Perihal Nasi Lemak, Teh Tarik & Rumah Kuning

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2017 9:00 AM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

TASTE of Asia adalah sebuah restoran yang terletak di Jalan Matar Qadeem. Jaraknya kira-kira 400 meter dari penginapan sementara kami.

Restoran ini merupakan restoran pertama kami singgah untuk santapan tengah hari pada hari kedua selepas kelas tamat. Dengan tidak menjamah sebarang sarapan, kami menjamu selera di situ sehingga kenyang.

Orang yang membawa kami ke sini ialah Hisham Janggut yang merupakan antara warga Malaysia yang lama sudah bekerja di sini. Macam biasalah, orang lamalah yang belanja.

Mujur juga kami kelaparan kerana semua restoran memberi sukatan yang banyak untuk setiap hidangan. Bagi perut orang Asia, biasanya hidangan itu boleh dikongsi dua orang, atau kadang-kadang tiga orang.

Ada tiga kejutan sewaktu kami meluangkan masa di sini. Pertama, rata-rata pekerja mereka fasih berbahasa Melayu. Setelah diselidiki, rupanya tuan punya restoran itu ialah orang Malaysia. Mamak Pulau Pinang katanya. Dan ada beberapa pekerja juga begitu.

Kedua, menunya seakan-akan restoran mamak di Malaysia. Ini tidaklah menghairankan setelah mengetahui fakta pertama tadi. Jika rindu pada teh tarik, teh O ais, roti telur, nasi lemak dan nasi goreng, bolehlah melampiaskannya di situ.

Sewaktu makan, aku, Hisham Janggut, Naza dan Izmuddin memesan teh O ais. Teruja amat ketika itu. Terbayang bayang teh O ais seperti Malaysia.

Namun demikian kami agak terkejut setelah minuman tersebut sampai di meja kami kerana aisnya ada lima atau enam ketul sahaja. Setelah menyedari hakikat kami berada di Qatar, kami mengekek ketawa. Dan ini adalah kejutan ketiga.

Pada 8 Jun 2014, satu lagi kumpulan dari Malaysia tiba melaporkan diri. Dalam kumpulan tersebut, tiga orang adalah kawan sekerja aku dahulu - Harith, Amin dan Sudin. Harith dan Amin dapat menginap di bangunan yang sama dengan aku, mnakala Sudin ditempatkan di hotel. 

Petang baru dapat berjumpa mereka sebab aku masih ada dalam kelas ketika mereka sampai. Dalam pukul 4 petang, aku bawa mereka ke Jalan Matar Qadeem untuk menjamu selera setelah mereka mengadu lapar.

Ke mana aku bawa mereka? Ke restoran Taste of Asialah, mana lagi. Saja aku nak bagi mereka rasa teh O ais yang aisnya lima ketul.

Restoran Taste Of Asia berterusan menerima kunjungan kami. Kadang-kadang tengah hari demi merasa nasi beriani, dan selalunya waktu pagi, bagi menjamah nasi lemak dan roti telur.

Disember 2014. Aku, Norman, Tanaraj dan Harith bergerak menuju ke restoran ini untuk bersarapan. Waktu itu sudah ramai warga Malaysia yang mengunjunginya ekoran ramai pekerja MAS dapat peluang bekerja di sini.

“Mulai esok kami tutup sebulan,” kata salah seorang pekerja restoran kepada kami sewaktu membuat pembayaran.

“Oh? Kenapa?” tanya Harith.

“Ada buat pengubahsuaian,” kata dia sambil senyum.

Sebulan kami tidak mengunjungi restoran tersebut. Sehinggalah perkara itu kami lupakan.

“Geng, jom pergi Taste of Asia?” cadang Harith sewaktu kami sedang melepak di ruang tamu menikmati hari pertama cuti.

“Bukan tutup ke?” tanya aku kembali.

“Dah buka. Dah cantik dah sekarang.”

RUMAH SEWA

Dan tanpa lengah kami empat orang menuju ke sana. Setelah tiba kami terpukau dengan pembaharuan yang telah di buat.  Kerusi, meja, lantai, tangga dan papan tanda semua baharu. Kami menikmati nasi lemak dengan suasana yang baru tetapi tetap kenangan lama berlegar segar.



Jun 2015, aku, Naza dan Izmuddin berjalan sekitar Matar Qadeem. Dengan perut yang kekenyangan kaki melangkah perlahan melewati deretan kedai.

Lorong demi lorong kami masuki dengan tujuan mencari rumah sewa. Suasana bingit tadi makin tenggelam. Aku rasa seperti sudah jauh benar berjalan.

“Jauh lagi ke ni?” tanya aku.

“Nak sampai dah,” jawab Naza.

Dari jauh kami nampak satu papan tanda berlampu hijau. Tertera jelas nama kedai di depan mata, Shoprite.

Kami membelok ke kanan dan berjalan lagi lebih kurang 500 meter dan berhenti di depan sebuah bangunan empat tingkat. Perkataan Zukrof jelas tertera di depan bangunan tersebut.

“Ha, inilah tempatnya. Kejap, aku telefon ejen,” kata Naza.

Aku memerhati bangunan itu atas bawah. Juga memerhati sekeliling. Agak kelam kawasan di situ.

Mata aku tidak henti-henti menyoroti bangunan itu. Entah kenapa aku rasa tidak sedap hati.

Seketika kemudian penjaga bangunan itu datang dan bersalam dengan kami. Setelah berbasa-basi dia mengajak kami ke tingkat dua. Ke tingkat apartment untuk disewa itu berada.

Kami kemudian masuk ke apartment tadi setelah penjaga bangunan membuka pintu. Kami melihat-lihat rumah tersebut.

Agak usang. Peralatan dapur agak lama. Kelengkapan rumah semua sudah tersedia. TV, katil, sofa, alat pendingin hawa, peti ais dan lain-lain.

TIDAK TENTERAM

Naza di ruang tamu berbual dengan penjaga bangunan tersebut. Aku dan Izmuddin berpecah melihat bilik, dapur dan bilik air. Masa ini aku rasa agak tidak tenteram.

Entah kenapa aku melihat isi rumah itu semua berwarna kuning. Ada satu aura yang tidak dikenali menyelimuti rumah tersebut. Aku diam. 

Setelah beberapa lama. Aku duduk di luar rumah dan membiarkan Izmuddin dan Naza berbincang.

Setelah selesai berbincang, kami meninggalkan bangunan tersebut dan kembali berjalan menuju ke rumah penginapan sementara.

“Amacam? Aku rasa OK ni,” kata Naza.

“Aku OK,” kata Izmuddin.

“Kalau hangpa nak rumah tu hangpa sewalah. Aku tak nak,” kata aku.

“Laa.... awat pulak?” tanya Naza.

Aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Tidak mungkin perasaan aku menipu. Aku tahu ada sesuatu dalam rumah tu. Tapi perkara ini bukan senang-senang aku nak cakap sebab tidak ramai yang mahu faham. Silap hari bulan aku dituduh mengada-ngada.

Perkara itu tergantung begitu sahaja. Lagipun aku sudah mendapat berita yang Harith, Amin dan Anifi akan datang pertengahan Jun. Oleh itu aku berkeputusan lebih baik aku mencari rumah bersama mereka.

Aku, Naza dan Izmuddin berpecah kemudiannya. Aku, Harith, Amin dan Anifi berjaya menyewa di Old Salata. Malahan Izmuddin juga menyewa di bangunan yang sama. Dia di tingkat lima sedang kami di tingkat satu.

Di Old Salata ini, rumah yang kami sewa agak besar. Bangunannya juga seakan hotel. Untuk kami empat orang memang tersangat selesa. 

Aku juga tidak berasa apa-apa ketika mula pindah ke situ. Tetapi, rupanya perasaan aku ditipu. Tanpa sedar dari balik keselesaan itu ada sesuatu selain kami yang menghuni bersama.

Sesuatu itulah yang akan membuat kami 'demam' suatu ketika nanti.



Tags / Kata Kunci: Taste of Asia , Matar Qadeem

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan