Cermat, Hemah Guna Tandas Pesawat

Diterbitkan: Khamis, 30 Mac 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad di Madinah Munawarah dan terminal haji di Jeddah selalunya mengambil masa di antara lapan dan sembilan jam.

Perjalanan yang panjang ini juga kadangkala menyebabkan jemaah perlu menunaikan solat jamak qasar di dalam pesawat, contohnya Zuhur dan Asar atau Maghrib serta Isyak.

Bagaimanapun, jika pesawat dijadualkan tiba di lapangan terbang Madinah atau terminal haji pada jam 7 malam waktu Arab Saudi, jemaah tidak perlu bersolat jamak qasar Maghrib dan Isyak di atas pesawat kerana boleh menyempurnakannya di terminal atau sejurus tiba di Madinah atau Jeddah.

Namun begitu, pesanan dan ingatan daripada petugas umrah atau haji sangat penting kerana kadangkala jemaah terlepas pandang atau terlupa untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak apabila tiba di destinasi.

Sebaik-baiknya nasihatkan jemaah agar bersolat di terminal haji jika pesawat mendarat di Jeddah kerana kadangkala urusan imigresen mengambil masa beberapa jam apatah lagi jika destinasi seterusnya ialah Madinah.

Jika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang pada jam 3 petang, jemaah tidak perlu bersolat di atas pesawat kerana boleh mengerjakan solat jamak takdim Zuhur dan Asar di surau terminal KLIA.

Hakikatnya, walau di mana sahaja kita berada, solat lima waktu wajib ditunaikan kerana ia adalah rukun Islam yang kedua dan mula-mula dihisab pada hari kemudian. Tidak kiralah sama ada hendak menunaikan umrah atau haji mahupun mengembara ke mana-mana sahaja.

Pada 25 dan 26 Mac lalu, saya menghadiri kursus asas mutawif dan mutawifah selama dua hari di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur. Sejumlah 52 peserta menghadiri kursus anjuran Imtiyaz Travel & Tours dan My Shine.

Antara peserta kursus itu adalah bekas pramugari dan pramugara Penerbangan Malaysia (MAS), sekali gus menyebabkan saya terpanggil untuk mendekati bekas pramugari itu yang duduk di depan saya sepanjang kursus berkenaan.

Hajah Nursheba Rahmat berkhidmat dengan MAS selama 18 tahun dan antara soalan yang saya ajukan kepadanya ialah perihal jemaah hendak berwuduk di dalam kapal terbang. Ini berikutan sebelum itu, pembimbing kursus, Ustaz Haji Md Roslan Mohammad Jaafar, menyentuh mengenai penggunaan tandas di dalam pesawat terutama apabila jemaah hendak berwuduk.

Menurut Ustaz Md Roslan ada antara jemaah dipercayai mandi di dalam tandas pesawat dan dalam keadaan ini petugas perlu memastikan ia tidak berlaku pada jemaah mereka apabila menggalas tugas sebagai mutawif atau mutawifah.

Sejurus berehat seketika untuk minum pagi, saya mengambil kesempatan untuk bertanya adakah Hajah Nursheba pernah berhadapan dengan keadaan seumpama itu sepanjang berkhidmat dengan MAS.

“Masa hajah kerja dulu ada tak jemaah yang berwuduk hingga tandas basah?” tanya saya di depan bilik kursus.

“Ada…sebab mereka tidak faham mengenai bahaya jika air bertakung di dalam tandas,” balas beliau tersenyum.

“Maknanya banyaklah mereka guna air jika hingga bertakung di dalam lantai tandas…” balas saya lagi ingin tahu.

“Ye banyak dan ini menyebabkan kami perlu mengelap dan memastikan tandas kering agar takungan air tidak melimpah ke laluan di dalam pesawat,” katanya.

“Pernah tak jadi takungan itu melimpah hingga di atas permaidani laluan pesawat?” tanya saya lagi.

“Tidak. Sebab itu setiap pramugari ditugaskan untuk berdiri berhampiran tandas dan memantau setiap jemaah yang keluar dari tandas.

“Oh ye ke?” tanya saya lagi.

“Ye. Jika air bertakung, anak kapal terpaksa mengelap dan membersihkannya untuk memastikan ia tidak melimpah hingga ke luar tandas,” balas beliau lagi.

Keadaan itu berlaku kerana segelintir jemaah haji atau umrah yang menggunakan banyak air ketika berwuduk di dalam tandas kapal terbang dan tanpa disedari perlakuan mereka itu mengundang masalah dan membebankan anak kapal di dalam pesawat.

“Ada tak jemaah yang mandi di dalam pesawat?” tanya saya.

“Sepanjang saya bertugas sebagai pramugari, tak pernahlah pula tahu jemaah mandi di dalam tandas pesawat tapi saya yakin mereka menggunakan air dengan banyak ketika berwuduk,” katanya lagi tersenyum.

Justeru, beliau menyarankan agar jemaah haji dan umrah menggunakan botol penyembur yang kini boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai menjual kelengkapan umrah dan haji setiap kali berwuduk di dalam pesawat.

Lazimnya, penerbangan dari Tanah Suci ke Kuala Lumpur adalah pada lewat malam dan ini menyebabkan jemaah perlu bersolat Subuh di dalam kapal terbang. Keadaan ini selalu dilalui saya dan jemaah lain.

Sebagai petugas haji dan umrah, kita wajar menasihatkan jemaah agar bersolat di dalam pesawat. Saya tidak terkecuali mengingatkan jemaah untuk berbuat demikian.

Ada jemaah mengatakan mereka solat menghormati waktu dan saya pula menasihatkan mereka agar berwuduk dan solat di atas tempat duduk atau jika ada ruang di bahagian belakang kapal terbang, jemaah boleh bergilir solat.

Ketika pulang dari mengerjakan ibadat haji pada tahun lalu, kami menaiki pesawat Saudi Airlines dan Alhamdulillah, ada ruang solat yang selesa disediakan di bahagian belakang. Sebahagian besar jemaah merebut peluang itu untuk bersolat di ruang berkenaan.

Namun, jika kesuntukan masa, jemaah dinasihatkan agar bersolat di tempat duduk masing-masing kerana dikhuatiri terlepas waktu Fajar jika menunggu giliran bersolat di ruang belakang kapal terbang.

Hakikatnya, jemaah berusia dan uzur juga lebih mudah untuk bersolat di tempat duduk masing-masing tetapi waris atau jemaah lain wajar sekali menghulurkan bantuan jika diperlukan oleh warga berusia untuk berwuduk.

“Kak hajah nak wuduk ke?” tanya saya pada seorang jemaah haji yang duduk di barisan bersebelahan.

“Ya. Ana ada botol wuduk tak? Kak punya tertinggal di dalam beg besar,” ujar kak Hajah Fatimah sejurus saya maklumkan kepadanya mengenai sudah masuk waktu solat Subuh. 

“Maaf kak hajah. Botol wuduk Ana hilang waktu dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah. Ana pun pinjam botol jemaah lain,” ujar saya pula.

Alhamdulillah, jemaah lain meminjamkan botol air mineral kepada kak Hajah Fatimah dan selesai wuduk, beliau terus solat di atas kerusi kapal terbang.

Lain pula ketika pulang dari menunaikan umrah baru-baru ini kerana setiap jemaah perlu bersolat di atas kerusi masing-masing kerana tiada ruang solat di dalam pesawat. Namun, Alhamdulillah, jemaah menyempurnakan solat Subuh selepas diumumkan hampir masuk waktu Fajar oleh juruterbang.

Justeru, sebelum masuk waktu Subuh lagi, sudah ramai jemaah yang beransur-ansur memasuki tandas. Begitu juga saya yang berwuduk di dalam tandas. Namun, saya tidak menggunakan air yang banyak ketika berwuduk. Malah, saya mengelap sekitar sinki kecil selepas berwuduk untuk keselesaan jemaah atau penumpang lain.

Ikuti cerita seterusnya di dalam catatan saya minggu depan, insyaAllah.







Tags / Kata Kunci: Prince Mohamad , qasar , Madinah

iklan

Video

Jumaat, 28 April 2017 5:30 PM

Hasrat Faizal Tahir Berehat Terganggu

Jumaat, 28 April 2017 3:47 PM

'Istana' Unik Di Rusia

Jumaat, 28 April 2017 11:39 AM

Kiri, Kanan, Depan,Belakang Ais Krim

Jumaat, 28 April 2017 9:30 AM

Apa Punca Aiman Sidek Masih Tidak Popular ?

Khamis, 27 April 2017 5:32 PM

Siapa Sanggup Tunggu Elly Mazlein?

Khamis, 27 April 2017 3:30 PM

Belum Ada Rezeki Anak - Bella Dally

Rabu, 26 April 2017 10:48 AM

Meninggal Dunia Ketika Baca Al-Quran

Kolumnis

iklan

Iklan