Rozidi Bantu Cari Kerusi Roda Di Masjidil Haram

Diterbitkan: Khamis, 2 Mac 2017 9:07 AM

(Ubah saiz teks)

ASSALAMUALAIKUM. Menerusi paparan saya di dalam kolum ini yang terdahulu, saya sudahpun mencoretkan mengenai enam anak istimewa, iaitu Azizah, Nurul Atikah, Along atau Mohd Izanuddin, Muhaimin, Mohd Khuzairy dan Mior Azib. Kesemua berusia di antara 18 dan 30 tahun.

Justeru, pada minggu ini, saya paparkan kisah seorang lagi insan istimewa iaitu Rozidi Ahmad berusia 47 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang. Rozidi agak pendiam. Namun, apabila dilontarkan soalan, dia akan menjawab pertanyaan berkenaan.

Sekali pandang, kita tidak dapat mengenal pasti bahawa Rozidi dikategori sebagai insan istimewa tetapi setelah mengawasi dan berbual dengannya, kita akan menyedarinya. Dia sering terlupa dan kadangkala akan mengulangi pertanyaan kerana mahukan kepastian.

Dia mudah tersenyum dan suka melihatnya membeli-belah di Madinah dan Makkah. Ketika membawanya berjalan-jalan di sekitar bazar, Rozidi bijak berbelanja dan rambang mata melihat pelbagai jualan di Tanah Suci. Sesekali terlihat dia mengelamun seketika kerana memikirkan cenderahati yang mahu dibeli untuk adik-beradik dan saudara-mara di kampung halaman.

Dia boleh mengira, membaca dan bijak mengaji. Begitu menurut kakak iparnya, Zuraini Kamaruzaman yang juga seorang daripada pengiring anak istimewa pada kunjungan Kembara Anak Syurga di antara 24 Disember 2016 dan 4 Januari 2017.

Dia sebilik dengan dua lagi anak istimewa iaitu Along dan Mohd Khuzairy. Ketiga-tiga mereka ditemani Mohd Zaini Jamil yang juga bertindak sebagai seorang daripada pengiring sepanjang di Tanah Suci Madinah dan Makkah.

Ketika menyempurnakan ibadat umrah wajib, dia bertawaf di dataran Kaabah bersama-sama Muhaimin, Zuraini, Haji Md Omar Md Ariffin (seorang lagi pengiring anak istimewa) serta jemaah umrah lain yang tidak memerlukan perkhidmatan kerusi roda.

Setelah menyempurnakan umrah wajib, Rozidi merebut peluang untuk mengerjakan umrah sekali lagi ketika jemaah umrah menziarahi lokasi bersejarah di Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Arafah, ladang tamar dan bermiqat di masjid Jaaranah.

Alhamdulillah, dia juga rajin beribadat di Masjidil Haram dan sering mengerjakan solat berjemaah selain bertawaf sunat bersama-sama Mohd Zaini. Namun, beberapa hari sebelum pulang ke tanah air, Rozidi kelihatan lesu. Selesema dan batuk yang agak keras mula dialami tetapi semua itu lumrah bagi sebahagian besar jemaah umrah dan haji ketika berada di Tanah Suci berikutan perubahan cuaca serta kurang berehat. 

Bagaimanapun, ketidakselesaan itu tidak pula membataskan pergerakan Rozidi untuk beribadat dan berziarah ke Muzium Dua Kota Suc serta ladang unta di Hudaibiah.

Dia masih mampu berulang alik ke masjid, berbelanja dan menikmati hidangan seperti sediakala. Melihatkan dia batuk agak keras pada suatu petang, saya lantas bertanya:

“Awak ada ubat tak?” tanya saya ketika melihat Rozidi terbatuk-batuk.

“Ada. Dah makan,” balas Rozidi.

“Minyak gosok?” tanya saya lagi.

Dia diam seketika. Saya kemudiannya mengambil minyak kayu putih yang sering saya bawa ke mana-mana saja dan menyerahkan kepada Rozidi. Minyak itu membantu meredakan batuk berkahak dan sesuai digunakan oleh mereka yang bermasalah lelah atau asma. Aroma minyak kayu putih cukup menyenangkan.

“Cubalah gunakan minyak ni. InsyaAllah. Elok untuk batuk kahak,” ujar saya.

Dia membuka penutup minyak itu lantas menggosok sedikit ke dada. Selepas itu, dia menyerahkanya kepada saya.

“Tak apalah. Awak ambiklah. Gunakan. Dah tinggal sikit pun minyak tu,” ujar saya lagi.

“Terima kasih kak,” balas Rozidi.


Sehari sebelum berangkat pulang ke tanah air, saya tidak dapat lupa jasa Rozidi membantu menguruskan Along yang tiba-tiba menjadi lemah dan hampir pengsan di depan dataran Masjidil Haram.

Ketika itu, Rozidi, Mohd Khuzairy dan Along yang ditemani Mohd Zaini sedang menunggu solat fardu Isyak di dataran Masjidil Haram. Bagaimanapun, tiba-tiba Along terbaring di atas dataran, mungkin keletihan atau lapar.

Melihatkan Along tiba-tiba lemah dan tidak bermaya, Mohd Zaini spontan mahu membawanya terus ke hospital berhampiran iaitu di Ajyad Emergency Hospital yang terletak di bangunan Hotel Safwa Royale Orchid.

Menceritakan pengalaman yang dilalui itu, Mohd Zaini berkata:

“Mulanya saya ingat Along mengalami hipoglisemia sebab dia ada kencing manis. Mungkin dah lapar sangat. Terkejut juga saya sebab tiba-tiba dia terbaring, sangat lemah dan sesekali meracau. 

"Melihatkan keadaan itu, saya terpaksa suruh Rozidi mengambil kerusi roda yang bersusun di dataran Masjidil Haram.

"Saya tanya Rozidi bolehkah dia mengambilkan kerusi roda untuk Along dan dia mengangguk. Saya bimbang juga ketika itu kerana Rozidi mudah lupa dan khuatir dia tersesat sebab ramai jemaah yang sedang menunggu azan Isyak berkumandang pada waktu itu.

“Namun, Alhamdulillah Rozidi faham apa yang saya mahu dan tolong ambilkan kerusi roda serta kembali semula ke tempat yang ditunggu.

“Sejurus mendapat kerusi roda, Along dipapah dan diangkat untuk duduk di atas kerusi roda itu. Bersama-sama Rozidi dan Mohd Khuzairy, saya membawa Along ke Ajyad Emergency Hospital yang belum pernah saya kunjungi,” cerita Mohd Zaini mengimbau pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Menurut Mohd Zaini, apabila tiba di hospital, Along terus menerima rawatan kecemasan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan atau kadar glukos rendah di dalam darah sebagaimana yang difikirkan.

Sehubungan itu, Along dibenarkan pulang tanpa sebarang ubat-ubatan. Mohd Zaini menolaknya ke hotel penginapan dengan kerusi roda yang diambil oleh Rozidi. Mereka berempat menuju ke Hotel Mira Ajyad. Sejurus tiba di Mira Ajyad, mereka naik ke dewan makan untuk menikmati hidangan malam.

Sebelum malam melabuhkan tirai, Zuraini menasihatkan Rozidi agar memastikan semua barangan sudahpun dimuatkan di dalam bagasi besar dan tidak lupa membawa beg galas serta bimbit bersama-sama ke dalam bas.

Beliau juga berpesan agar adik iparnya itu tidak lagi mengambil gambar dan berbelanja membeli cenderahati selepas menyempurnakan tawaf wada’.

“Saya mesti ingatkan dia berkali-kali kak Ana, sebab bimbang Rozidi beli apa-apa lepas tawaf wada’ esok,” ujar Zuraini pada saya.

“Iyelah. Betul tu, bimbang dia terlupa nanti,” balas saya.



Pada keesokan hari pula, semua jemaah perlu bangun awal iaitu sekitar jam 3 pagi dan bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan tawaf wada’ sebelum meninggalkan Tanah Suci Makkah.

Kami dinasihatkan oleh pihak pengurusan Zahafiz Travel & Tours ketika taklimat berangkat pulang ke tanah air, agar mengerjakan enam pusingan tawaf sebelum solat Subuh dan selepas itu menyempurnakan solat Subuh berjemaah di masjid serta menyambung semula baki satu lagi pusingan tawaf wada’ yang belum disempurnakan.

Ikuti sambungan coretan pengalaman saya ketika menunaikan tawaf wada’ bersama-sama tiga insan istimewa iaitu Nurul Atikah, Muhaimin dan Rozidi pada minggu depan, insyaAllah.

Tags / Kata Kunci: Rozidi , Makkah , Kembara Anak Syurga

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan