Alkisah Jasad Di Doha, Mata Di TV, Hati Pada Isteri

Diterbitkan: Rabu, 1 Februari 2017 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

MAKA berangkatlah aku meninggalkan Malaysia setelah menerima tawaran bekerja di Doha, Qatar. Ada seribu satu perasan ketika aku berada di ruang menunggu KLIA.

Rasa nak keluar semula kembali ke pangkuan keluarga pun ada. 

Persoalan demi persoalan bagaikan panah menghujan ke benakku. Bayangkan, aku bukan sahaja meninggalkan isteri dan anak-anak, tetapi seorang daripada anakku itu baru berumur tiga bulan ketika itu.

Sewaktu di dalam perut kapal terbang, telefon bimbit aku berdering. Aku lantas mengangkatnya. Oh, Izman rupanya yang membuat panggilan. Kami berbual seketika. Izman mengucapkan selamat jalan dan beberapa potong kata-kata semangat.

Lontaran Izman yang murni itu tidak satu pun aku sambut, aku sekadar acuh tidak acuh sahaja kerana di jiwa aku sedang berperang dengan pelbagai rasa.

Izman adalah salah seorang pekerja yang melapor diri bersama dengan aku di syarikat MRO dahulu. Kami merupakan kumpulan kedua yang melapor diri pada hari itu. Banyak cerita aku dia tahu. Seperti juga Zulhilmi.

DEMI MASA DEPAN

Sebentar kemudian, kapal terbang pun berlepas meninggalkan landasan, dan mula terbang membelah awan biru. Kala itu hanya air mata menjadi teman dalam mengharungi lembaran baru dalam hidup aku.

Satu perubahan yang besar bagi melepaskan belenggu yang berlumut merantai kami sekeluarga ekoran dari bebanan ekonomi yang tidak setara dengan pendapatan bulanan. Ia bukan satu keputusan yang mudah.

Tetapi demi masa depan anak-anak aku korban perkara yang paling berharga, masa bersama mereka saat membesar demi memastikan cahaya terang di hujung terowong di hari muka nanti. Segala masalah kewangan menjadi kasut roda buat aku meluncur meninggalkan bumi hijau menuju ke dataran gersang.

Aku tiba di Doha sewaktu matahari sedang di kemuncak syahwat. Teriknya - masya-Allah - lain benar. Mencubit-cubit perit kulit Asiaku. Aku cepat-cepat melangkah masuk ke bas yang sedang menanti.



Setelah penuh, bas menderu mencelah bahang membawa kami semua ke pintu masuk “Ketibaan”. Dari situ aku bungkam. Tidak tahu kemana harus aku tuju.

Kelihatan semua beratur ke kaunter imigresen. Aku musykil. Seingat aku, akan ada wakil dari syarikat yang bakal aku berkhidmat itu datang menyambut aku. Setidaknya itu yang aku diberitahu.

Setelah beberapa minit berlalu aku membuat keputusan untuk turut bersama beratur seperti yang lain. Dalam sedang termangu-mangu dalam barisan, aku terlihat seorang lelaki berbaju kelabu berada dalam satu kawasan pejabat.

Aku tiba-tiba teringat, lelaki itulah yang aku jumpa sewaktu di kaunter mendaftar masuk di KLIA. Aku perhatikan tanda nama di atas pejabat kecil tersebut, tertera “Al-Maha Services.” Sah! Aku harus ke sana. Menggelupur aku untuk keluar dari barisan untuk menuju ke sana.

Aku menghulurkan dokumen berserta pasportku kepada gadis penyambut tetamu di dalam pejabat Al-Maha Service. Setelah meneliti dokumen aku, dia mengucapkan selamat datang dan meminta untuk aku duduk sementara dia memproses kedatangan aku.

Sedang duduk itu, aku menjeling-jeling ke arah lelaki berbaju kelabu itu. Seketika kemudian, gadis penyambut tetamu tadi memanggil aku, lelaki berbaju kelabu dan seorang lelaki warga Filipina.

RASA KEBULUR BETUL

Kami kemudian membontoti gadis itu menuju ke kaunter imigrisen. Sewaktu berjalan, aku menegur lelaki berbaju kelabu itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Izmuddin, dan kemudian memberitahu dia juga mendapat tawaran yang sama dengan syarikat yang bakal aku bekerja.

Aku menghembus nafas lega, alhamdulillah. Sekurangnya ada juga kawan dalam kembara ini. Melepasi imigresen, dan setelah mengambil beg masing-masing kami di bawa ke kawasan luar lapangan terbang. Seorang lelaki berbangsa India kemudian tiba dan memanggil nama kami.

Kami kemudian dibawa menaiki van menuju ke penginapan sementara. Aku, Izmuddin dan warga Filipina tadi ditempatkan di Matar Qadeem. Di dalam van aku berdoa agar dipermudahkan urusan, dan apa sahaja yang bakal mendatang akan aku tempuhi dengan sabar.

Semasa di lapangan terbang tadi, sempat aku membeli kad sim prabayar baru bersama dengan data. Sesampai di penginapan syarikat terus sahaja aku menghantar mesej kepada isteri dan keluarga.

Seingat aku waktu itu sudah menghampiri pukul satu. Dan perbezaan masa Qatar dan Malaysia adalah lima jam. Oleh itu di Malaysia waktu itu sudah pukul enam petang.



Setelah berehat sebentar, aku turun ke tingkat satu berjumpa dengan Izmuddin. Mahu mengajaknya makan tengahari. Kebulur betul rasa. Kami berdua keluar dan menuju ke jalan besar Matar Qadeem.

“Matar Qadeem tu tempat aku dulu tu. Situlah aku menyewa. Aku suka situ banyak kedai makan.” Kata-kata Zulhilmi itu terngiang-ngiang sewaktu aku berjalan dengan Izmuddin.

“Kita nak makan apa ni?” tanya Izmuddin.

“Kita makanlah kat kedai pertama yang kita nampak. Apa yang dia ada kita belasah je,” saran aku.

Dan yang ternampak oleh kami sewaktu di pinggir jalan Matar Qadeem adalah kedai beriani Pakistan. Beriani pun, berianilah.

Sambil makan kami berbual, Izmuddin memberitahu ada seorang lagi kawan dia yang telah sampai pagi tadi. Menaiki penerbangan pukul dua pagi dari Malaysia. Naza namanya.

Aku sekadar mengangguk. Elok jugalah begitu. Ada lagi seorang lagi kawan dari tanah air. Esok bolehlah bersama-sama pergi ke kelas.

ASYIK TEKAN HON

Selesai makan, kami berjalan sekitar Matar Qadeem. Melihat apa yang ada. Betullah seperti kata Zulhilmi. Memang banyak kedai makan sini. Bukan itu sahaja, pelbagai kedai lain turut sama memeriahkan suasana di Matar Qadeem. Nanti-nantilah aku cerita.

Kami tak lama diluar, akibat kepanasan yang melampau kami cepat pulang semula ke sarang. Selain banyak kedai di sini, apa yang gagal Zulhilmi beritahu ialah kebingitan bunyi hon!

Aku rasa setiap satu minit kau boleh dengar tiga ke empat hon. Dan akibat itu, aku dan Izmuddin acapkali menoleh.

“Gila ke dia orang ni? Asyik tekan hon je?” getus aku.

“Entah!” sambut Izmuddin.

Setelah lama aku berada di sini barulah aku tahu. Memang fiil mereka begini. Sungguh mengharukan dan kadang bikin hati panas!

Malam pula datang menyambut aku. Aku bersendirian di dalam rumah penginapan itu sambil menonton saluran rancangan Korea. Itu sahaja yang ada, yang lain semua rancangan Arab.

Mata menancap di skrin televisyen tetapi fikiran aku melayang jauh. Apalah anak bini aku makan malam ni? Lenakah mereka tidur? Sudah rindukah mereka kepada aku? Dan, aku tidak sedar bila aku terlena.

Aku rasa seperti sudah lama aku tidur. Aku terjaga dan terkebil-kebil memandang syiling serta persekitaran yang asing. Oh, aku tidak bermimpi datang ke Qatar rupanya. Aku bingkas bangun dan menghidupkan telefon bimbit.

Jam menunjukkan hampir pukul 5 pagi. Aku fikir sudah mahu masuk subuh. Tetapi ada sedikit kepelikan dibalik langsir tingkap. Aku selak tingkap. MasyaAllah! Dah nak terang!

Pukul berapa sebenarnya ni? Seingat aku kelas bermula pada pukul 8 pagi. Aku terlupa tetapkan jam ke? Aku panik! Dengan berkain pelikat itu aku bergegas ke bilik Izmuddin.

Aku tekan loceng, dan Izmuddin membuka pintu selepas itu. Aku sedikit lega melihatnya. Sekurangnya jika ditakdir aku lambat, aku tidak keseorangan.

“Din, pukul berapa sebenarnya ni?” tanya aku.

“Pukul lima lebih ni” beritahu Izmuddin.

Aku menarik nafas lega. Maknanya aku tak salah. “tapi luar dah nak terang semacam.”

“Itulah.” Jawab Izmuddin pendek. Mengantuk lagi gamaknya.

“Subuh pukul berapa?”

“Pukul tiga pagi tadi.”

Allah! Terlepas sudah subuh. Ini bukan subuh gajah dah ni. Mahu subuh unta agaknya.

Setelah berjanji mahu berkumpul di bawah pukul tujuh, aku naik semula ke bilik aku.  Fuh.. panik betul.

Musim panas yang melanda Qatar menyebabkan matahari muncul awal mengusik penduduk di tanah Arab ini. Dan Mei tergolong di dalam musim itu. Pukul 5.30 pagi sudah seperti pukul 9.30 pagi di Malaysia.

Dan panas dia, cerita pun tak guna. Yang aku tahu, kembali dari kelas nanti aku kena beli SPF50!

Tags / Kata Kunci: Matar Qadeem , MRO

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan