Dua Kali Bersilat Atas Katil

Diterbitkan: Rabu, 5 April 2017 1:51 PM

(Ubah saiz teks)

OGOS 2016, secara rasmi aku, Harith, Anifi dan Amin menamatkan kontrak rumah di Bangunan 25. Tidak ada sambungan dilakukan.

Keputusan itu diambil bukan saja kerana gangguan yang berterusan, tetapi kerana lelah membayar sewa yang mahal dan kebetulan Anifi mahu membawa isterinya ke Doha.

Amin berpindah ke tingkat lima, aku dan Harith bergabung dengan penghuni rumah nombor 17 di tingkat enam.

Sesungguhnya sesi pindah rumah memang memenatkan. Untungnya Disember cuaca sudah tidak berapa panas sebab musim sejuk bakal menjengah menamatkan jajahan terik mentari.

Kebetulan pula pada Disember aku bercuti panjang. Maklumlah, cuti sekolah di Malaysia waktu itu. Memang menjadi rutin aku membawa seisi kelaurga keluar bercuti.

Oleh itu, acara mencari rumah sewa terpaksa diserahkan kepada Norman, Tana, Daen dan Harith. Aku terima mesej di penghujung cuti yang mereka telah dapat rumah di kawasan Najma. Harap-harap rumah tersebut tidaklah 'berpenghuni' seperti sebelumnya.

Sewaktu aku pulang ke Doha, Harith dan Tana telah pulang ke Malaysia seminggu sebelumnya. Jadi sewaktu pindah rumah, cuma aku bersama Daen dan Norman menguruskan segalanya.

Sejak pagi sehingga waktu menginjak Maghrib baru selesai urusan pindah-randah. Di ruang tamu rumah baru, penuh dengan kotak-kotak dan bungkusan plastik dibiarkan begitu sahaja lantaran kepenatan. Esoknya pula kami akan kembali berkerja pada hari pertama minggu yang baru.

Sedikit demi sedikit, barang-barang berjaya dikemaskan. Suasana juga aku rasa agak aman damai. Lama sudah aku tidak merasakan begitu. Tetapi sayang, lagu Slam, Gerimis Mengundang, tiba-tiba berkumandang dalam kepala. 

Kusangkakan panas berpanjangan
Rupanya gerimis 
Rupanya gerimis mengundang.


Hari pertama cuti kerja. Aku di dalam bilik seorang diri. Malah, tiada sesiapa pun di rumah ketika itu. Norman keluar menguruskan kahrama (bil eletrik). Harith kerja malam, belum lagi pulang. Tana juga keluar. Daen bercuti di Malaysia.

Sedang aku leka menguliti telefon bimbit sambil meniarap, aku terdengar bunyi orang memasukkan kunci di pintu utama. Dan kemudian pintu utama itu dibuka dan ditutup berserta sekali bunyi pintu dikunci.

Dengan jelas aku dnegar bunyi tapak kaki berjalan menuju ke bilik. Untuk pengetahuan, rumah ini mempunyai tiga bilik. Dari pintu utama ke kawasan bilik, akan menemui bilik aku dahulu, dan sebelah bilik aku bilik Tana dan mengadapnya pula ialah bilik utama, kongsian Harith dan Norman.

Dari ekor mata aku, aku ternampak seseorang dengan baju putih berjalan menuju ke bilik utama. Di fikiran aku waktu itu tiada lain, hanya menyangka Harith telah pulang dari kerja.

Setengah jam kemudian, aku berhajat ke kedai. Aku capai dompet dan telefon bimbit dan kemudian menuju ke bawah dari tingakt tujuh.

Sesampai sahaja aku di bawah, telefon aku berdering. Panggilan dari Harith. Aku rasa agak pelik juga bila dia menelefon. Seharusnya dia sudah tidur waktu ini.

“Hello.”

“Bal. jangan kunci pintu ya, aku nak sampai dah,” kata Harith.

Semakin pelik aku jadinya. Apa yang sampai?

“Eh, aku kat bawahlah,” kata aku.

“Oh. Kau kat bawah? Ok ok. Aku nak sampai situ dah.” Ujar Harith seraya menamatkan panggilan. Dan membuat aku terpinga-pinga.

Tidak sampai satu minit, aku nampak Harith dari seberang jalan menuju ke arah aku.

“Kunci. Mintak kunci,” pinta Harith.

Aku memandang Harith dengan seribu satu pertanyaan sambil menyeluk poket mengambil kunci rumah.

“Bukan kau dah balik ke tadi?” tanya aku.

“Bila pulak aku balik? Ni la aku baru balik. Dah lah aku sakit perut ni.”

Harith meninggalkan aku dengan penuh tanda tanya. Kalau Harith baru balik sekarang, siapa yang aku nampak tadi?

Persoalan itu aku biarkan sahaja di kawasan aku bertemu Harith. Aku enggan membawanya bersama masuk bersarang di dalam kepala aku. Biarlah, mungkin aku yang tersilap pandang.

Hari ketiga cuti kerja, aku berseorangan lagi di dalam rumah. Harith, Tana dan Norman keluar membeli barang. Daen masih belum balik dari Malaysia.

Waktu itu aku masih juga di dalam bilik, menonton filem. Tanpa aku sedari, rumah itu tidak lengang dari bunyi pintu ditutup dan dibuka bermula dari pintu utama ke pintu dapur, kemudian ke pintu bilik Tana dan terakhir bilik Harith. Berulang-ulang.

Lewat petang baru aku perasan. Itupun selepas hempasan yang kuat dari pintu dapur. Aku senyap di dalam bilik cuba mengimbangi keadaan. Kemudian ia bermula semula, dari pintu utama, dapur kemudian bilik.

Waktu itu baru aku tersedar, rasanya sejak dari pagi tadi lagi bunyi-bunyian ini telah bermula. Aku bangun dan bediri depan pintu bilik. Senyap. Tiba-tiba ada satu perasaan sunyi yang aneh. Satu perasaan yang aku selalu dapat rasa bila ada sesuatu yang ghaib ada bersama.

Ktak! Ktak!

Terdengar tombol pintu utama dipulas. Aku cepat-cepat berlari menuju ke pintu utama dan mengintai di lubang intai. Tiada ada sesiapa di luar.

Aku berundur dan berdiri dipinggir ruang tamu. Suasana sepi yang aneh itu masih berlegar. Aku membatukan diri dan membesarkan telinga. Mengamati keadaan.

TOK! TOK! TOK!

Terdengar ada ketukan di pintu utama. Apalagi! Aku berlari masuk ke bilik, capai dompet dan telefon bimbit keluar dari rumah dan terus duduk di luar bangunan sementara menunggu yang lain pulang.

Mujur juga sewaktu keluar tadi tidak ada apa-apa yang berlaku. Malah semasa dalam lif juga aku bersyukur tidak ada gangguan.

Malamnya, aku ceritakan kepada yang lain. Masing-masing terdiam.

“Aku tak paksa kau orang nak percaya. Itu terpulang masing-masing. Aku hanya nak cerita supaya kita semua berhati-hati.”

Setelah Daen pulang dari Malaysia, aku ceritakan kepadanya juga.

“Kau tahu tak Bal, aku ni kadang-kadang kalau makan seorang diri tengah malam. Rasa macam ada je orang tengok aku. Tapi tak tahu kat mana orang tu,” cerita Daen pula.

Seminggu berlalu selepas kejadian yang pertama tadi. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang mengganggu. Kali ni Harith pula pulang ke Malaysia. Tinggal kami bertiga di rumah.

Hari keempat, yakni hari terakhir bekerja memberi kelegaan buat kami. Seingat aku minggu itu, agak teruk kami bekerja. Tugasan yang mencabar semuanya. Sampai sahaja di rumah tidak tunggu lama, semua sudah terbongkang di dalam bilik masing-masing.

Malam itu aku ada terasa lain. Aku berasa sangat tidak selesa. Mengiring ke kiri tidak kena. Mengiring ke kanan pun tidak kena. Dalam ketidak selesaan itu, entah bagaimana bila aku terlelap juga.



Aku tersedar agak lewat, sekitar lima pagi. Buka sahaja mata aku merasa sakit kepala ya amat! Tekak aku perit seperti dicekik.

“Kau mimpi apa malam tadi Bal?” tegur Daen di katil sebelah.

Aku memandang Daen dengan bersungguh. Tidak faham maksud pertanyaan dia.

“Kenapa?”

“Kau bersilat atas katil! Bukan sekali, tapi dua kali!” terang Daen.

Aku terkesima dengan keterangan Daen. Aku cuba mengingat semula apa yang aku mimpi malam tadi. Dalam penuh kepayahan itu, tiba-tiba ada imej, sesorang dengan muka penuh darah muncul dan menghilang.

“Masya-Allah… aku mimpi benda tu la,” kata aku perlahan.

Sudahnya, empat hari cuti itu, kami semua demam. Dan aku paling teruk sehingga 12 hari demam.

Dan sebulan selepas itu, aku bermimpi lagi. Kali ini jelas ingatan aku terhadap mimpi tersebut. Satu lembaga hitam duduk di satu penjuru rumah. Dan di dalam mimpi itu juga muncul satu susuk yang aku tidak kenali, menerangkan perihal makhluk tersebut. Mengatakan kepada aku makhluk itulah yang mengganggu.

Tetapi alhamdulillah, selepas mimpi yang kedua itu, tidak ada lagi sebarang gangguan sehingga hari ni. Aku harap ianya berkekalan hendaknya. Cuma itulah, kadang-kadang dia datang juga kacau aku dalam mimpi.

Agak panjang pula kali ini, sekian sahaja cerita seram dari aku. Eloklah aku rasa kau orang membaca hal lain pula. Untuk makluman, aku tidak mempunyai kereta di sini. Walaupun harga kereta murah, tetapi belum terbuka hati untuk membeli satu.

Justeru itu aku kurang dapat berjalan ke sana kemari. Tetapi aku suka menjengah restoran-restoran di sini. Nanti aku ceritakan tentang restoran yang pernah aku pergi berselang-seli dengan apa-apa sahaja perkara yang menarik yang tidak ada di Malaysia.


Tags / Kata Kunci: Doha , Bangunan 25

iklan

Video

Rabu, 26 Julai 2017 3:46 PM

Saya Bukan Artis Murahan! - Elvina

Selasa, 25 Julai 2017 3:00 PM

Aaron Abdul Iras Sudirman?

Selasa, 25 Julai 2017 12:00 PM

Eyka Farhana Diusik Minta Nombor Telefon

Selasa, 25 Julai 2017 9:00 AM

Tauke Jambu Tak Sabar Naik Pelamin

Isnin, 24 Julai 2017 12:03 PM

Lantaklah! Ahya Memang Suka Tayang Badan

Isnin, 24 Julai 2017 9:00 AM

#BiziBody: Risteena Dah Nak Kahwin?

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Kolumnis

iklan

Iklan