Mohamed Alim Makkah Kembali ke Rahmatullah

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 8:00 AM

Alim Makkah (kiri) ketika meraikan kenalan yang menunaikan ibadah umrah di Makkah yang didiaminya sejak tahun 2000.

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Ketika menulis artikel ini saya dirundung kedukaan dan kesedihan setelah mendapat berita bahawa sahabat di Tanah Suci Makkah, Mohamed Alim Ali, 45, kembali ke rahmatullah pada jam 3 pagi Isnin.

Saya menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat, Ustaz Ismail Hamdun, ketika hendak bersiap-siap menghadiri kuliah.

“Hajah dapat tahu tak Alim meninggal?” tanya Ismail.

“Tak tahu…iye ke?” balas saya ringkas dengan pertanyaan kerana ragu-ragu.

“Boleh hajah tanyakan isteri dia?” Saya dapat tahu daripada seorang kenalan di Makkah,” ujar Ustaz Ismail.

“Ok saya tanya. Tunggu sekejap,” balas saya.

Sejurus meletak telefon, saya terus menghubungi talian Mohamed Alim. Mulanya saya mahu menghubungi isteri Mohamed Alim tetapi saya terus menekan nombor telefon sahabat saya itu.

Sejurus mendengar suara Safoora, isteri Mohamed Alim, hati saya terdetik, mungkin benar apa yang Ustaz Ismail maklumkan kepada saya.

“Mana Alim?” tanya saya pada Safoora.

“Alim sudah meninggal dunia,” balas Safoora dengan tangisan.

“Bila dan sakit apa?” tanya saya yang gagal membendung kesedihan.

“Jam 10 malam semalam (waktu Saudi). Tak ada sakit. Cuma flu,” balas Safoora.

“Takziah. Semoga Allah merahmatinya,” ujar saya pula.

“Sekarang saya sedang sibuk untuk urusan pengkebumian Alim,” balas Safoora.

“Baiklah. Terima kasih,” balas saya.

Setelah itu, saya menghubungi semula Ustaz Ismail dan mengatakan bahawa berita kematian Mohamed Alim adalah benar. Kami sama-sama terkejut, bersedih dan bercerita seketika mengenai segala kebaikan Allahyarham yang murah hati, rajin menghulurkan bantuan serta suka memanjangkan silaturahim.

Saya dan Ustaz Ismail terpanggil untuk membantu Allahyarham Mohamed Alim kerana mengenangkan waris yang dtinggalkannya. Kami menghubungi rakan-rakan arwah di Kuala Lumpur.

Seorang demi seorang saya hubungi dan menghantar whatsapp dan semua turut terkejut dengan berita itu.

Di kalangan keluarga saya, Mohamed Alim begitu dikenali. Mereka mengenalinya sebagai Alim Makkah. Sejurus suami pulang dari menghantar anak ke sekolah, saya maklumkan kepadanya bahawa Alim pulang ke rahmatullah.

Suami juga terkejut dan terlihat air matanya bergenang. Saya tidak dapat menahan sebak. Saya turut dihujani panggilan telefon daripada rakan-rakan yang mengenalinya setelah menghantar Whatsapp pemergiannya.

Berikutan panggilan demi panggilan, saya batalkan ke kuliah pada pagi itu. Saya kemudiannya ke rumah ibu untuk maklumkan kepadanya pula.

“Kenapa tak pergi kuliah?” tanya ibu.

Saya membisu dan berjalan menujunya.

“Kenapa nangis?” tanya ibu lagi.

Saya memeluk ibu dan berkata: “Alim meninggal…”

Ibu menepuk-nepuk bahu saya.

“Alim Makkah?” tanya ibu.

“Ye…” balas saya hiba.

“Innalillahi wainna ilaihirojiun,” ucap ibu sebak.

Air mata ibu bergenang dan beliau duduk mendengar cerita saya. Selepas menghantar anak bujang bertugas, saya pulang semula ke rumah dan menerima Whatsapp daripada Ustaz Ismail yang mengatakan bahawa jenazah Mohamed Alim disolat dan dikebumikan selepas solat Subuh. Alhamdulillah, urusan jenazah Allahyarham berjalan lancar dan disegerakan.

Allahyarham dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat dan bapa kepada enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan berusia dari 5 bulan hingga 16 tahun itu berhijrah ke Tanah Suci Makkah pada 2000 kerana mahu anak-anaknya meniti kedewasaan di negara Islam selain terbabit dalam dunia perniagaan perhotelan.

Perasaan sedih menyelubungi diri. Saya sekali lagi menghubungi rakan Allahyarham yang saya kenali untuk mencurahkan kesedihan. Hakikatnya mereka juga bersedih kerana mempunyai cerita tersendiri bersama-sama arwah yang begitu prihatin menghulurkan bantuan setiap kali mereka ke Makkah.

Saya teringat adiknya, Shamie di Florida, Amerika Syarikat yang pernah berkunjung ke Kuala Lumpur pada 2015 lantas menghubungi beliau untuk mengucapkan takziah. 

Sejurus mendengar suara saya, dia menangis dan mengatakan abangnya sudah tiada. Saya turut menangis dan mengatakan abangnya begitu baik hati dan semoga Allah merahmati rohnya.

Sukar untuk saya gambarkan kebaikan Allahyarham Mohamed Alim yang begitu disenangi ramai. Dia sering tersenyum, peramah, sentiasa bersedia untuk menolong, sopan santun dan begitu menghormati saya.

Tidak keterlaluan saya katakan, sepanjang kerjaya sebagai wartawan dan penulis, saya tidak pernah bertemu insan seperti Mohamed Alim. Sememangnya saya kerap menemuramah ramai individu sejak mula terbabit dalam dunia kewartawanan pada November 1986.

Namun, istimewanya Mohamed Alim kerana silaturahim saya dan dirinya tidak terputus sebab sifat semulajadinya yang suka berkawan dan memelihara persahabatan.

Lazimnya, setelah menemuramah seseorang, hubungan itu akan berakhir di situ juga atau beberapa ketika namun, dengannya, berbeza sebab hubungan itu terus terjalin biarpun saya tidak lagi menemuramahnya.

Hanya sekali saya menemuramahnya iaitu pada Februari 2012 ketika berkunjung ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadat umrah. Ketika itu saya adalah pengarang di sebuah majalah tempatan.

Artikel pembabitan Mohamed Alim dalam dunia perniagaan perhotelan di Makkah pernah dipaparkan di dalam majalah Aniqah terbitan September 2012.

Sifatnya yang rendah diri, bersopan santun dan lembut tutur kata menyebabkan saya tidak kekok untuk terus berbaik dengannya biarpun saya bukan ahli perniagaan yang boleh dia berkongsi pandangan dan menjalin kerjasama perniagaan.

Namun, saya faham, bagi Mohamed Alim, ikatan silaturahim adalah lebih penting. Justeru dia tidak henti menghantar mesej kepada saya saban waktu untuk bertanya khabar dan perkembangan ahli keluarga saya.

Perkenalan itu berterusan hingga dia datang ke Kuala Lumpur sekitar hujung 2012 dan saya perkenalkan kepada suami. Seterusnya pada Februari 2013 saya berkunjung ke Tanah Suci dan turut berpeluang bertemunya sekali lagi.

Ketika kunjungan itu, saya meminta, sahabat saya, Zuraini dan suaminya menemani saya bertemu Mohamed Alim. Kami di bawa ke sebuah restoran yang menghidangkan masakan Cina.

Selepas musim haji 2013, dia mempelawa saya sekeluarga mengerjakan umrah. Saya terasa segan kerana agak baru mengenalinya dan hanya beberapa kali bertemu.

“Datanglah ke Makkah. Saya bagi satu bilik,” kata Mohamed Alim.

“Alhamdulillah. Terima kasih. InsyaAllah, saya bincang dengan suami dan anak-anak,” balas saya girang.

Sejurus suami pulang, kami berbincang dan saya menerima pelawaannya. Tidak dapat saya bayangkan kegembiraan saya ketika itu. Kesyukuran saya panjatkan kepada Maha Esa kerana mengundang saya sekeluarga sebagai tetamu-Nya sekali lagi.

Beliau bermurah hati menyediakan hotel penginapan di Madinah dan Makkah, termasuk makan minum untuk kami sekeluarga. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kebaikan dan kemurahan hatinya terhadap saya sekeluarga.

Bermula dari situ, hubungan kami terus akrab. Apabila dia berkunjung ke Kuala Lumpur, saya sekeluarga bertemunya dan apabila saya ke Makkah, dia sekeluarga membawa saya keluar.

Malah, rakan jemaah saya juga mengenalinya kerana pernah membawa kami keluar ketika musim haji dan umrah sebagai memenuhi permintaan rakan jemaah yang mahu melihat sekitar kota Makkah. Dia pasti meluangkan masa biarpun sibuk dengan tuntutan tugas dan perniagaan yang diusahakan.

Ketika Ramadan lalu, saya bertemu beliau di hotel Dar Al Marshat bersama-sama tiga anak lelakinya.

“Di sinilah saya setiap kali 10 malam terakhir Ramadan,” ujarnya pada saya di lobi penginapan itu ketika bertemu buat seketika pada jam 9 pagi.

“Alhamdulillah. Awak sangat beruntung kerana duduk di Makkah. Puas beribadat di Masjidil Haram,” ujar saya pula.

Ketika berkunjung ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun lalu, sekali lagi saya berpeluang menemui beliau tetapi dia datang bersendirian kerana Safoora sedang hamil. Justeru, kami berbual di lobi hotel.

Namun, saya tiada rezeki bertemu Mohamed Alim ketika menunaikan umrah bersama-sama anak syurga pada 24 Disember lalu kerana kekangan masa. Saya hanya sempat berwhatsapp dengannya dan maklumkan kepadanya sudah tiba di tanah air.

Whatsapp terakhir daripadanya adalah pada 3 Mac 2016 iaitu pada Jumaat. Seperti biasa, dia rajin bertanya khabar dan mengirim pelbagai tazkirah dan hadis. Semua itu hanya tinggal kenangan.

Segala kebaikan dan kepercayaan arwah tidak dapat saya lupakan selamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Mohamed Alim bersama-sama golongan bertakwa. Al-Fatihah.

Tags / Kata Kunci: Mohamed Alim Makkah

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan