Tekan Ke Tingkat Satu, Keluar Di Aras Dua

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 9:52 AM

(Ubah saiz teks)

MALAM datang menghampar gebar gelapnya. Menutupi terang siang yang membakar setiap penghuni Doha sebentar tadi.

Aku berbaring di atas katil sambil jari menguliti telefon bimbit untuk menyusuri setiap catatan di Facebook. Anifi di katil sebelah dengan perlakuan yang sama.

Aku tidak pasti jika dia juga menjamah setiap huruf-huruf yang terpapa pada dinding Facebooknya atau sedang berbalas mesej cinta dengan kekasih hatinya.

Di luar, suasana berbahang sudah pasti, kesan dari terik mentari siang. Di dalam bilik yang gelap ini, suhu makin menurun kesan dari hembusan penghawa dingin. Semakin lama semakin dingin dan perlahan-lahan mata semakin kuyu.

Aku mematikan telefon bimbit dan menarik selimut untuk menutup badan yang kesejukan. Sempat aku melihat Anifi sudah diselubungi selimut seluruh badan.

Lena bagai bidadari datang dengan seribu khayalan. Perlahan-lahan suara kota raya seakan menjadi diam. Dan kini saat aku sedang memilih punca-punca mimpi.

“Astaghfirullah....!” jerit Anifi dengan gamat.

Aku bingkas bangkit. Mata membuntang dan pantas memusing badan ke arah Anifi.

“Oi! Kenapa?” tanya aku, panik.

“Ah! Aaa… tak ada apa-apalah,” jawab Anifi seakan acuh tidak acuh. Seolah-olah bukan dia yang terpekik sebentar tadi.

“La.. kau kenapa?”

“Esok. Esok kita cerita,” pendek sahaja kata Anifi sambil menarik kembali selimutnya.

Aku pula jadi tidak tenteram. Umpama ditinggal kekasih di tengah kota saat temu janji. Akibatnya aku tidur agak lewat malam itu memikirkan apa yang berlaku tadi.

Esoknya, setelah sampai semula di rumah, perkara pertama yang aku tuju adalah Anifi yang sedang duduk diruang tamu menonton televisyen.

“Apasal malam tadi wei?” tanya aku.

Anifi sengih tidak segera menjawab.

“Semalam, kan aku kelubung dengan selimut.”

“Ok, lepas tu?” tanya aku, tidak sabar.

“Lepas tu. Aku rasa panas. Aku buka selimut. Masa aku buka tu, tiba-tiba ada muka orang tengok aku. Itu yang aku jerit.”

“Muka siapa?” tanya aku.

“Manalah aku tahu,” bentak Anifi. “Tapi sekejap saja, lepas tu muka tu hilang.”

“Jelas ke kau nampak? Kan gelap?” duga aku.

“Gelap pun, kan lampu luar tu terpasang. Lepas tu dah depan-depan muka kau. Memang jelaslah.”

Ah, sudah! 'Dia' mula main tunjuk-tunjuk muka pula sekarang ni. Aku dan Anifi terus bebual tentang perkara itu tanpa sebarang penyelesaian.

Hari demi hari, perasaan tidak tenteram makin memuncak. Suara bayi dan perempuan menangis makin menghantui.

Bunyi-bunyian perabot bergerak pula makin kerap kedengaran. Kadang mengundang marah di hati. Hendak dilepaskan tidak tahu kepada siapa.

Tetapi hari itu aku terlepas. Terlepas cakap. Betullah kata orang tua-tua - kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

“Oi! Apa yang kau buat kat atas tu, hah? bentak aku di suatu hari apabila bunyi-bunyi perabot itu makin galak. Terlalu galak!

“Hey!” jerit Harith yang sedang duduk disebelah aku. “Kau, dah kenapa? Kita dahlah tak tahu rumah atas ni ada orang ke tak. Ni kau pulak tegur-tegur macam ni.”

Aku tersentak dengan kata Harith. Amarah tadi yang mengembang galak memerah dengan segera kuncup. Aku akur, aku tidak patut celupar begitu. Tapi sudah terlambat hendak menyesal. Kata sudah diucap, aku hanya menanti padah.



Hari pertama kerja semula, jam enam petang adalah waktu yang sangat dinanti. Itu waktu tamat kerja. Aku tiba di luar Bangunan 25 jam 6.20 petang.

Kaki melangkah berat menaiki tangga dan masuk ke lobi yang sentiasa dingin tidak kira musim.

Aku perlahan-lahan menuju ke lif. Butang tanda ke atas ditekan. Seketika kemudian pintu lif terbuka. Dengan badan yang sarat dengan kepenatan, aku melangkah masuk.

Punat satu ditekan. Lampu merah menyala mengelilingi nombor satu yang tertera. Saat pintu lif ditutup, aku menyandar ke dinding lif. Tangan pantas menyeluk poket beg dan mengeluarkan kunci rumah.

Tidak lama aku di dalam lif. Pintu pun dibuka aku tanpa lengah terus melangkah keluar dan menuju ke pintu dan memasukkan kunci.

Aneh. Kunci enggan bekerjasama seperti selalu. Puas aku tekan ia tetap enggan masuk ke lubang kunci. Aku kaget.

Aku periksa kunci - mana tahu jika patah atau pula. Tidak. Elok macam biasa saja. Aku periksa pula tombol pintu. Ada sesuatukah yang menyekat? Tidak juga.

Aku pening. Pelik. Apakah yang berlaku sebenarnya ini? Aku cuba lagi. Dan seperti tadi, ia tidak menjadi.

Lantas aku memandang ke atas sebelah kanan. Alangkah terkejutnya aku apabila yang tertera disitu bukannya nombor dua, nombor rumah yang aku sewa. Tetapi nombor lima!

Kenapa aku di depan rumah nombor lima? Aku pelik. Peluh dingin mula memercik. Dan tiba-tiba aku meremang. Aku berlari di depan lif. Kerana dinding di depan lif ada tertera nombor tingkat. Aku amat pasti tadi aku menekan punat satu.

Sesampai aku di depan lif, aku melihat ke arah dinding yang menggantung nombor tingkat. Sah! Aku di tingkat dua! Tanpa lengah, aku terus menekan butang lif.

Lima saat yang berlalu itu aku terasa seperti 5 jam. Minda aku berlumba-lumba memproses maklumat daripada situasi yang sedang berlaku sambil mencari logik.

Dalam lima saat itu, sementara menunggu pintu lif dibuka aku seakan terdengar ada suara berbisik: “Bukankah kau mahu melihat siapa yang menggerakkan perabot? Marilah…”

Dan “Ting!” pintu lif dibuka. Aku bergegas masuk membawa jantung yang kencang bergetar. Punat satu ditekan. Dan lampu merah menggelilingi nombor satu pun bercahaya.



Aku tidak melepaskan pandangan dari cahaya itu. Pintu lif terbuka semula saat aku berperang dengan perasaan waktu itu. Aku tidak cepat melangkah keluar.

Aku memandang dinding di depan lif, memastikan dengan pasti itu tingkat yang sepatutnya. Setelah melihat nombor satu yang tergantung, aku melangkah perlahan dan memandang pula nombor rumah di sebelah kanan. Jelas nombor dua di pandangan mata aku.

Tanpa disuruh, aku keluar dengan pantas dari lif dan memasukkan anak kunci dan membuka pintu.

Di rumah aku ceritakan kepada Harith dan Anifi. Sepakat mereka berpendapat aku mungkin tersalah tekan. Mungkin aku terlalu penat dan tertekan nombor dua di dalam lif.

Tapi penjelasan mereka berdua sedikit pun tidak berjaya menenangkan aku. Aku percaya - malah sangat percaya - aku memang menekan nombor satu.

“Seorang je ke Bal?” tegur seseorang sewaktu aku diluar bangunan menunggu teksi.

Ah, Ismadi yang menyewa di tingkat lima. Aku membalas teguran dia, dan kami bersalaman. Tidak lama kemudian perbualan kami menular mengenai perkara aneh yang berlaku di rumah masing-masing.

Aku kemudian bercerita tentang pengalaman aku di dalam lif tempoh hari.

“Kau tau tak Bal,” Ismadi mula bercerita, “aku, kalau seorang diri dalam lif tu, tak kiralah naik ke turun ke, kalau aku seorang lif tu akan berhenti tingkat dua. Pintu akan buka tetapi tak ada orang masuk. Setiap kali!”

Aku diam mendengar Ismadi bercerita.

“Tapi yang peliknya berlaku kalau aku seorang.”

Kami kemudian diam. Cuba menghadam situasi aneh ini.

“Agaknya, satu bangunan ni berhantu kot?” simpul aku.

“Mungkin.”

Sudah sampai masanya untuk pindah agaknya. Jika dia boleh memperlakukan sebegini, agaknya lama-lama nanti apakah yang akan berlaku? Apa agaknya perkara yang mampu dia lakukan.

Aku berfikir jika dia mahu menumpang, atau memang dia sudah menghuni rumah ini, atau bangunan ini, maka duduk sahajalah diam-diam. Mengapa perlu dikacau penghuni lain?

Sudahlah kami bayar sewa mahal, 9,000 Riyal. Dia duduk percuma dan mahu kacau kami pula. Melampau!

Tetapi tujuan untuk apa? Satu soalan yang menuju buntu setiap kali. Dan dalam kami kebuntuan itu, dia menemui sasaran seterusnya.



Tags / Kata Kunci: Doha , lif

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan