'Dia' Dah Mula Main Kasar

Diterbitkan: Rabu, 8 Mac 2017 9:16 AM

(Ubah saiz teks)

“TIDAK aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada-Ku” – az-Zariyat: 56.

Sudah masuk siri ketiga aku bercerita tentang gangguan di rumah sewa kami. Perlu aku ingatkan sekali lagi, perkara ini bukanlah untuk mendewa-dewakan jin atau menyebabkan kau taasub. Apatah lagi untuk menyuburkan perasaan takut yang berlebihan terhadap makhluk itu.

Sesungguhnya yang berkuasa itu tetap Allah yang Maha Esa. Dan kita dan mereka hanya hamba-Nya yang wajib menyembah dan takut hanya pada Dia yang Satu.

Tetapi janganlah kita pula terlalu takbur dengan menafikan kewujudan mereka. Mungkin kita belum pernah kena. Maka bersyukurlah kamu yang tidak terlibat dengan dengan segala senario ini, kerana ia melelahkan.

Dan jangan pula kita mengejek mereka yang pernah laluinya. Bak kata Harith Iskander, orang Asia apabila bercakap hal ini, kita terbahagi kepada dua kumpulan. 

Pertama, yang pernah melihat jin dan yang kedua yang mengenali mana-mana individu yang pernah melihat jin.

Baik! Mari kita sambung.

Aktiviti 'mereka' yang kedengaran memunggah atau menyusun perabot semakin kerap hari demi hari. Suara tangisan perempuan dan bayi mula berkurangan. Seolah-olah mereka bertukar peranan. Macam main badminton - tukar servis.

Bingit seretan perabot makin hari semakin galak sehingga membawa ke pukul 3 pagi. Dan selain itu, diselang-seli dengan bunyi orang berlari dari bilik tidur ke ruang tamu, dan kadang-kadang dari ruang tamu ke bilik.

“Ada orang ke tidak, rumah atas ni?” getus aku.

“Pergilah naik periksa,” jawab Harith sambal tersengih.

“Eh, tak kuasa aku!”

Kadang-kadang aku rasa macam banduan. Banduan yang ditangkap dan diseksa supaya membocorkan apa-apa sahaja maklumat kepada pihak musuh. Dan aku diseksa dengan bunyi-bunyian tersebut. Seksaan mental.

Kadang-kadang sebagai 'tawanan' mahu saja aku meluahkan apa-apa. Tapi malangnya, aku tidak tahu maklumat apa yang mereka mahu. Dalam keadaan begitu, tak banyak yang boleh aku lakukan selain berharap cuma menolak-nolak perabot ke sana ke mari itu sajalah yang mereka mahukan. 

Ingat tak aku cakap minggu lepas? Aku bakal menyesal berharap sedemikian.

Setiap hari cuti yang ketiga, aku akan keseorangan. Harith dan Anifi bekerja lebih masa, manakala Amin lazimnya baru hari pertama bekerja.

Seperti selalu, aku akan memasak sarapan. Tiada kelainan pada hari itu melainkan bunyi-bunyian tersebut.

Selesai makan, aku mengemas meja, basuh pinggan dan kuali. Dan perkara terakhir yang aku ingat hari itu, aku masukkan kerusi ke bawah meja supaya kemas.

Setelah kenyang, hati pun gembira. Aku menghidupkan komputer riba dan bersedia untuk berseronok dengan permainan atas talian.

Bunyian perabot tadi dari ruang tamu, kini mengikut aku ke bilik. Lantaklah. Tiada apa yang boleh dilakukan pun, kan?

Aku memasang lagu dan mula bermain. Sedang ralit itu aku tiba-tiba terdengar tombol pintu utama disentak-sentak dengan kuat.

Aku terkejut. Aku perlahankan suara komputer riba yang sedang melalak lagu-lagu rock kapak. Aku diam di dalam bilik sambil membesarkan deria telinga aku yang tidak beberapa capang.

KTAK! KTAK! KTAK!

Sekali lagi aku terdengar bunyi tombol cuba dibuka dari luar. Aku kaget.

DAK! DAK! DAK! DAK! DAK! DAK! DAK!

Kali ini terdengar pula suara kaki berlari dari pintu utama menuju ke ruang tamu. Lagilah aku kaget. Pelik pun ada!

Adakah kawan-kawan aku yang bekerja hari ini tidak mengunci pintu sebelum keluar? Adakah pencuri yang masuk? Amat mustahil mereka tidak mengunci pintu.

Aku pula tidak langsung memeriksa sama ada pintu utama itu berkunci atau tidak. Aduh! Apa nak buat ni?

Bunyian menolak perabot dari rumah atas tiba-tiba pula senyap. Aku memandang atas. Cuba-cuba mendengar. Tetapi sah, memang senyap sunyi.



SREEEEEEET!

Aku terkejut. Aku panik. Alamak! Itu bunyi kerusi makan ditarik keluar. Aisehmen.

Dalam kegelabahan itu aku mencapai telefon bimbit dan melihat jam. Skrin menunjukkan waktu 10.30 pagi. Rasa-rasanya Harith akan balik sekejap lagi.

Aku membuka WhatsApp dan menghantar mesej kepada Harith.

“Pukul berapa balik?”

“Dah dalam perjalanan,” balas Harith. “Kenapa?”

“Balik cepat!”

“Kenapa?”

Eh banyak tanya pulak si Harith ni. “Balik jelah cepat!”

Dua puluh minit kemudian aku mendengar ada seseorang memasukkan kunci pada lubang kunci. Aku yang sejak tadi dalam bilik berlari keluar dan mengintai balik dinding.

Aku membulatkan mata apabila pintu utama dibuka dan satu lembaga berbaju putih muncul dari balik pintu. Hampir sahaja aku menjerit!

Tapi nasib baik otak aku cepat memproses - itu Harith.

“Apa pasal?” tanya Harith sebaik sahaja dia nampak aku. Aku meletakkan jari telunjuk ke bibir aku tanda menyuruh senyap. Aku berjalan perlahan ke ruang tamu.

Dari balik dinding aku mengintai kawasan meja makan. Bagai hendak luruh jantung aku. Terus terasa seram sejuk apabila yang aku khuatiri benar-benar berlaku.

Kerusi makan yang aku masukkan pagi tadi sudah terkeluar dari bawah meja. Sudah berada di antara meja makan dan sofa. Aku menarik Harith dan menceritakan apa yang berlaku.

“Aduh, dah makin ganas ni,” keluh Harith.

Ganas? Belum lagi. Itu baru bunga-bunga. Baru nak mula. Baru panas enjin.

“Mak ai. Kasar betul dah ni,” kata Zul Pacak selepas aku ceritakan apa yang berlaku sewaktu di tempat kerja. Sedang Along hanya mengeluh berat. “Adoi..”

Kasar? Kau tahu apa lagi benda kasar dia orang buat? Minggu depan aku cerita. Aku berhenti di sini dulu sebab aku pun dah seram!

Tags / Kata Kunci: az-Zariyat , Harith , Zul Pacak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan