertemu Mimi, Mas dan Ana,” ujar kak Izan di dalam bilik penginapan Zewar Al-Mashaer di Aziziyah beberapa hari sebelum wukuf di Arafah.

Saya terkesan dengan kata-kata kak Izan dan menyebabkan saya memikirkan kebenarannya. Hakikatnya, setiap jemaah umrah dan haji wajar berdoa agar ditemukan dengan jemaah sebilik yang sepadan, serasi dan sesuai agar tidak timbul perselisihan atau pertengkaran.

Tanpa keserasian dan kesepakatan, dikhuatiri boleh menyebabkan jemaah hilang fokus untuk beribadat dan seterusnya menyempurnakan ibadat umrah serta haji.

Ikuti coretan saya pada minggu depan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Dar Al-Haramain , Ajyad , Masjidil Haram

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan